Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Othman Omar ketua baru PKNS
Diterbitkan:  Dec 23, 2008 3:06 PM
Dikemaskini: 12:59 PM

Othman Omar, seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta, dilantik sebagai pengurus besar baru Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) - menamatkan isu kontroversi berhubung jawatan tersebut.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pelantikan itu yang berkuatkuasa mulai 1 Februari depan dalam satu sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Jawatan itu kosong susulan persaraan Datuk Harun Salim akhir Oktober lalu.

Susulan kekosongan itu, Abdul Khalid mengumumkan pelantikan timbalan pengurus korporat dan akaun PKNS Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar perbadanan tersebut - yang kemudiannya mencetuskan bantahan meluas ahli-ahli politik Melayu, termasuk PAS.

Menteri besar asalnya merancang mengekalkan Low selama setahun sehingga pengganti yang sesuai untuk memimpin PKNS ditemui.

Bagaimanapun kontroversi pelantikan Low dipercayai mendorong Abdul Khalid menyegerakan penggantian Harun selepas menjalankan temuduga mencari calon sesuai sebulan mulai November.

Sementara itu, Khalid berkata, pemilihan Othman dibuat atas dasar kelebihan pengalamannya yang menyeluruh dalam bidang pembangunan dan hartanah.

Ia merangkumi pelbagai projek - dari pembinaan projek kos murah/sederhana hingga ke projek mega.

"Kerajaan negeri percaya pengetahuan dan pengalaman beliau amat berguna bagi PKNS dalam usahanya memulakan projek pembangunan semula perumahan baru di Petaling Jaya, Kajang dan Kelang," katanya.

Khalid berkata, kerajaan juga yakin Othman dapat bekerjasama baik dengan semua pegawai kanan PKNS yang sedia ada, bagi mencapai matlamat asalnya terhadap perniagaan pembangunan hartanah yang diceburi, di samping meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat, terutama kalangan masyarakat Melayu yang mahu bekerja keras dan berusaha tanpa ihsan dari mana-mana pihak.

Mengenai Othman, beliau mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri pembinaan dan hartanah di Malaysia, Australia dan United Kingdom.

Pada 1986, Othman dianugerah biasisawa Persekutuan Industri Britain untuk belajar dan bekerja dengan George Wimpey PLC dalam projek pembangunan hartanah di bawah Wimpey Homes (kini Taylor-Wimpey) di London dan beberapa tempat lain di England.

Sekembalinya ke Malaysia pada 1989, Othman menyertai Energoprojekt, sebuah syarikat dan kontraktor dari Yugoslavia untuk membina stadium utama Shah Alam bernilai RM850 juta.

Beliau kemudiannya mengetuai Bahagian Kejuruteraan PROPEL Berhad, menjadi Pengurus Besar Kesas Holding Berhad dan Pengarah KLWK Sdn Bhd - sebuah anak syarikat SP Setia Berhad.

Sebelum menyertai PNKS, Othman merupakan pengarah urusan sebuah kumpulan syarikat yang terbabit dalam projek dan pembangunan hartanah, pembinaan, kejuruteraan, perundingan, kemudahan pengurusan dan industri berasas tadi.

ADS