Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6:45pm Ahli dan penyokong PAS yang mengugut ingin mengadakan demonstrasi di depan ibu pejabat parti di Kuala Lumpur hari ini membatalkan niat berbuat demikian selepas keputusan majlis syura ulama kelmarin.

Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini , ugutan untuk berhimpun telah dibatalkan dalam satu mesyuarat tidak lama selepas majlis syura yang bertemu di Kota Bharu menyokong pemimpin PAS "bersemuka" dengan Umno.

Sehingga jam 3 petang, perhimpunan itu diura-urakan bermula jam 2.30 petang, tiada seorang pun penyokong atau ahli PAS kelihatan di depan pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Terdapat kira-kira 15 orang wartawan dan jurugambar antaranya Sinar Harian dan Oriental Daily berada di hadapan pejabat PAS tersebut.

Mereka kemudian meninggalkan tempat itu setelah tiada perhimpunan seperti diura-urakan.

Seorang kakitangan di ibu pejabat memberitahu Malaysiakini sebelum itu, beliau juga mendengar ura-ura perhimpunan tersebut.

Perhimpunan itu dirancang sebagai "usaha spontan ahli-ahli akar umbi" menyatakan sikap terhadap usaha dialog yang diketuai oleh timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa dengan dukungan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ahli dan penyokong PAS awal minggu ini disebarkan menjelang pertemuan mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan anggota-anggota majlis syura, termasuk Abdul Hadi dan Nasharuddin.

Peniaga-peniaga bertentangan pejabat PAS turut tertanya-tanya mengenai tujuan kehadiran wartawan dan jurugambar di hadapan premis peniagaan mereka.

Tidak kelihatan anggota polis berdekatan bangunan itu.

ADS