Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu karung undi dijumpai di sungai
Diterbitkan:  Oct 13, 2008 1:12 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Karung undi pos di dalam sebatang sungai di Menggatal, Sabah yang ditemui Julai lepas tidak melibatkan kertas undi pos bagi pilihanraya umum Mac tahun ini kerana tiada sebarang kertas undi

yang ditemui.

"Ia disebabkan oleh kegagalan petugas-petugas pilihan raya mengembalikan semua peralatan pilihan raya yang tidak digunakan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjawab soalan Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah (BN-Batu Sapi) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya berdasarkan kepada semakan yang dibuat, didapati sampul plastik yang dijumpai tersebut adalah sampul-sampul plastik yang digunakan semasa pilihanraya umum Sabah pada 1999.

"Oleh sebab terdapat keraguan ke atas dokumen-dokumen tersebut dan memandangkan tempoh masa yang agak lama, maka pihak polis akan membuat pemeriksaan forensik bagi mengesan usia karung berkenaan," katanya, seperti laporan Bernama .

Bagaimanapun, Mohamed Nazri berkata sehngga kini pihak polis belum memaklumkan hasil pemeriksaannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut beliau, hanya selepas disahkan, sampul-sampul plastik berkenaan boleh dimusnahkan mengikut peruntukan Peraturan 25 E Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Pada 24 Julai lepas, dilaporkan satu karung berwarna perang yang digunakan untuk undi pos telah ditemui di Sungai Tebobon.

Karung berkenaan tertera perkataan "undi pos" dan "Suruhanjaya Pilihan Raya".

Ia mengandungi 10 beg plastik biru ketika ditemui oleh seorang petani yang memotong rumput di kawasan berhampiran.

Menurut agensi berita itu lagi, hasil siasatan awal polis bagaimanapun mendapati karung berkenaan hanya mengandungi beg-beg plastik kosong.

ADS