Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hamid: Liwat tidak bermotif politik
Diterbitkan:  Jul 29, 2008 11:58 PM
Dikemaskini: Jul 30, 2008 4:42 AM

Menteri dalam negeri hari ini menafikan tuduhan bahawa dakwaan liwat yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bermotifkan politik.

Datuk Seri Syed Hamid Albar juga menyangkal dakwaan Anwar bahawa kemunculan rekod pemeriksaan terhadap bekas pembantunya itu - yang tidak menunjukkan pemuda itu pernah diliwat - mengesahkan teori konspirasi itu.

Syed Hamid berkata tidak perlu kerajaan membuat konspirasi terhadap Anwar dan siasatan polis terhadap dakwaan itu sedang dijalankan, lapor Bernama .

"Tiada siapa yang cuba memerangkap Anwar. Polis akan menentukan kesahihan laporan perubatan itu.

"Kenapa beliau (Anwar) enggan membiarkan polis menyiapkan penyiasatan itu.

"Jika tidak, beliau (Anwar) juga bertanggungjawab membuat spekulasi," katanya selepas merasmikan persidangan antarabangsa mengenai representasi agama dan umat Islam dalam media hari ini.

syed hamid albar "Beliau (Anwar) tidak melihat kes itu daripada sudut perundangan, tetapi lebih berminat melihatnya daripada dimensi politik. Malahan Anwar belum dihadapkan ke mahkamah pun.

"Jadi, kenapa beliau minta polis hentikan penyiasatan?

"Saya fikir keterangan patut diberikan di mahkamah semasa perbicaraan dan tidak beretika untuk mendedahkannya kepada umum.

"Anda sendiri tidak boleh menjadi pendakwa raya, hakim dan penyiasat. Kita mempunyai mahkamah untuk membuat keputusan."

Menurut agensi berita itu lagi, Syed Hamid menggesa Anwar memberikan kerjasama penuh kepada polis dan tidak menggunakan perdebatan politik untuk meraih sokongan.

"Polis perlu menyiapkan banyak perkara sebelum menyerahkan kertas siasatan mereka kepada peguam negara (AG) dan terpulang kepada AG untuk menentukan sama ada wujud kes prima facie atau tidak," katanya.

Syed Hamid juga berkata sesiapa yang membocorkan laporan perubatan itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana ia menjejaskan siasatan polis.

"Secara peribadi, saya tidak tahu apa-apa mengenai kebocoran laporan perubatan itu. Tetapi mendedahkan maklumat sulit seumpama itu amat tidak profesional.

"Saya juga tidak tahu bagaimana blog mendapat laporan perubatan itu. Ia tidak mungkin jatuh dari langit dan masuk dalam blog berkenaan," katanya.

Laporan perubatan dari Hospital Pusrawi menunjukkan pemeriksaan seorang doktor terhadap Mohd Saiful empat jam sebelum beliau membuat laporan polis terhadap Anwar pada 28 Jun lalu mendapati tiada bukti berlakunya perbuatan liwat.

ismail omar police Bagaimanapun, dalam perkembangan berkaitan, polis menyatakan laporan berita mengenai rekod perubatan bekas pembantu Anwar bertujuan "mensabotaj siasatan mereka dan mengelirukan orang ramai."

Timbalan ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar hari ini berkata dakwaan bahawa Dr Mohamed Osman Abdul Hamid tidak menemui sebarang bukti perubatan "semata-mata bertujuan melencongkan persepsi orang ramai dan melemahkan semangat pasukan polis", lapor Bernama lagi.

Katanya, artikel 'Doctor on the Run: Police Want Him to Fabricate Evidence Against Anwar' (Doktor Dalam Buruan: Polis Mahu Beliau Reka Bukti Terhadap Anwar) di blog Malaysia Today hanya berdasarkan "dengar cakap, bersifat spekulatif dan merupakan tuduhan yang tidak adil".

"Polis ingin menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa tidak terdapat sedikit pun kebenaran dalam tuduhan yang terkandung dalam artikel itu.

"Semasa menyiasat kes ini, polis tidak pernah langsung menahan seorang doktor atau memaksanya mereka-rekakan bukti terhadap suspek," Ismail dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, polis tidak akan sekali-kali terpengaruh atau "boleh digertak" oleh mana-mana pihak supaya mengabaikan siasatan terhadap kes berkenaan.

Beliau berkata pelbagai dakwaan berhubung kes itu kini tersiar dalam laman blog dan adalah tidak wajar bagi polis memberi respons terhadapnya kerana kes berkenaan masih disiasat.

ADS