Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tidak melihat sebarang masalah dengan penyanyi punk pop wanita kelahiran Kanada, Avril Lavigne, yang akan mengadakan konsertnya Jumaat ini.

Presidennya Mohd Hilmi Ramli berkata penyanyi itu yang dianggap sesetengah pihak di negara ini sebagai seksi "lebih baik sedikit daripada artis-artis luar negara" yang pernah membuat persembahan.

avril lavigne concert merdeka stadium "Avril Lavigne OK sebenarnya. Tidak ada elemen yang tidak baik. Personalitinya lebih baik," tambahnya. "Muziknya OK sikit."

Oleh itu, PKPIM tidak merancang untuk mengadakan demonstrasi membantah konsert 29 Ogos ini seperti diura-urakan oleh sesetengah pihak.

"Dan kami tidak ada niat untuk mengadakan demonstrasi," kata Mohd Hilmi kepada Malaysiakini .

Konsert tersebut dibenarkan kembali oleh kerajaan Sabtu lalu selepas dilaporkan mahu ditangguhkan beberapa hari sebelumnya.

Penganjuran konsert tersebut mendapat bantahan daripada PAS dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mulai awal bulan ini.

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan semalam menyeru beberapa organisasi seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) menyertai bantahannya.

"Pemuda (PAS) Wilayah melihat seolah-olah menteri-menteri Umno tunduk kepada tekanan luar apabila tiba-tiba sahaja bersetuju meluluskan konsert berkenaan.

"Menteri-menteri Umno bacul kerana tidak dapat mempertahankan maruah umat Islam dan Melayu di negara ini.

"Pemuda Wilayah akan menghantar semula memorandum kepada pihak kerajaan bagi membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya kelulusan yang telah diberikan.

"Jika perlu Pemuda Wilayah akan turun berdemonstrasi di jalan raya membantah konsert Avril," satu kenyataan di blog Dewan Pemuda PAS itu dipetik.

Timbalan pengerusi hal-ehwal wanita Gamis, Zafirah Zainuddin hari ini tidak bersetuju dengan pendirian PKPIM.

"Mengikut permerhatian Gamis, video-video klip dan gambar-gambar, penampilannya keterlaluan, mendedah (badan) dan tidak seiring dengan budaya kita.

"Ia mempengaruhi pemakaian anak muda. Ia membawa muzik punk dan punk memberi kesan negatif kepada anak muda," katanya kepada Malaysiakini .

PKPIM bagaimanapun, kata Mohd Hilmi, berpendapat pemilihan tarikh untuk mengadakan konsert itu tidak sesuai.

"Cuma tarikh konsert itu diadakan dekat dengan Ramadhan dan kemerdekaan, seolah-oleh kerajaan tidak sensitif dengan keadaan dan waktu," kata Mohd Hilmi.

Demonstrasi berhubung isu yang sama berulang-ulang akan "menjatuhkan imej" PKPIM sebagai pertubuhan dakwah, tambahnya, dan ia tidak mahu kelihatan mengambil "pendekatan keras."

gwen stefani kl concert performance 220807 covered PKPIM sering menyuarakan bantahannya dalam beberapa konsert penyanyi tempatan dan asing, termasuk konsert penyanyi pop Gwen Stefani (foto kiri) pada 21 Ogos tahun lepas.

Konsert penyanyi punk berusia 23 tahun itu dijangka akan berlangsung di Stadium Merdeka jam 8 malam.

Isu memprotes konsert Lavigne mula serius apabila ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad berbincang dengan wakil Pusat Setempat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar (Puspal) agar konsert itu dibatalkan.

Rabu lalu, wanita Gamis yang diketuai naib presidennya Rafidah Jannah Salleh menghantar memorandum bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung penganjuran konsert tersebut.

Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada hari yang sama dilaporkan menimbangkan untuk menangguhkan konsert itu ke satu tarikh lain yang bersesuaian dengan alasan tidak sesuai dengan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan membawa nilai buruk kepada akhlak rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan membenarkan semula konsert setelah menetapkan prasyarat dan peraturan kepada penganjur agar ia tidak menjejaskan budaya dan penerapan nilai yang tidak baik di kalangan anak-anak muda khususnya dalam bulan kemerdekaan ini.

Diminta mengulas keputusan baru kerajaan itu, Zafirah berasa cukup kecewa dengan langkah meneruskan semula konsert itu.

"Kami membantah sekeras-kerasnya penganjuran konsert tersebut," katanya.

Zafirah berkata wanita Gamis akan menghantar memorandum kepada kementerian berkenaan jam 11 pagi Rabu ini untuk membantah konsert tersebut.

Tambahnya, Gamis juga akan mengedarkan risalah kepada orang ramai sebagai bantahan.

Agak mustahil kerajaan boleh memantau konsert itu agar tidak timbul masalah sosial di kalangan anak muda seperti berdua-duaan, berkelakuan sumbang dan minum arak, kata Zafirah lagi.

"Tidak ada impak positif kepada anak muda. Tidak ada kesan pembinaan sahsiah mereka.

"Konsert (ini) menyumbang kepada keruntuhan akhlak, melemahkan pemikiran dan minda anak muda," katanya.

Tiga album Lavigne terjual 30 juta keping sejak 2002.

ADS