mk-logo
Berita
Shahrizat digesa contohi Kamilia
Diterbitkan:  Nov 12, 2008 3:06 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Shahrizat Abdul Jalil digesa supaya tidak mensia-siakan kepercayaan akar yang mencalonkannya beliau bertanding jawatan ketua pergerakan itu Mac depan.

Sebaliknya beliau diminta mencontohi ketegasan Datuk Kamilia Ibrahim yang tetap mahu bertanding jawatan naib ketua.

"Tindakan Kamilia itu sangat dihargai kerana kami merasakan pandangan kami tidak sia-sia dan akan terus memberikan sokongan kepada beliau," kata Ketua Wanita Bahagian Jerlun, Datuk Maznah Hamid kepada Bernama semalam.

Semalam, Kamilia yang juga exco pergerakan itu berkata, beliau tetap mahu bertanding bagi merebut jawatan naib ketua Wanita Umno Mac depan.

kamilia ibrahim Kamilia dilaporkan berkata, beliau menawarkan diri bagi jawatan itu kerana beliau tidak mengiktiraf pelan peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu pada Jun 2009.

Beliau berkata pelan peralihan seumpama itu tidak terkandung dalam perlembangan Umno dan "bukan amalan Umno".

Kamilia, yang telah dua kali tidak menghadiri mesyuarat Exco pergerakan itu termasuk kelmarin, berkata tindakannya itu adalah satu isyarat bahawa beliau tidak menyetujui pelan peralihan itu.

Sementara itu Maznah juga mempersoalkan keputusan mesyuarat exco pergerakan itu kelmarin yang mengekalkan pelan peralihan kuasa Jun depan kerana ia menyekat suara akar umbi yang mahukan pertandingan bagi jawatan tertinggi Wanita Umno.

Proses peralihan

Katanya akar umbi dapat menilai maksud tersurat dan tersirat yang berlaku di sebalik proses peralihan kuasa dalam pergerakan itu.

Oleh itu kataya Shahrizat tidak sepatutnya mensia-siakan kepercayaan akar umbi yang mahu beliau bertanding jawatan ketua Wanita.

shahrizat sharizat abdul jalil Shahrizat mendapat 73 pencalonan untuk bertanding jawatan ketua Wanita Umno yang kini disandang oleh Tan Sri Rafidah Aziz yang mendapat 118 pencalonan.

Bagi jawatan naib ketua pula, Shahrizat mendapat 114 pencalonan manakala Kamilia yang juga exco pergerakan itu dan ketua Wanita Kuala Kangsar memperolehi 55 pencalonan.

Katanya, Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz yang telah lama berkecimpung dalam politik, dilihatnya sebagai 'ibu' kepada pergerakan itu dan boleh membantu dengan cara menyerahkan kuasa kepada Shahrizat bagi mengelakkan pergerakan itu berpecah belah.

"Jika Rafidah enggan berganjak, ini bermakna beliau menafikan kemahuan akar umbi dan bakal mengundang pelbagai percakaran dan pecah belah selepas pemilihan nanti," katanya.

'Tidak guna pangku'

Sementara itu Ketua Wanita Umno Kalabakan Datuk Hamisa Samat berkata tidak ada guna Shahrizat memangku jawatan tersebut untuk tempoh tiga tahun akan datang sedangkan bahagiannya yakin penuh bahawa Shahrizat boleh menerajui pergerakan itu seawal Mac depan.

"Tidak salah jika tarikh itu dipercepatkan pada bulan Mac tahun depan. Jika Shahrizat hanya memangku tugas ketua pergerakan dan pengerusi wanita BN, peranannya dalam Wanita Umno dan Wanita BN tidak berkesan. Biarlah status jawatan itu bertaraf ketua dan bukan sebagai memangku," katanya.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi (MT), Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Rafidah dan Shahrizat perlu mencari jalan penyelesaian mengenai pelan peralihan kuasa yang ditetapkan.

Menurutnya, ahli akar umbi mungkin mahukan perubahan,

namun pada masa yang sama, wujud unsur janji mengenai tarikh peralihan kuasa itu.

Apa yang penting, katanya ialah pergerakan itu perlu fokus terhadap kekuatan parti bagi membantu mencapai kemenangan pada pilihanraya umum akan datang.

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS