Berita Malaysiakini

JHEAT nafi larang polis tahan Ayah Pin

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan rasmi kepada pihak polis supaya jangan menahan Ayah Pin yang dikesan pulang ke negara ini, dari Selatan Thai, baru-baru ini.

Sehubungan itu, JHEAT berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai laporan yang mengatakan jabatan tersebut tidak membenarkan polis menahan Ayah Pin.

ayah pin inter-faith 260105 the man Malah, kata Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JHEAT, Mohamad Nor Mohamad, pihaknya tidak pernah berbincang berhubung larangan tangkapan ke atas Ayah Pin.

Mohamad diminta mengulas laporan hari ini yang memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai berkata, polis Terengganu sudah diarah menyiasat mengapa JHEAT tidak benarkan polis menahan Ayah Pin yang dikesan pulang ke negara ini dari Selatan Thai, baru-baru ini.

Ayah Pin yang mengakui mengetuai 'Kerajaan Langit' menghilangkan diri tiga tahun yang lalu.

Ini ekoran beliau didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana dikatakan bertindak menghina pihak berkuasa agama di rumahnya di Kampung Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut pada 20 Julai 2005.

Tertuduh dikatakan mengingkari fatwa bahawa ajaran yang diamalkannya sesat dan menyeleweng serta boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta boleh merosakkan akidah.

Status siasatan

ayah pin inter-faith 260105 procession Menurut laporan, Musa dipetik sebagai berkata, polis mendapat maklumat ketua ajaran sesat itu pulang ke Terengganu tetapi tidak menahannya selepas Jabatan Agama Islam negeri itu menyatakannya tidak perlu.

"Apabila polis tanya sama ada nak menahannya, jabatan agama Islam negeri itu kata tidak perlu," kata Musa dalam ucaptama di seminar memperkasakan pentadbiran keadilan di mahkamah syariah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak hari ini.

Sehubungan itu, Musa berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Terengganu mendapat maklumat lanjut daripada jabatan berkenaan serta maklumat lanjut kes itu.

Sementara itu, menurut Mohamad lagi, status siasatan jabatannya terhadap Ayah Pin kini masih di peringkat mencari bukti.

Pada masa ini, katanya, ajaran Ayah Pin itu tidak dapat dibuktikan bila ia berlaku dan apakah ajaran-ajaran tersebut.

ayah pin inter-faith 260105 followers Ditanya mengenai cakera padat mengenai Ayah Pin yang tersebar luas sebelum ini, Mohamad berkata, ia tidak dapat dibuktikan bila ia berlaku.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai perkara tersebut.

Malaysiakini difahamkan bahawa beliau kini berada di luar negara.