kemaskini 6:23pm Polis menyerahkan satu notis kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta beliau hadir di mahkamah sesyen esok bagi menghadapi pertuduhan liwat.

Notis bertulis itu diserahkan di kediamannya di Bukit Segambut, hanya beberapa minit sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan disertainya pada 16 Ogos ini.

anwar ibrahim court order police asp jude pereira 060808 04 Kata seorang pegawai penasihat PKR itu, dokumen itu disampaikan oleh pegawai penyiasat kesnya DSP Jude Pereira.

Polis Kuala Lumpur tiba di kediaman Anwar pada 12:08 minit dan meninggalkan tempat itu hampir 10 minit kemudian.

Dua naib presiden PKR Sivarasa Rasiah, yang juga bertindak sebagai peguam Anwar, dan Mohd Azmin Ali kelihatan bergegas masuk ke perkarangan rumah ketua mereka tidak lama selepas penyerahan notis tersebut.

Tokoh pembangkang itu mengadakan sidang medianya di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya pada petang ini bagi mengulas tindakan terbaru terhadapnya.

Selain menyalahkan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di sidang media itu, Anwar juga menegaskan kesediaannya bertanding dalam pilihanraya kecil berkenaan walaupun tidak dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah.

SPR menetapkan hari mengundi bagi pilihanraya kecil pada 26 Ogos - satu pertandingan yang paling dinanti-nantikan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding semula selepas tiga penggal.

Menurut siaran media PKR petang ini mengenai perkara tersebut, Anwar menganjurkan solat hajat selepas maghrib di kediamannya.

Parti itu juga menyeru ahli-ahlinya dan penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di kompleks mahkamah Jalan Duta jam 9 pagi esok sebagai menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sementara itu timbalan ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar petang ini berkata tindakan mendakwa Anwar diambil selepas pejabat Peguam Negara memutuskan untuk berbuat demikian, lapor Bernama .

Satu notis bertulis dikeluarkan untuk hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta pada pukul 10 pagi esok, kata Ismail dalam kenyataan.

"Polis telah menjalankan siasatan kes jenayah seksual melibatkan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii yang melibatkan Anwar, dengan berlandaskan prinsip undang-undang dan prosedur sedia ada wujud dalam sistem perundangan negara.

"Kertas siasatan telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat dan keputusan," Ismail dipetik sebagai berkata.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini