Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tunku Aziz: Parti perkauman tiada masa depan di M'sia
Diterbitkan:  Sep 10, 2008 3:02 PM
Dikemaskini: 5:06 PM

Aktivis anti-rasuah dan tadbir urus baik yang cukup prominen, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim - yang mengejutkan ramai orang apabila menceburi politik dengan menyertai DAP - tidak yakin parti-parti

perkauman mempunyai masa depan di Malaysia.

tunku abdul aziz tunku ibrahim Dalam interbiu dengan Bernama , beliau yang dilantik sebagai naib presiden DAP berkata, kedudukannya dalam badan penggubal dasar parti itu sekarang, akan membolehkan beliau menjadikan DAP sebuah

organisasi yang lebih bersifat Malaysia agar ia tidak setakat dilihat sebagai sebuah "Parti Cina yang berselindung".

"Jika anda mahu menjadi sebuah parti Malaysia, kita perlu menjadi sebuah parti yang benar-benar Malaysia pada sifat luaran, sentimen, kesetiaan dan patriotisme.

Saya tidak yakin parti-parti perkauman punya masa depan di Malaysia," katanya.

Tunku Aziz, 74, memiliki kerjaya cemerlang dalam sektor korporat sebelum melibatkan diri secara aktif di Transparency International, sebuah badan global menentang rasuah.

Beliau telah banyak menulis dan bercakap mengenai isu rasuah dan integriti di dalam negeri dan peringkat antarabangsa dan menerbitkan bukunya "Fighting Corruption: My Mission".

Beliau pernah berkhidmat dengan Bank Dunia dan pada 2006 dijemput untuk menubuhkan Pejabat Etika Pertubuhan Bangsa Bersatu sebagai penasihat khas kepada setiausaha agung ketika itu, Kofi Annan.

Menentang rasuah

Dalam temubual ini, Tunku Aziz bercakap mengenai azamnya untuk terus bersuara menentang rasuah sambil menyatakan: "Tidak ada yang lebih penting bagi sesebuah negara serta sistem dan institusinya daripada dilihat mengamalkan tadbir urus yang baik".

Beliau mengingatkan: "Kita telah melihat banyak negara tumbang atau musnah oleh rasuah. Rasuah akan memusnahkan kita, malahan rasuah telah memusnahkan banyak kerajaan. Tumbangnya kerajaan-

kerajaan lampau adalah akibat rasuah".

Tunku Aziz bercakap mengenai kejayaan Singapura memerangi rasuah dan apa yang boleh dipelajari oleh negara-negara lain dari negara pulau itu.

Beliau berkata, dalam hal Singapura, ia adalah tekad seorang insan, Lee Kuan Yew, bekas perdana menteri dan kini menteri mentor, menentang rasuah.

"Sebelum Lee Kuan Yew, Singapura adalah sebuah masyarakat yang cukup korup, tetapi beliau telah dapat mengubahnya dan menjadikannya sebuah pulau yang berwibawa.

"Beliau barangkali tidak memenangi hadiah kerana hak asasi manusia tetapi andainya ada hadiah dunia semata-mata kerana memerangi rasuah, Lee Kuan Yew jelas pemenangnnya," kata Tunku Aziz.

Beliau berkata semuanya adalah mengenai kepimpinan melalui teladan kerana orang di peringkat bawahan mengikuti cara pemimpin-pemimpin mereka yang dipilih.

"Itu yang telah dapat dilakukan oleh insan tersebut. Kita tidak dapat melakukannya di sini di Malaysia kerana kita meletakkan pandangan kita terlalu rendah.

"Kita perlu meletakkan pandangan tinggi dalam perang menentang rasuah," kata beliau.

Mengapa pilih DAP

Mengenai mengapa beliau memilih DAP, Tunku Aziz berkata beliau telah memerhatikan parti itu selama lebih 20 tahun dan mendapati ia tidak pernah berganjak dari sesetengah nilainya yang beliau kongsi bersama seperti usaha menentang rasuah secara menyeluruh.

Dengan itu, katanya, bererti kita juga memperjuangkan ketelusan dan akauntabiliti.

Beliau juga berkata DAP, walaupun kekal sebagai sebuah parti yang dianggotai kebanyakannya orang Cina, kini mula membuka ruang.

Hakikat bahawa ia mempunyai keanggotaan sedemikian bukan salah mereka. Ini kerana orang Melayu dan kaum lain enggan menyertai parti itu, katanya.

"Parti itu juga memenuhi kehendak saya dari segi perlunya Malaysia menjadi sebuah negara multi-racial kerana kita tidak boleh mengharapkan negara ini maju dalam keadaan kita berpuak-puak," katanya.

Mengenai pandangannya tentang hubungan kaum dalam negara kini, Tunku Aziz berkata, sebagai seorang Melayu, memang beliau ingin melihat masyarakat Melayu dilayan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Namun, katanya, kita tidak boleh mengetepikan hak kaum-kaum lain, malah hak mereka perlu dilindungi.

"Inilah sebab sebenar yang mendorong saya menceburi politik," katanya.

Mengenai BPR

Ditanya mengenai tangkapan yang sering dilakukan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) akhir-akhir ini, Tunku Aziz berkata hal ini menggalakkan, namun beliau mahu BPR menjadi sebuah badan yang benar-benar bebas.

"BPR berulang kali berkata ia bebas, tetapi kita tahu ia tidak. Terpulang kepada BPR memberitahu kerajaan bentuk yang kita mahu...Kerajaan harus mendengar suara rakyat apa bentuk BPR yang kita mahukan di Malaysia," katanya.

"Apa yang saya ingin lihat jika BPR diberikan kuasa, ia menemui sesiapa saja yang disyaki terlibat dengan amalan rasuah atau yang dengan jelas hidup di luar kemampuannya dan meminta orang itu memberi penjelasan mengenainya. Tetapi ini tidak dilakukan," katanya.

Menurut Tunku Aziz BPR boleh mencapai lebih banyak kejayaan dalam tugasnya jika ia bertindak seperti (agensi pencegah rasuah) Hong Kong.

"Jika anda ingin mengikut model Hong Kong yang menjadi tandaras, BPR perlu memiliki beberapa aspek positif Hong Kong antaranya sedia menemui siapa saja dan meminta mereka menjelaskan tentang aset dan kekayaan mereka.

"Saya fikir ini akan menyebabkan orang benar-benar takut untuk melakukan rasuah," kata beliau.

ADS