Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin nafi gesa peralihan kuasa dipercepatkan lagi
Diterbitkan:  Oct 18, 2008 10:45 PM
Dikemaskini: 2:48 PM

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan bahawa beliau menggesa proses peralihan kuasa antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak dipercepatkan lagi.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata apa yang dimaksudnya adalah mengenai tempoh kempen pemilihan parti yang dirasakan terlalu panjang.

"Memanglah saya kata (tempoh) panjang tapi saya tak kata nak pinda tarikh ke sebab saya menghormati keputusan Majlis Tertinggi (Umno) tentang tempoh peralihan. Kita (Majlis Tertinggi) dah sepakat dan Presiden dah putuskan dan saya amat menghormati. Tempoh peralihan itu masih kekal pada Mac.

"Ini kenyataan saya mengenai kempen tidak ada kena mengena dengan peralihan kuasa. Itu dua subjek yang berbeza. Tempoh kempen lain, tempoh peralihan itu dah tetap. Saya tidak mahu dipanggil sebagai orang yang mengungkit.

"Saya ada pendirian saya. Apa yang diputuskan saya hormat cuma bila orang tanya semua orang cakap itu tempoh panjang," katanya pada pemberita di majlis rumah terbukanya di ibunegara hari ini.

Menurut Bernama, beliau berkata, tempoh kempen pemilihan Umno yang terlalu panjang bukan sahaja menjejaskan produktiviti malah membuang masa selain menyebabkan gejala fitnah memfitnah berleluasa.

"Jadi sebab itu saya katakan tempoh kempen itu panjang sebab macam-macam boleh berlaku. Jadi saya stop, tetapi orang buat interpretasi yang pada saya itu hak mereka. Saya tidak ada cakap lebih pasal itu. Saya tak kata kena buat itu ini. Jangan disalah tafsir," katanya.

Muhyiddin berkata ini merupakan kali pertama tempoh berkempen yang paling lama iaitu selama empat bulan berbanding sebulan sebelum ini.

Turut hadir pada majlis rumah terbukanya ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim, bekas setiausaha agung Umno Tan Sri Sabaruddin Chik, bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BN-BBC) Datuk Seri Tiong King Sing, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Anggota Parlimen Sri Gading Datuk Mohamad Aziz turut hadir di majlis berkenaan.

ADS