Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7:03pm Ramlang Porigi - yang dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas alasan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim - mendakwa menjadi mangsa percaturan politik.

Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan juga mendakwa Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali yang mengarahkannya hadir di majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang menuduh diliwat Anwar.

"Majlis sumpah itu telah dirancang oleh orang-orang parti politik dan pengarah Jawi dengan menjadikan saya sebagai kambing hitam untuk tujuan politik mereka," katanya dalam pendedahannya kepada Malaysiakini hari ini.

ramlang porigi Ramlang mendakwa Che Mat yang berada di masjid itu pada 15 Ogos lalu untuk menghadiri majlis sumpah itu bagaimanapun "bersembunyi di belakang mimbar" di dewan sembahyang masjid tersebut.

Beliau juga berkata, pada mulanya mengetahui arahan Che Mat itu melalui seorang pegawai masjid itu, Hafizan Ibrahim.

Apabila pengarah Jawi itu tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 6.15 petang, beliau menerima arahan itu langsung daripada Che Mat di dewan solat, tambah Ramlang.

"Saya dan pengarah Jawi masuk ke dewan solat. Di sini, pengarah Jawi mengarahkan saya mendengar Mohd Saiful bersumpah," katanya.

che mat che ali Che Mat bagaimanapun menafikan beliau memainkan peranan mengarah Ramlang berbuat demikian.

Bercakap kepada Malaysiakini , beliau turut menafikan merancang majlis itu bersama "orang-orang politik" dan menjadikan bekas imam itu sebagai kambing hitam bagi tujuan politik.

Berikut rentetan peristiwa petang itu menurut versi Ramlang :

5 petang – Hafizan Ibrahim, pegawai S41 mengarahkan saya menjadi saksi sumpah yang akan dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan berkata "Ustaz Ramlang, anta (kamu) salah seorang daripada empat orang imam yang kena jadi saksi sumpah."

Saya bertanya: "Siapa yang suruh?" Hafizan memberitahu, arahan pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

5.30 petang – saya ke dewan nikah untuk menikahkan satu pasangan pengantin. Dalam perjalanan ke dewan itu, saya melalui dewan solat.

Dan di situ saya disapa oleh seorang wakil daripada pihak Mohd Saiful. Orang itu bertanya: "Adakah ustaz salah seorang dari empat orang yang kena jadi saksi sumpah tersebut?"

Saya menjawab: "Ya, tetapi sekarang saya perlu menikahkan satu pasangan pengantin."

6.05 petang – Saya selesai menikahkan pasangan pengantin dan masuk ke pejabat masjid.

6.10 petang – Mohd Saiful tiba diiringi keluarganya, pihak polis Sentul (Cawangan Khas) dan peguamnya.

6.15 petang - Pengarah Jawi tiba bersama-sama pegawai bahagian penguatkuasaan Jawi.

- Setelah berbincang dengan pihak Mohd Saiful, mereka bersetuju supaya majlis sumpah itu dijalankan di dewan solat.

- Saya dan pengarah Jawi masuk ke dewan solat. Di sini, pengarah Jawi mengarahkan saya mendengar Mohd Saiful bersumpah.

- Seorang imam ( nama tidak dedahkan - editor ) menghantar SMS kepada ketua pengarah Jakim (Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz) mengatakan pengarah Jawi yang mengatur sumpah itu.

6.20 petang – Wartawan-wartawan dan petugas media daripada TV3 telah bersiap sedia.

- Orang dari pihak Mohd Saiful menjemput saya duduk dan bertanya: "Mana pengarah Jawi?"

Saya menoleh ke belakang dan mencari pengarah Jawi tetapi beliau sudah menghilangkan diri dengan bersembunyi di belakang mimbar.

6.25 petang – Mohd Saiful melafazkan sumpah (laknat mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim).

6.40 petang – Setelah Mohd Saiful selesai melafazkan sumpah, saya dihubungi seorang pegawai khas ketua pengarah Jakim.

Pegawai khas itu bertanya: "Sumpah itu dah selesai ke? Siapa yang hadir?"

Saya menjawab: "Sumpah itu telah selesai. Orang-orang yang hadir ialah pengarah Jawi dan enam orang daripada bahagian penguatkuasaan jabatan itu."

8.00 malam – TV3 menyiarkan rakaman sumpah tersebut dengan menyatakan "sumpah itu disaksikan oleh imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi".

Pada 16 Ogos 2008 , semua akhbar menyiarkan laporan tentang sumpah tersebut. Bermula hari itu juga, saya dihujani banyak panggilan telefon. Dan bermulalah tuduhan, fitnah dan cemuhan yang saya terima.

Persoalan yang timbul daripada kejadian ini:

bullet button Siapakah yang meluluskan majlis sumpah tersebut yang diadakan di dewan solat Masjid Wilayah Persekutuan?

bullet button Untuk apakah wartawan-waratawan dan petugas-petugas TV3 hadir pada masa tersebut?

bullet button Mengapakah pengarah Jawi hadir pada majlis tersebut?

bullet button Siapakah yang mengarahkan orang-orang daripada bahagian penguatkuasaan Jawi hadir?

bullet button Mengapakah ketua pengarah Jakim mendiamkan diri?

bullet button Bagaimanakah pegawai polis Sentul (Cawangan Khas) tahu dan hadir pada majlis tersebut?

Kesimpulannya, majlis sumpah itu telah dirancang oleh orang-orang parti politik dan pengarah Jawi dengan menjadikan saya sebagai kambing hitam untuk tujuan politik mereka.

ADS