mk-logo
Berita
Zaki cuba elak dengar kes Umno
Diterbitkan:  Nov 8, 2008 11:54 AM
Dikemaskini: 11:59 AM

Ketua Hakim Negara yang baru dilantik Tan Sri Zaki Tun Azmi berkata beliau seboleh mungkin akan mengelak daripada mendengar kes-kes melibatkan Umno apabila ia dibawa ke mahkamah memandangkan beliau pernah mewakili parti itu sebagai peguam.

Katanya setakat ini beliau akan berbuat demikian sehinggalah merasakan persepsi umum terhadap diri beliau sudah berubah.

zaki azmi chief justice installation event 291008 03 "Setakat ini kes Umno yang datang ke mahkamah, saya tidak akan membicarakan. Saya kata saya tidak mahu (membicarakannya)… sehingga saya dapat menunjukkan kebebasan diri saya," katanya dalam Wawancara Khas bersama Pengerusi Bernama Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini yang disiarkan menerusi Bernama TV.

Zaki ditanya bagaimanakah beliau akan mengendalikan kes-kes melibatkan Umno memandangkan wujud keraguan sesetengah pihak kerana beliau sebelum ini pernah mewakili Umno sebagai peguam.

Zaki, 63, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenan Majlis Raja-Raja pada 18 Oktober lepas. Zaki yang sebelum itu adalah Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamed yang bersara wajib.

Zaki juga berkata imej badan kehakiman kini semakin baik selepas pelantikan Tun Abdul Hamid Mohamed sebagai Ketua Hakim Negara apabila keputusan-keputusan perbicaraan mahkamah terutama berhubung petisyen pilihanraya tidak semata-mata memihak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Begitu juga, katanya, keputusan Mahkamah Khas yang memerintahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar Abdul Rahman membayar AS$1 juta (RM3.5 juta) kepada sebuah bank selepas memutuskan baginda perlu mematuhi terma-terma dalam surat kredit.

"Tidak campur tangan'

"(Keputusan mahkamah) itu semua menunjukkan kehakiman adalah bebas. Pada saya, hanya masa boleh menentukan atau menunjukkan kebebasan kehakiman," kata Zaki.

Ketua Hakim Negara itu juga berkata beliau tidak akan campur tangan dalam keputusan penghakiman yang dibuat oleh hakim-hakim dan beliau juga meminta ketua-ketua hakim supaya turut berbuat demikian bagi hakim-hakim di bawah mereka.

"Saya sendiri tidak campur tangan, tidak membuat cadangan kepada mereka dan mereka membuat keputusan mengikut undang-undang," katanya.

Ditanya apakah usaha beliau untuk mengembalikan imej Badan Kehakiman pada tahap pra-1980-an atau sebelum peristiwa pemecatan Tun Salleh Abas, beliau berkata imej badan itu sedikit sebanyak telah diperbaiki setelah Tun Abdul Hamid Mohamad dilantik Ketua Hakim Negara, dan beliau akan terus berusaha memperbaikinya.

Zaki juga yakin tidak wujud lagi gejala rasuah dalam Badan Kehakiman dan beliau pasti sekiranya masih wujud segelintir yang cenderung ke arah itu, mereka tidak akan berani berbuat demikian.

Beliau seterusnya meminta orang ramai supaya tidak menggoda anggota badan kehakiman untuk menerima rasuah.

Kepada pihak media, beliau memohon supaya tidak mensensasikan berita mengenai sesuatu kes sebaliknya membuat laporan tepat yang akan membantu kenaikkan imej badan kehakiman.

Kes tertunggak

Zaki juga berkata, menjamin pengadilan lebih cepat dan menyelesaikan tunggakan kes yang besar merupakan prioriti utamanya sebagai Ketua Hakim Negara.

"Saya mahu pastikan pengadilan dicapai dengan cepat. (Saya mahu) menyelesaikan timbunan kes. Jika saya dapat lakukan ini, maka saya cukup berpuas hati," katanya.

Tokoh undang-undang terkemuka berusia 63 tahun itu juga berikrar, antara lain, menangani kerenah birokrasi di mahkamah, menghapus halangan pentadbiran, memperbaiki sistem penyampaian kehakiman dan mengurangkan penangguhan kes.

Selaku bekas peguam, Zaki berkata beliau memahami masalah-masalah di mahkamah dan satu daripada sebab beliau menerima jawatan tertinggi dalam badan kehakiman itu ialah beliau mahu membantu memperbaiki imej sistem kehakiman negara.

"Saya diminta untuk menjadi hakim...saya berfikir kalau saya boleh bantu kerajaan untuk memperbaiki badan kehakiman, mengapa tidak. Jadi saya setuju. Ini untuk memperbaiki imej kehakiman. Imej bukan daripada segi rasuah tetapi daripada segi perkhidmatan yang diberi kepada orang ramai. Yang penting ialah sistem penyampaian dalam badan kehakiman," kata Zaki, anak bekas seorang Ketua Hakim Negara, allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed.

Zaki berkata sebagai seorang peguam, beliau selalu merasa amat kecewa dengan perkhidmatan yang diberikan oleh badan kehakiman, bukan hanya di peringkat mahkamah tetapi juga di peringkat pendaftar mahkamah.

"Apabila kita hendak mendapat perintah balik, ia memakan masa, surat yang ditulis untuk mendapat jawapan juga memakan masa, kita pergi ke mahkamah terpaksa menunggu berjam-jam untuk kes kita dibicara, malah sekarang saya sudah sampaikan perasaan ini kepada hakim-hakim yang ada. Betapa mengecewakan, saya terpaksa menunggu selama dua jam untuk dipanggil bagi sesuatu kes. Saya harap perkara ini yang akan dapat diatasi," katanya.

Beliau berkata ada masalah yang dihadapi oleh badan kehakiman yang boleh diselesaikan dengan serta merta, dan ada pula masalah yang memerlukan masa untuk diselesaikan.

Sistem fail

Zaki berkata ketika menjadi Presiden Mahkamah Rayuan, dalam masa dua bulan setengah, beliau telah dapat menyusun semula 50,000 fail (jilid) dan mengurangkan jumlah kerani yang menjaga fail itu daripada 13 orang kepada hanya dua orang.

"Sekarang kalau hendak fail daripada Mahkamah Rayuan, tiga minit atau lima minit sudah boleh dapatkan fail tersebut. Walhal sebelum itu 13 orang menjaga 13 longgok fail dan tiap seorang itu mempunyai sistem mereka sendiri. Tetapi ini hanya boleh dilakukan dengan sokongan kakitangan. Kalau kakitangan tidak memberi sokongan, saya tidak dapat melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata jika sesuatu fail itu boleh didapati dalam masa yang singkat, perintah mahkamah juga akan dapat dikeluarkan dengan cepat.

Zaki berkata perkara ini benar kerana semasa lawatannya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, beliau mendapati mahkamah memerlukan dua hingga tiga minggu hanya untuk mengeluarkan perintah kerana waktu itu diperlukan untuk mencari dan mendapatkan fail sesuatu kes.

Ditanya jika soal ini perkara yang remeh bagi seorang ketua hakim seperti beliau, Zaki berkata: "Semasa saya di sektor swasta, saya lihat sendiri masalah…emahami masalah dan memberi arahan kepada pegawai-pegawai yang berkenaan".

"Sebulan selepas itu kita lihat sama ada sasaran dapat dicapai. Dan memberi perangsang kepada pekerja-pekerja, saya melawat ke (pejabat) pendaftar dari semasa ke semasa," katanya.

Katanya beliau akan memberi tumpuan kepada masalah tunggakan kes dan kelambatan dalam proses membuat keputusan sesuatu kes.

"Terlalu banyak kes yang perlu dibicara dan diselesaikan. Kita amat kekurangan hakim. Selain daripada itu, saya juga pohon kerjasama daripada pihak peguam. Ini kerana pihak peguam juga boleh mempercepatkan perjalanan perbicaraan. Saya akan berjumpa dengan pihak peguam untuk memohon kerjasama," katanya.

Tulis alasan kehakiman

Beliau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penulisan penghakiman yang mengambil masa terlalu lama kerana terdapat hakim yang boleh menulis penghakiman mereka dalam masa yang singkat tetapi ada juga hakim yang mengambil masa yang terlalu lama untuk berbuat demikian.

Zaki berkata beliau telah membuat cadangan kepada hakim pada majlis penutupan Persidangan LawAsia baru-baru ini, agar mereka belajar menulis alasan penghakiman mereka secara ringkas tertumpu kepada persoalan penting dalam sesuatu kes.

"Seorang hakim semasa saya dua tahun di bahagian komersial di Mahkamah Kuala Lumpur menulis 500 alasan penghakiman. Bukanlah penghakiman itu panjangnya sehingga 50 muka tetapi mungkin dalam lima atau 10 muka…boleh dihabiskan dalam tempoh satu jam. Ini kerana setiap kali hakim membuat keputusan, alasan penghakiman sudah ada dalam fikiran mereka… sebab-sebabnya sudah ada, cuma perlu ditulis di atas kertas, itu sahaja," katanya.

Ditanya bagaimana masalah tersebut boleh diatasi, Zaki berkata satu cara adalah dengan menghantar peringatan kepada hakim yang belum menyerahkan alasan penghakiman dan mengadakan log alasan penghakiman untuk semua hakim, yang akan membolehkan mereka membuat perbandingan.

Ditanya mengenai tegurannya terhadap hakim-hakim lain yang dibuat secara terbuka di Persidangan LawAsia, beliau berkata hakim, peguam dan kakitangan badan penghakiman faham perangai beliau yang tidak memberi ruang kepada sebarang kepincangan pentadbiran.

"Saya ingat impaknya (membuat teguran secara terbuka) lebih kuat. Apabila saya baca surat khabar, saya tidak sangka impaknya macam itu. Selepas saya membuat ucapan semasa hari pelantikan saya sebagai Ketua Hakim Negara, ada hakim-hakim berjabat tangan dengan saya dan saya percaya mungkin 90 peratus hakim menyokong saya berhubung apa yang saya katakan. Ada kemungkinan sedikit yang tidak bersetuju," katanya.

Zaki berkata penangguhan kes oleh peguam juga menyumbang kepada tunggakan kes dan sejak beliau menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan, beliau telah berkali-kali memberitahu peguam-peguam yang mahu tangguhkan kes pada saat terakhir bahawa penangguhan tidak dibenarkan dan di peringkat Mahkamah Rayuan semasa saya menjadi Presiden, hakim-hakim Mahkamah Rayuan diberi arahan supaya tidak benarkan penangguhan.

Pada tahun lepas, penangguhan kes di Mahkamah Rayuan adalah 32 peratus bermakna jika 1,000 kes ditetapkan, 320 kes ditangguhkan.

Tugas pentadbiran

"Tahun ini, sejak saya mengambil alih sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, terdapat pengurangan 10 peratus dalam penangguhan kes. Mesej ini sampai kepada peguam dan peguam tahu perkara ini," katanya.

aki berkata sistem kehakiman negara ini terbahagi kepada dua fungsi iaitu pentadbiran dan kehakiman, dengan pentadbiran antara lain terlibat dalam penyampaian rekod, penyisihan fail, dan pengeluaran arahan manakala kehakiman tertumpu kepada menyampaikan penghakiman dan menentukan tidak ada timbunan kes.

Sebagai Ketua Hakim Negara, katanya beliau perlu melakukan kedua-duanya kerana "jika pentadbiran tidak bergerak, kehakiman tidak boleh bergerak lebih pantas".

"Di sini, saya bukan saja seorang hakim tetapi juga seorang pengurus," kata Zaki, yang merasakan Ketua Pendaftar wajar mengambil alih tugas pentadbiran.

"Itu yang ingin saya tegaskan…bahawa Ketua Pendaftar mesti melakukan tugas pentadbiran. Seperti mentadbir sebuah hospital. Hospital swasta mengambil pentadbir hospital yang dilatih khusus. Mereka adalah juga doktor tetapi mereka tidak merawat pesakit," katanya.

Beliau juga menghuraikan mengenai punca tunggakan kes.

"Masalahnya bukan saja mahkamah tetapi juga peguam, yang memohon penangguhan.

"Seorang ahli kimia perlu bekejar dari satu mahkamah ke satu mahkamah. Pegawai yang membuat serbuan juga perlu melakukan demikian. Dalam kes bunuh, ahli patologi yang sama perlu memberi keterangan di mahkamah berasingan.

"Ada kes seorang ahli kimia hadir di mahkamah A pada sebelah pagi, kemudian bekejar ke mahkamah B pada sebelah petang. Mereka keliru dengan fakta. Bagaimana ini hendak diatasi?

"Saya mempunyai 17 kamar Mahkamah Tinggi yang tidak diisi. Saya boleh lantik 17 hakim dengan segera, tetapi dari mana mereka datang? Saya boleh dapatkan daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan tetapi saya perlu pula mengisi jawatan mereka yang sebelumnya. Jadi ini bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam sekelip mata. Mungkin dalam tempoh 100 hari, saya boleh lakukan," kata Zaki.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini