Pro-M dan bebas menang besar di UIA

       

Pilihanraya kampus bagi Universiti Islam Malaysia (UIA) hari menyaksikan calon pro-Mahasiswa dan calon bebas hampir menyapu bersih kesemua kerusi fakulti dan kerusi antarabangsa yang dipertandingkan.

Manakala pengundian bagi dua kerusi Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu ditangguh sehingga 29 Januari depan, selepas kumpulan pro-Mahasiswa membuat bantahan terhadap seorang calon yang bertanding di kerusi berkenaan.

Menurut keputusan rasmi hari ini, pro-Mahasiswa memenangi 17 kerusi fakulti manakala calon bebas menang tiga kerusi.

Pencapaian tersebut menyamai jumlah kerusi yang dimenangi pro-Mahasiswa pada sesi lalu.

Calon bebas juga menyapu bersih kesemua lima kerusi antarabangsa yang dipertandingkan hari ini.

Manakala calon pro-Aspirasi dan calon Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula masing-masing memenangi satu kerusi.

Selepas penamaan calon Isnin lalu, kumpulan pro-Mahasiswa sudah memenangi dua kerusi tanpa bertanding di Fakulti Kejuruteraan di kampus Gombak dan Fakulti Kejururawatan di kampus Kuantan.

Seorang calon bebas pula menang satu kerusi tanpa bertanding di kerusi Fakulti Teknologi Maklumat dan Informasi.

Dalam pengundian hari ini, bagi kampus Gombak, pro-Mahasiswa menang sembilan kerusi manakala calon bebas, pro-Aspirasi dan PKPIM masing-masing menang satu kerusi.

Bagi kampus Kuantan pula, pro-Mahasiswa memenangi lapan kerusi, dua dimenangi oleh calon bebas dan pengundian dua kerusi lagi ditangguhkan.

UIA merupakan universiti awam terakhir mengadakan pilihanraya kampus. Sebelum ini, Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan pilihanraya kampus masing-masing.

Kecuali UM, seperti yang diduga, kesemua universiti awam lain lain dikuasai oleh kumpulan pro-Aspirasi yang cenderung kepada kerajaan.

Pengundian bagi pilihanraya kampus UIA bermula jam 8 pagi dan akan berakhir pada jam 5 petang.

Malaysiakini
terkini untuk anda