BERITA

Ada gerakan cabar saya sebagai ketua Wanita, kata Rafidah

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Nov 2008, 8:01 pagi

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mendakwa ada gerakan untuk mencabar beliau sebagai ketua pergerakan tersebut.

Katanya, gerakan itu wujud walaupun pelan peralihan kuasa - untuk menyerahkan jawatan ketua Wanita kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil - pada Jun 2009 dipersetujui.

rafidah and shahrizat wanita umno 211108 Rafidah memberitahu demikian ketika ditemui selepas beliau menemui para penyokongnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara pagi tadi.

Rafidah berkata, mengikut pelan peralihan kuasa, selepas kekal sebagai ketua Wanita, beliau akan berunding dengan Shahrizat jika melantik ketua Wanita negeri.

Ini bermakna, katanya, beliau tidak akan melantik ketua Wanita negeri yang tidak dipersetujui oleh Shahrizat.

Oleh itu, beliau mempersoalkan tindakan Shahrizat yang hanya mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan ketua Wanita selepas mesyuarat Wanita Umno bahagian berakhir.

"Saya memang hendak serahkan elok-elok kepadanya, jadi buat apa dia bangkit lagi kononnya saya sudah tidak ada penyokong.

Calon naib ketua

"Jangan guna kempen kononnya untuk pembaharuan. Tidak ada orang lama Umno akan hancur.

"Kita terima yang baru untuk digandingkan dengan pemimpin Wanita yang lama," katanya.

Ketika ditanya gesaan sesetengah pemimpin Wanita supaya beliau memberi laluan kepada Shahrizat, Rafidah berkata: "Orang yang bercakap itu lebih tua daripada saya."

Rafidah juga mendedahkan banyak bahagian Wanita yang mahu mencalonkan calon lain selain Shahrizat bagi bertanding jawatan naib ketua Wanita Umno.

"Tetapi saya tidak mahu mereka mencalonkan orang lain kerana mahu berpegang kepada pelan peralihan kuasa yang telah ditetap dan dipersetujui pada Jun 2009.

"Mereka (bahagian) hendak mencalonkan Datuk Halimah (Sadique), Datuk Maznah (Mazlan) dan Datuk Seri Azalina (Othman Said) untuk calon jawatan naib ketua.

‘Tidak bermusuh'

"Jadi akhirnya mereka mencalonkan Shahrizat untuk jawatan tersebut," katanya.

Rafidah berkata, walaupun Shahrizat mencabarnya untuk jawatan ketua Wanita, beliau tidak bermusuh dengan naib ketuanya itu.

Katanya, beliau memang tidak pandai bermusuh dengan sesiapa pun termasuk orang yang mencabarnya sebelum ini, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman.

"Saya masih boleh bersama, bertegur dan bercakap dengan Dr Siti Zaharah.

"Tetapi dalam petandingan kali ini kita hendak tengok orang yang mengutamakan kepentingan diri atau untuk kepentingan parti.

"Saya dapat lebih banyak pencalonan iaitu 118 pencalonan, saya tidak cabar Shahrizat kerana saya hanya mempertahankan jawatan," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.