Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harga beras turun 20 sen sekilogram
Diterbitkan:  Nov 1, 2008 3:51 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Sejajar dengan seruan kerajaan agar peniaga menurunkan harga barangan terutamanya bahan makanan ekoran penurunan harga bahan api, harga beras di pasaran tempatan juga telah turun 20 sen sekilogram.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata pihaknya menerima notis mengenai perkara itu dua hari lepas setelah membuat tinjauan di pasar raya seluruh negara.

"Harga beras dah turun harga pada purata 20 sen sekilogram di mana harga bagi beras tempatan 5 peratus hancur turun daripada RM2.80 kepada RM2.60

sekilogram, manakala yang 10 peratus hancur juga turun daripada RM2.70 ke RM2.50 sen sekilogram.

"Bagaimanapun harga beras 15 peratus masih kekal pada RM1.80 kerana ini beras subsidi yang harga sebenarnya RM2.30 sekilogram," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata harga bagi beras 15 peratus hancur tidak boleh diturunkan kerana kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM400 juta setahun untuk subsidi beras berkenaan.

Mustapa berkata langkah itu antara lain dapat menjaga kepentingan penanam padi di negara ini.

Kepada soalan apakah terdapat satu bentuk kawalan terhadap kos pengangkutan berikutan penurunan harga minyak baru-baru ini, beliau berkata walaupun tiada kawalan seumpama itu namun diharapkan harga barangan yang selalunya dipengaruhi secara langsung oleh kos pengangkutan, akan turut diturunkan.

ADS