Tindakan disiplin: Imam tidak kempen untuk Anwar

       

dikemaskini Ramlang Porigi, imam yang menjelaskan kehadirannya di acara sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan atas pentas PKR Ahad lepas, tidak pernah berkempen untuk calonnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang peguam imam itu Ahmad Nizam Hamid memberitahu Malaysiakini :

"Beliau tidak pernah mengatakan undilah PKR walaupun satu patah perkataan. Beliau hanya menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku."

Beliau diminta mengulas kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini untuk mengambil tindakan terhadap Ramlang jika didapati berkempen dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

ramlang permatang pauh ceramah 250808 02 Ahmad Nizam berkata mereka akan mempertahankan imam Masjid Wilayah Persekutuan itu jika dikenakan tindakan disiplin.

"Jika perlu, kita akan membawa kes ini ke mahkamah," katanya yang mengetuai kumpulan khidmat guaman Ramlang (foto, kanan) .

Menurut satu sumber masjid di Jalan Duta itu, Ramlang kini sedang bercuti mulai Isnin. Bagaimanapun tidak diketahui bila beliau akan kembali bertugas, tambah sumber.

Menurut Ahmad Nizam, Ramlang kini sedang "tunggu dan lihat" perkembangan selanjutnya sebelum memutuskan untuk meneruskan tugasnya.

Peguam itu menambah, imam itu bimbang akan keselamatannya berdasarkan senario politik semasa "seperti misteri kehilangan penyiasat persendirian P Balasubramaniam" selepas mendedahkan akuan berkanunnya 2 Julai lepas.

Ahmad Nizam berpendapat penjelasan Ramlang atas pentas PKR malam 24 Ogos lalu "menyebabkan kredibiliti Mohd Saiful", yang mendakwa diliwat Anwar, jatuh.

Dalam penjelasannya, Ramlang berkata beliau diarahkan oleh "orang atasannya" untuk hadir di majlis sumpah laknat di tempatnya bertugas 15 Ogos, sehari sebelum penamaan calon pilihanraya kecil tersebut.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dilaporkan berkata seseorang penjawat awam yang terlibat dalam kempen pilihanraya melanggar peraturan kerajaan.

"Bagaimanapun Jakim akan menjalankan siasatan lanjut mengenai penglibatan beliau dalam perkara ini," beliau dipetik berkata.

"Kita juga akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada imam berkenaan. Kalau ada bukti yang menunjukkan beliau terlibat secara langsung kita rujuk dengan lembaga disiplin."

Lewat petang ini, Malaysiakini difahamkan Ramlang telah dimaklumkan oleh rakan-rakannya kelmarin bahawa kemungkinan beliau dikenakan tindakan.

Dua anggota polis difahamkan ke masjid tempat beliau bertugas untuk menemuinya.

Bagaimanapun sehingga kini tiada pihak mengesahkannya.

Dalam pilihanraya yang menyaksikan persaingan sengit antara BN dengan PKR, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi - peningkatan lebih 2,000 undi berbanding yang diperolehi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebanyak 13,388 pada pilihanraya umum Mac lepas.

Sementara calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat hilang wang pertaruhan apabila memungut hanya 92 undi.

Malaysiakini
terkini untuk anda