BERITA

Calon PAS nafi tidak popular di KT

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Jan 2009, 10:02 pagi

Calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut hari ini menafikan pengundi di kawasan parlimen Kuala Terengganu tidak mengenalinya seperti dakwaan Umno.

Katanya, beliau telah berkhidmat selama lima penggal sebagai wakil rakyat Wakaf Mempelam - satu kerusi daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimen tersebut - dan juga sebagai yang dipertua PAS kawasan.

"Jadi (kalau mereka) kata tidak kenal, tidak munasabah tetapi kalau mereka kata tidak kenal, tidak apalah.

"Mereka boleh kata apa sahaja," jelasnya, ditemui ketika menjalankan kempen dari rumah ke rumah di sebuah kampung di DUN Ladang.

Turut mengiringnya, wakil rakyat DUN tersebut Datuk Tengku Hassan Tengku Omar yang memenangi kerusi itu dalam pilihanraya umum lalu.

Pencabar Abdul Wahid yang tewas Mac lalu di Wakaf Mempelam, Othman Awang pernah mendakwa wakil rakyat PAS itu dikenali di kalangan pengundi di DUN berkenaan sahaja dan ia menyempitkan peluang PAS untuk menang pada 17 Januari ini.

Pengundi-pengundi DUN Batu Burok dan Ladang tidak mengenali bendahari PAS negeri itu, dakwa pemimpin Umno itu lagi.

Abdul Wahid berdepan dengan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas, Azharudin Mamat.

Bekas exco kerajaan Terengganu itu berkata, peluangnya untuk menang dalam pilihanraya kecil ini "terbuka luas" berdasarkan sambutan pengundi yang dilawatinya setakat ini.

"Bukan sahaja orang Melayu tetapi juga orang Tionghua di Kampung Cina dan Kampung Tiong memberikan sambutan kepada kita," katanya.

"Semua tempat telah saya masuk, tidak ada kawasan hitam yang tidak boleh masuk."

Ditanya sama ada pengundi membangkitkan isu-isu tertentu terhadapnya dan Pakatan Rakyat, Abdul Wahid mendakwa setakat hari pertama berkempen belum ada isu khusus yang ditimbulkan.

Tambahnya, jika ada yang membangkitkannya, beliau akan memberikan penjelasan, selain daripada penceramah-penceramah PAS, PKR dan DAP.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.