Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS tetap teguh dan tidak pernah mengkhianti janjinya selagi ia tidak dikhianati, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau menegaskan, PAS setia dengan persefahaman ini dan pada yang yang sama, sebagai sebuah parti siasah, dakwah dan tarbiah , ia hendaklah juga berjiwa besar dengan menyahut ajakan semua pihak untuk menyelesaikan masalah ummah dan masyarakat.

pas muktamar 54th ipoh stadium opening day 150808 08 "Ini adalah kerana al-Quran dan Sunnah yang menjadi panduan tertinggi, telah mengajar kita supaya bersifat terbuka mencari kebaikan dan menolak fasad.

"Maka PAS menerima segala undangan dari mana-mana parti politik dan NGO dari dalam dan luar negara," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar 'PAS Untuk Semua' di Muktamar ke-54 PAS di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Bagaimanapun, kata Hadi, pertemuan yang diadakan itu wajar dilakukan dengan berhati-hati dan bijak dan bukannya bertujuan menyelamatkan mana-mana pihak.

PAS, katanya, sesekali tidak akan bersama dengan mana-mana parti dan kerajaan yang dilanda penyakit.

Pandangan semua pihak

"Kepimpinan parti pula, akan mendengar apa yang hendak dinyatakan dalam semua bentuk pertemuan itu sebelum membuat apa-apa pertimbangan.

"Manakala keputusan pula tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tetapi hendaklah dirujuk kepada parti di semua peringkat," katanya.

pas muktamar 54th ipoh stadium opening day 150808 09 Hadi berkata, Majlis Syura Ulama akan mengkaji sesuatu situasi yang berlaku berdasarkan hukum Islam dan jawatankuasa kerja pusat PAS akan merancang strategi parti.

Sekiranya perlu, tambahnya, muktamar khas mesti diadakan supaya segala keputusan yang dibuat berlandaskan asas yang kukuh bagi memikul amanah perjuangan menegakkan Islam.

Hadi berkata, menegakkan Islam yang tercinta adalah lebih penting daripada segala-galanya.

Beliau berkata, PAS tetap akan mempertahankan matlamat dan perjuangan asalnya.

'Jangan leka'

"Jangan kita sekali-kali leka seolah-olah peranan kita hanya untuk musim pilihanraya semata-mata dan tidak ada lagi peranan selepas menang (dalam pilihanraya)," katanya.

pas muktamar 54th ipoh stadium opening day 150808 03 Menurutnya, PAS wajib bermuhasabah sejauh mana Islam berperanan dalam mengisi kemenangan ini.

Katanya, tidak ada apa-apa faedah, jika Islam tidak diberi apa-apa peluang untuk melaksanakan keadilan Islam.

Beliau berkata, selepas pilihanraya umum lalu, pengamat politik telah meletakkan PAS sebagai king maker dalam arena politik negara.

Katanya, PAS jangan menjadi parti yang lena dengan jolokan tersebut.

Yang terpenting, kata Hadi, ialah istiqamah kepada prinsip dan matlamat perjuangan serta berpegang kepada bahawa tidak ada matlamat menghalal cara dalam PAS.

Pemimpin Pakatan Rakyat yang menyertai majlis perasmian muktamar tahun itu termasuklah penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan pengerusi DAP Perak Ngeh Khoo Ham.

Dalam ucapan dasarnya itu, Abdul Hadi juga mencadangkan supaya ditubuhkan segera Majlis Menteri Besar Pakatan Rakyat bagi memastikan pembangunan di lima negeri yang kini dikuasainya dapat dirancang secara bersama dan saling menguntungkan.

Katanya, majlis tersebut akan menjadi platform untuk menggabungkan kekayaan dan kekuatan negeri seperti sumber alam, bekalan air dan kemudahan pelabuhan.

Ia juga satu usaha untuk menjadikan kelima-lima negeri itu iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor, kompetetif kepada pelabur asing dan tempatan sekaligus merancakkan pembangunan masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS