Malaysiakini BERITA

Anwar tidak ulas kegagalan 16 Sept

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjelaskan punca kegagalannya menukar kerajaan persekutuan, atau "projek 16 September", walaupun beliau dijangka mengulas panjang isu itu seperti dinanti-nantikan banyak pihak dalam kongres pertama PKR selepas pilihanraya umum Mac lepas.

Semalam, timbalan presiden parti itu Dr Syed Husin Ali berkata, beliau menjangkakan perkara itu akan dijelaskan tokoh utama PKR itu dalam kongres tahunan kelima parti itu yang bermula di Shah Alam hari ini.

pkr national congress 291108 anwar ibrahim3 Akibat kegagalan tersebut, media menuduh Anwar berbohong dan terdapat ahli-ahli PKR dalam pergerakan Wanita dan Angkatan Mudanya yang percaya dengan dakwaan sedemikian, kata Dr Syed Husin.

Mengakui projek itu "belum berhasil", Anwar berkata:

"Peralihan kuasa bagi kita bukan percaturan politik peribadi.

"Peralihan kuasa bagi kita adalah menegakkan suatu sistem yang adil, media yang bebas, badan kehakiman yang bebas, polis yang profesional, pimpinan yang tidak rasuah dan tamak haloba menekan rakyat.

"Itu maksud peralihan kuasa. Dan peralihan kuasa belum berhasil pada 16 September."

Anwar juga tidak mengadakan sidang media selepas menyampaikan ucapannya. Beliau disebut-sebut akan mengulas isu ini dalam ceramahnya malam ini di tempat yang sama.

Berucap di kongres PKR tengah hari ini, Anwar sekali lagi membidas para pemimpin Umno yang "terus memainkan api perkauman seolah-olah mereka jaguh Melayu tulen".

Tambahnya, semua pemimpin Pakatan Rakyat yang pelbagai kaum tidak mempertikaikan dasar yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Melayu, Dayak, Dusun, Bajau, Melanau, Kadazan, Cina, India tidak perlu apolegetik untuk bermaafan -- untuk mengatakan kami (anggota Pakatan) tidak lupa dasar yang termaktub dalam perlembagaan di negara kita.

"Itu dasar kita. Kita harus jawab serangan mereka," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan label anti-Melayu yang dikenakan terhadap DAP oleh "jaguh-jaguh Melayu baru" seperti ucapan-ucapan mereka di dalam Parlimen.