BERITA

Wakil rakyat PKR, k'jaan Pakatan sasaran kritikan

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Nov 2008, 3:42 pagi

Pentas Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR hari ini menjadi medan melepaskan geram pembahas yang tidak berpuas hati terhadap prestasi wakil rakyat muda mereka dan pentadbiran lima negeri Pakatan Rakyat.

Gayung kritikan ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin bersambut dan isu yang dibangkitkannya dipanaskan lagi oleh beberapa pembahas dari negeri-negeri.

Perwakilan Pahang, Asrizal Tahir memberi "amaran tegas" kepada wakil rakyat muda Pakatan yang dipilih dalam pilihanraya lalu tetapi gagal menunjukkan prestasi seperti diharapkan.

"Sekiranya mereka gagal (menunjukkan prestasi), ayuh bangun tolak," katanya, dengan sokongan hampir 600 perwakilan.

Bercakap kepada media selepas itu, Asrizal berkata, wakil rakyat muda termasuk di Pulau Pinang “jarang menjenguk kawasan kecuali pada hari minggu untuk menghadiri kenduri”.

Katanya, penyokong akar umbi PKR memandang serius kelemahan prestasi wakil-wakil rakyat itu.

"Bukan perlu buat kerja. Turun tunjuk muka sahaja," katanya.

Sementara pembahas Selangor, Mazli Saring meminta kerajaan negeri-negeri Pakatan mengkaji semula pemberian kontrak yang terlepas ke tangan syarikat-syarikat milik pemimpin BN.

Menjelaskan lanjut kepada media selepas ucapannya itu, beliau mendakwa pemberian projek-projek pihak berkuasa tempatan (PBT) terlepas ke tangan parti lawan kerana ahli-ahli majlis gagal berfungsi.

Beliau juga tidak berpuas hati dengan keanggotaan ahli AMK dalam majlis-majlis PBT di negeri itu. Katanya, daripada 200 ahli majlis, hanya tujuh orang dipegang oleh AMK.

Perwakilan Sarawak mengkritik AMK nasional yang didakwanya memandang sepi angkatan muda di negeri itu yang memerlukan bantuan daripada pelbagai aspek, termasuk kewangan.

Pembahas dari Johor, Zabidie Abas mengkritik sikap pimimpinan PKR di peringkat bahagian yang didakwanya "tidak seragam dan tidak bersungguh".

Pejabat-pejabat parti di peringkat negeri juga tidak berfungsi dan "sekadar letak papan tanda", tambahnya.

Sementara itu, dua usul dibentangkan dalam kongres pergerakan itu diterima tanpa dibahaskan selepas sokongan penuh para perwakilan.

Azmizam Zaman Huri membentangkan usul mengenalkan gaji minimum di peringkat kakitangan kerajaan Selangor.

Dasar itu, katanya, sebahagian manifesto PKR dan harus dimulakan di negeri itu kerana ia diterajui menteri besar PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, daripada lebih 16,000 kakitangan kerajaan negeri, 81 peratus atau kira-kira 13,000 orang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan atau bawah paras kemiskinan.

"Kalau hendak sumbang beras, masukkan juga kakitangan kerajaan," katanya sinis.

Wakil rakyat Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang membentangkan usul pendidikan

membuat tiga tuntutan terhadap kerajaan:

• Menggesa kerajaan mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

• Menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

• Mengembalikan kembali sistem biasiswa bagi menggantikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Bagi pelajar yang tidak layak mendapat biasiswa, mereka boleh mendapatkan skim pinjaman tanpa faedah.

Shamsul Iskandar ketika menggulung perbahasan di hujung kongres hari ini berkata AMK memberikan perhatian penuh kepada teguran-teguran yang disampaikan para perwakilan.

Kongres berakhir hampir jam 8 malam dengan dihadiri kira-kira 50 penyokong sahaja yang masih setia menunggu hingga ke saat-saat akhir.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.