Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musa Hassan nafi nazak dan lumpuh
Diterbitkan:  Sep 5, 2008 3:19 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini menafikan laporan sebuah akhbar parti politik tempatan yang mendakwa beliau lumpuh dan berada dalam keadaan nazak selepas menjalani pembedahan

pintasan koronari di Institut Jantung Negara (IJN) pada 19 Ogos lalu.

musa hassan Musa, yang kelihatan sihat dan ceria, berkata beliau kini dalam keadaan yang sihat dan semakin pulih setelah menjalani pembedahan selama empat jam itu dan akan kembali bertugas bulan depan.

Beliau yang berjalan tanpa bantuan tetapi secara perlahan-lahan turut melahirkan rasa kesalnya terhadap berita yang disiarkan dalam akhbar mingguan Suara Keadilan edisi 4-11 September 2008, yang seolah-olah menipu rakyat yang sentiasa menantikan perkembangan terbaru mengenai kesihatannya, demikian menurut laporan Bernama.

"Saya terbaca berita dalam akhbar itu yang mendakwa saya lumpuh dan nazak. Saya kesal dengan laporan tu. Bagi saya, ia satu berita palsu yang zalim, disebarkan orang-orang yang tertentu yang ingin membinasakan saya," katanya kepada pemberita di rumahnya di Petaling Jaya hari ini.

Musa berkata sepanjang pembedahan itu beliau tidak langsung mengalami kesakitan sehingga dibenarkan pulang pada 25 Ogos lalu.

"Malah, kesihatan saya pulih dengan cepat sekali. Alhamdulillah," katanya sambil menunjukkan bekas pembedahan jantungnya yang semakin pulih.

Rasa tersinggung

Musa turut mengucapkan terima kasih kepada para doktor yang merawatnya di IJN dan semua tenaga kerja IJN, serta rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatannya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penerbitan itu kerana menyiarkan laporan palsu tersebut, Musa berkata: "Adik beradik saya ada bincang dengan saya mengenai perkara itu (tindakan).

"Tapi itu terpulang pada mereka kerana mereka pun rasa tak seronok dan tersinggung bila cerita begini keluar," katanya.

Ketua Polis Negara yang kini cuti sakit selama 49 hari, menghabiskan cutinya dengan berehat di rumah.

"Buat masa ini jawatan saya dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar," katanya.

ADS