Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Insiden udara Qantas: M'sia jadi perhatian
Diterbitkan:  Jul 26, 2008 5:49 PM
Dikemaskini: Jul 27, 2008 3:25 PM

Perhatian kini bertumpu kepada sebuah sebuah syarikat penyelenggaran kapal terbang di Malaysia selepas sebuah pesawat Qantas hampir terbabit dalam kemalangan udara semalam.

Akhbar The Daily Telegraph di Sydney memetik seorang juruterbang kanan Qantas yang tidak disebut namanya sebagai berkata, insiden itu mungkin ada kaitan dengan penyelenggaran pesawat tersebut.

qantas qf30 disaster 260708 Katanya, terdapat cakap-cakap di kalangan juruterbang mengenai mutu rendah penyelenggaran pesawat tersebut yang dilakukan di luar negara.

"Tindakan Qantas menggunakan khidmat penyelenggaran di Malaysia membimbangkan ramai juruterbang kami," katanya sambil mendakwa ada pesawat yang tidak diselenggara dengan sempurna.

Bagaimanapun, tidak ada pengesahan sama ada pesawat itu telah dibaiki atau diselenggara di Malaysia.

Pagi semalam, pesawat Boeing 747 yang berusia 17 tahun, bagi penerbangan QF 30, mengalami kebocoran rangka pesawat ketika melintasi Laut China Selatan dalam penerbangan dari London ke Melbourne.

Insiden tersebut mengakibatkan terjadi satu lubang seluas tiga meter di bahagian perut pesawat, menyebabkan tekanan udara jatuh. Ini menyebabkan pesawat terjunam 6,000 meter (20,000 kaki) sebelum dapat distabilkan semula.

Juruterbangnya terpaksa melakukan pendaratan cemas di Manila pada jam 11 pagi semalam. Tiada sebarang laporan kecederaan.

Menurut AFP, bunyi letupan kuat, diekori dengan pesawat menjunam ke bawah, menyebabkan para penumpang menjadi panik.

"Saya terdengar ada orang menjerit. Penumpang kelihatan merenung satu sama lain dalam keadaan ketakutan," kata seorang penumpang, Steve Winchester.

Qantas belum lagi mengumumkan punca rasmi insiden tersebut, tetapi akhbar The Daily Telegraph berkata para jurutera mendapat tahap hakisan yang tinggi pada pesawat tersebut.

Insiden itu berlaku ketika Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam Australia (CASA) dikecam dalam negeri kerana enggan mendedahkan 1,000 muka surat laporan audit mengenai penyelenggaran kemudahan di Hong Kong, Singapura, Filipina, New Zealand and Malaysia.

CASA diminta mendedahkan sepenuhnya laporan audit tersebut selepas laporan audit Qantas 2006 mendedahkan terdapat kerosakan pada sebuah pesawatnya yang pulang dari Singapura, lapor akhbar The Age pada 21 Julai lalu.

Laporan itu mendedahkan mengenai peningkatan penggunaan khidmat kontraktor luar negara sejak akhir-akhir ini untuk menyelenggara pesawat Qantas.

Pada Disember 2007, Qantas menandatangani perjanjian dengan syarikat MAS Aerospace Engineering (MAE), syarikat milik penuh Penerbangan Malaysia, untuk menceburi bidang perkhidmatan penyelenggaran, pembaikan dan baik-pulih pesawat di Asia Terengganu.

Menurut laporan akhbar The Australia pada Disember 2007, bayaran kepada MAE melalui perjanjian tersebut, tidak didedahkan, tetapi menurut laporan, jumlahnya membolehkan Qantas memiliki separuh daripada MAE.

Kemudahan MAE di lapangan terbang lama Subang, Selangor dianggap sebagai pusat membaiki dan penyelenggaraan pesawat untuk para pelanggannya, termasuk KLM Royal Dutch Airlines; Garuda, Indonesia dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.

Penjelasan Penerbangan Malaysia

Dalam satu emel kepada Malaysiakini , Pengurus Besar Kanan Penerbangan Malaysia (Bahagian Kejuruteraan dan Penyelenggaran), Mohd Roslan Ismail menjelaskan bahawa MAE tidak pernah menyelenggara pesawat yang terbabit dalam insiden tersebut.

"Kami hanya mengendalikan penyelenggaraan dan kejuruteraan pesawat Qantas 737. Kita tidak menyelenggara sebarang pesawat Qantas B747 di Malaysia," katanya sambil menyifatkan dakwaan juruterbang tersebut sebagai tidak berasas.

Mohd Roslan juga menegaskan bahawa bahagian kejuruteraan dan penyelenggaraan Penerbangan Malaysia mempunyai rekod yang cemerlang.

"Kami memberi perkhidmatan yang tertinggi kualitinya. Pertambahan jumlah syarikat penerbangan asing yang mendapatkan perkhidmatan kami, menjadi bukti kejayaan kami dalam bidang tersebut. Perkhidmatan bagi pihak ketiga, merupakan kira-kira 40 peratus daripada perniagaan kami," katanya.

Berita asal

ADS