Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tempoh kempen panjang, Zahid sokong Muhyiddin
Diterbitkan:  Oct 17, 2008 6:04 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersetuju dengan pendapat bahawa tempoh empat bulan bagi kempen pemilihan Umno adalah terlalu panjang.

Beliau berpendapat tempoh kempen sepatutnya bermula sebaik sahaja bahagian-bahagian menyelesaikan persidangan perwakilan masing-masing pada 9 November depan.

"Itu adalah satu tarikh yang sebaik-baiknya kerana di dalam amalan pemilihan yang lepas, tempoh kempen tidak sepanjang yang sedang kita hadapi sekarang," katanya yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Tetapi saya bukanlah `authority' yang boleh bercakap mengenai hal itu tetapi jika perkara itu dibawa oleh jawatankuasa pengurusan untuk dibincangkan pada mesyuarat MT minggu depan, Insyaallah saya salah seorang yang akan menyokong," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Aidilfitri Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, Bernama memetik Ahmad Zahid sebagai berkata pandangannya itu bukan dengan hasrat meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan jawatannya lebih awal.

"Tetapi Perdana Menteri boleh terus pegang jawatan sebagaimana yang tetapkan kerana saya tetap menghormati tarikh peralihan kuasa iaitu pada Mac 2009...cuma dari segi parti...presiden parti mungkin dapat dipilih secara rasmi pada perhimpunan agung parti yang diadakan lebih awal," katanya.

Beliau berkata pemilihan awal bukan sahaja boleh memberikan keselesaan kepada calon tetapi juga kepada para perwakilan.

"Saya lihat bukan hanya politik wang akan berlaku tetapi juga boleh menimbulkan banyak fitnah, tohmahan dan macam-macam lagilah," katanya.

Semalam Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tempoh kempen selama empat bulan untuk pemilihan Umno adalah terlalu lama dan ia boleh menjejaskan produktiviti calon terutama yang mempunyai portfolio dalam kerajaan.

Muhyiddin yang akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Umno turut merasakan sebagai seorang calon tempoh kempen yang pendek iaitu selama sebulan adalah lebih baik.

Mengulas saranan Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai hari ini supaya jawatan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditambah kepada dua jawatan dengan satunya daripadanya diisi pemimpin MCA, Ahmad Zahid berkata cadangan itu baik tetapi perlu mendapatkan persetujuan daripada semua anggota BN.

ADS