Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jamaluddin, Osman dilapor jadi Adun bebas
Diterbitkan:  Feb 3, 2009 5:43 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dipetik memberitahu sebuah portal berita yang beliau telah keluar dari PKR dan kini menjadi wakil rakyat bebas.

Portal berita itu juga memetik Jamaluddin sebagai berkata, Adun Changkat Jering, Osman Jailu juga telah keluar parti dan kini menjadi Adun bebas.

Agendadaily - yang melaporkan telah menghubungi Jamaluddin selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan Jamaluddin dan Osman Jailu masing-masing masih Adun Behrang dan Changkat Jering - memetik beliau sebagai berkata, tiada sebab untuknya terus berada dalam parti itu.

Manakala Bernama pula memetik Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim menolak spekulasi bahawa Jamaluddin dan Osman telah keluar daripada parti itu.

"Setakat ini kita (PKR) tidak menerima sebarang surat mengenai peletakan jawatan mereka, tiada rekod bahawa mereka keluar parti dan tiada rekod yang mengatakan mereka masuk parti lain.

"Ini bermakna mereka masih lagi ahli parti kita dan tidak ada sebab nak buang mereka dari parti. Kita yakin mereka bersama kita," katanya kepada Bernama hari ini.

Agendadaily memetik Jamaluddin sebagai berkata, beliau membuat keputusan berkenaan seteleh meneliti sikap dan keputusan PKR berhubung dengan surat perletakan jawatannya yang ditandatangani Mac lalu.

"Surat itu disimpan oleh PKR negeri Perak. Mana mungkin surat perletakan jawatan itu boleh disampaikan kepada Speaker DUN Perak jika bukan dihantar sendiri oleh PKR negeri.

"Bagi saya ini membuktikan sikap sebenar PKR. Dengan menghantar surat itu kepada Speaker Dewan ia juga boleh ditafsirkan mereka telah membuka pintu dan meminta...Jamal kamu keluarlah," katanya.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang dianggotai PAS, DAP dan PKR kini mempunyai 32 kerusi dengan DAP (18), PKR (lapan) dan PAS (enam) manakala Barisan

Nasional (BN) 27 kerusi.

Dengan Jamaluddin kini menjadi wakil rakyat bebas, kerajaan Pakatan Perak kini mempunyai 31 Adun.

Jika Osman mengikut jejak langkah Jamaluddin, maka jumlah Adun Pakatan di negeri itu akan 30 orang dan BN,27 orang dan bebas dua orang.

ADS