mk-logo
Berita
KM: Jangan politik isu Melayu untuk populariti murahan
Diterbitkan:  Nov 6, 2008 11:01 AM
Dikemaskini: 11:29 AM

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam berkata peringatan Sultan Azlan Shah wajar diberi perhatian serius oleh mana-mana supaya tidak mempolitikkan isu, terutama yang membabitkan kepentingan dan keistimewaa orang Melayu, semata-mata untuk mencari populariti murahan.

"Ini adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri yang termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.

ali rustam Mohd Ali berkata, Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kepentingan sah kaun lain di negara ini.

Calon timbalan presiden Umno itu mengulas titah Sultan Azlan bahawa sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh Raja-raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah - merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak - perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-raja.

Menurut baginda, Raja-raja memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya.

Ketua Menteri Melaka itu juga mengingatkan bahawa perlunya semua pihak, termasuk ahli politik di semua peringkat serta penjawat awam, memberi fokus untuk membela kepentingan rakyat.

"Kita perlu bekerja dan bukan berpolitiking. Rakyat memerlukan pembelaan dan amanat yang diberikan melalui pilihanraya umum lalu perlu diterjemahkan segera.

"Kita bimbang jika isu ketuanan Melayu, hak orang Melayu, kontrak sosial terus dipersoal dan dipertikaikan oleh mana-mana pihak, ia boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat," tambah Mohd Ali lagi.

Menurutnya lagi, orang Melayu perlu berani dan tegas mempertahankan "hak kita dan bukannya bersifat talam dua muka memburukkan kaumnya sendiri, dengan memberi pelbagai tafsiran peribadi mengenai ketuanan Melayu".

Beliau juga menjelaskan bahawa kaum bukan Melayu tidak perlu bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini