Masjid Kinrara guna pembesar suara seperti biasa

       

Masjid Kinrara meneruskan amalan menggunakan pembesar suara seperti biasa kerana reaksi masyarakat bukan Islam di situ nampak tiada masalah, kata Pengerusi jawatankuasa masjid tersebut, Abdul Rahman Nasir.

“Penduduk Cina yang kita jumpa, banyak tidak ada masalah. Ada yang suka sebab boleh bangun awal,” katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas solat Jumaat hari ini.

masjid azan loud speaker issue 120908 abdul rahman nasir pengerusi masjid Beliau berkata pihaknya memang ada menerima petisyen yang ditandatangani oleh 189 penduduk bukan Islam di seksyen 5 dan kawasan sekitarnya, pada pertengahan Februari lalu yang mendakwa penggunaan pembesar suara di masjid itu mengganggu ketenteraman mereka.

Bagaimanapun, beliau hairan mengapa penduduk Seksyen 4 dan Seksyen 1 turut menandatangani petisyen tersebut.

“Seskyen 1 mana boleh dengar. Seksyen 4 dengar sikit-sikit saja, itu pun tidak semua,” katanya.

Beliau menafikan penggunaan pembesar suara di masjid itu kuat dan mengganggu penduduk.

Dalam petisyen mereka, penduduk yang menandatangani petisyen tersebut, meminta memohon supaya diperlahankan penggunaan pembesar suara untuk majlis ceramah, kuliah Subuh, kuliah Maghrib serta bacaan ayat al-Quran yang menggunakan kaset dan CD sebelum sembahyang Subuh di masjid tersebut.

'Kepentingan politik'

Menurut mereka, ini kerana ia mengganggu mereka untuk berehat atau bangun lewat, terutama pada hari Ahad dan juga untuk mengajar anak-anak mereka belajar pada sebelah malam.

masjid azan loud speaker issue 120908 03 Ditanya tentang kekerapan program-program masjid yang dilaksanakan selama ini, Abdul Rahman berkata, kuliah dan ceramah diadakan dua hari dalam seminggu.

“Itu pun selang-selang,” katanya.

Menurutnya lagi, bacaan al-Quran pula, tidak sampai lima minat sebelum subuh.

Masjid itu mempunyai sebuah menara azan dengan empat pembesar suara.

Mengulas lanjut mengenai petisyen tersebut, Abdul Rahman berkata ia mungkin mempunyai kaitan dengan kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

Menurut lagi, aduan yang dibuat berdekatan tarikh pilihanraya umum pada 8 Mac lalu, menimbulkan persoalan.

“Sudah enam tahun masjid ini dibina, kenapa baru sekarang (aduan dibuat)?” katanya ketika ditemui Malaysiakini di masjid berkenaan selepas solat Jumaat tengah hari tadi.

Jumpa Adun

Menurut Abdul Rahman lagi, sejurus menerima petisyen tersebut melalui Imam ketiga masjid itu, Ishak Elyas, beliau terus membawanya ke perhatian Adun Sri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman.

masjid azan loud speaker issue 120908 01 Selepas berbincang dengan Satim yang juga wakil rakyat kawasan tersebut, Abdul Rahman berkata, Satim berkata ia merupakan perkara yang sensitif dan jika perlu, dibuat laporan polis.

Bagaimanapun, kata Abdul Rahman, sehingga ini, pihaknya tidak membuat sebarang laporan polis berhubung petisyen tersebut.

Beliau juga berkata, tidak ada ahli politik, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Teresa Kok yang datang ke masjid tersebut berhubung petisyen penduduk berkenaan.

Teresa kelmarin turut dilaporkan menafikan melarang azan dilaungkan di masjid dan surau sekitar Puchong dan kota Damansara.

Teresa juga, dalam blognya, menafikan dakwaan yang beliau pernah pergi ke masjid di Puchong pada awal pagi dan menasihatkan pengurusannya supaya tidak melaungkan azan dengan menggunakan pembesar suara.

Semalam, ahli Parlimen PAS bagi Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud telah membuat polis terhadap bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dilaporkan mendakwa ada usaha pihak yang dipercayai didalangi salah sebuah parti yang membentuk kerajaan Selangor, membuat petisyen membantah azan di Puchong dan Kota Damansara.

Malaysiakini
terkini untuk anda