Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini 9:34pm Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menganjurkan malam kesenian esok sempena sambutan ulang tahun ke-48 berkuatkuasa akta kontroversi itu.

Malam Seni 'Tanpa Bicara' bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan diadakan di sebuah medan selera di Taman Melawati, Hulu Kelang.

ISA yang membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara mengikut budi bicara menteri dalam negeri diluluskan pada 1 Ogos 1960.

Dalam kenyataannya hari ini, GMI berkata kebanyakan daripada 64 tahanan di kem Kamunting di Taiping terdiri aktivis Islam yang dikaitkan dengan kegiatan terorisme.

"Separuh daripada mereka ditahan lanjut (dua tahun) bagi kali kedua (selepas dua tahun pertama) dan dari jumlah itu, 24 orang sudah ditahan selama enam tahun," kata seorang penyelaras GMI, E Nalini.

Tujuh daripada mereka meringkuk di situ selama tujuh tahun - Yazid Suffat, Suhaimi Mokhtar, Shahrial @ Syahrial Sirin, Abdullah Daud, Abdullah Minyak Silam, Mat Sah Mohd Satray dan Shamsuddin Sulaiman.

Malam kesenian ini dengan kerjasama pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang dan Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Seorang lagi koordinator GMI, Aliza Jaafar berkata, majlis tersebut bermula jam 9 malam dengan tayangan slaid dan video dokumentari perjuangan seorang tahanan iaitu Saari Sungib yang pernah ditahan bawah akta tersebut.

Saari, kini wakil rakyat Hulu Kelang, dan ahli parlimen Gombak, Azmin Ali dijadual memberi ucapan kepada penonton.

"Kehadiran pimpinan Pakatan Rakyat penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pakatan ini bersama-sama menentang akta ini dan membela rakyat yang dizalimi," kata Aliza.

Selain itu, tambahnya, GMI juga menjemput seorang penceramah motivasi JIM Hafiz Bai untuk menyampaikan sebuah lagu.

"Hafiz juga akan membaca sepucuk surat tentang kisah benar perasaan anak tahanan ISA kepada penonton," katanya.

Dijangkakan 500 penonton hadir di persembahan kesenian itu.

Tambahnya, dua wakil daripada Amnesty International akan hadir di acara malam itu.

Turut menyerikan majlis, selain isteri-isteri dan keluarga-keluarga tahanan ISA, wakil-wakil PAS, Barisan Bertindak Hindu (Hindraf) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Majlis itu akan dihiburkan dengan persembahan teater penggiat seni yang dikenali 'Ayam dan Azlan'.

Teater 'Tanpa bicara', kata Aliza, dijangka akan dipentaskan jam 10 malam.

Penganjur juga menjemput dua orang penyajak Suria Janib dan Syukri Abdullah untuk mendeklamasikan karya masing-masing.

Aktivis dan penulis kolum Amin Shah Iskandar akan turut menyanyikan tiga buah lagu bagi memeriahkan majlis tersebut.

Menurut Aliza, GMI akan mengedarkan lencana membantah ISA secara percuma kepada hadirin, selain menjual baju T anti-ISA dan buku-buku berkaitan tahanan ISA.

Malam kesenian dijangka tamat jam 11 malam.

ADS