Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Datuk Dr Hassan Ali, exco Selangor yang jarang muncul di sidang media bersama Tan Sri Abdul Khalid Samad, hari ini duduk sebaris bersama menteri besar ketika kontroversi rundingan PAS-Umno sedang hangat diperkatakan sekarang.

Mengulas kenyataan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tentang tawaran jawatan kepada pemimpin PAS di negeri itu jika wujud kerajaan campuran, Abdul Khalid berkata hubungan PKR dengan PAS tiada masalah.

"Tidak ada komen, kita tengok, di sini kita berdiri bersama-sama. Tak payah komen. Saya ingat kita kurangkanlah dari segi cakap macam ini.

"Saya rasa media juga memberi banyak peluang kepada saudara Khir Toyo yang tidak memberi value-added tentang pembangunan negeri Selangor," katanya

Beliau enggan mengulas lanjut, sementara Dr Hassan, pesuruhjaya PAS negeri yang hadir dalam pertemuan dengan Dr Mohamad Khir pada Mac lalu sebelum pertemuan besar peringkat tertinggi PAS-Umno, tidak memberi sebarang ulasan.

Turut hadir di sidang media yang sama, tiga lagi exco - Ronnie Liu, Elizabeth Wong dan Yaakob Sapari.

Di sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri lewat petang ini, Abdul Khalid berkata Selangor akan memangil perundingan tentang belanjawan tahun depan pada 4 dan 11 Ogos, masing-masing di Shah Alam dan Kuala Selangor.

Beliau, yang juga wakil rakyat Ijok berkata, perbincangan itu akan disertai pentadbir, usahawan, perancang dan kumpulan ketua masyarakat untuk bersama merangka belanjawan Selangor.

Perbincangan itu dilakukan untuk memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban, tambahnya.

Khalid berkata, dialog itu dilakukan secara terbuka dan melibatkan pembentangan kertas kerja dan bengkel.

Beliau menjelaskan, bajet tahun depan bernilai RM1.3 bilion memfokuskan kepada usaha merakyatkan ekonomi.

Hasil perbincangan pra-belanjawan itu akan diumumkan kira-kira sebulan selepas itu.

Yaakob mendedahkan, 95 peratus ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri itu terdiri muka baru.

"Saya boleh kata 95 peratus," katanya.

Dalam penstrukturan semula JKKK baru, 95 muka baru akan dilantik pada 1 Ogos depan dan menjelang 1 September, semua senarai itu akan diumumkan.

Selain mengulangi pendirian Selangor tidak mengiktiraf JKKK lantikan kerajaan persekutuan (JKKKP), beliau juga melarang jawatankuasa sokongan pusat itu menggunakan dewan-dewan orang ramai milik kerajaan negeri.

"Kerana mereka tidak diiktiraf kerajaan negeri, oleh itu semua dewan-dewan milik kerajaan negeri tidak diberikan untu program JKKKP," katanya.

Bagaimanapun, tambah Yaakub, kerajaan Selangor membenarkan dewan digunakan oleh pertubuhan lain termasuk Umno atau MCA.

"Dewan tersebut boleh digunakan pertubuhan lain. Walaupun Umno atau MCA, boleh gunakan sebab mereka pertubuhan sah. Tetapi JKKKP adalah tidak sah di sisi kerajaan negeri Selangor," jelasnya.

Pengurusan dewan-dewan itu kini diambil alih oleh pejabat daerah, katanya.

"Kita minta semua dewan-dewan diambil alih pejabat daerah untuk diperbaiki dan kita minta semua pejabat daerah hantar laporan kepada kita untuk audit dan kita perbaiki pejabat daerah tersebut," kata Yaakub.

Sementara Dr Hassan dalam sidang media itu mengumumkan pembesaran Kolej Tahfiz Sains di Jugra melibatkan pembinaan dua blok asrama baru bernilai RM6 juta.

ADS