BERITA Malaysiakini

Wanita PKR kutuk penyebaran foto Eli

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Wanita PKR mengutuk sekeras-kerasnya taktik keji, kotor dan mencemar nama baik mana-mana wakil rakyat wanita atau lelaki dari mana-mana kumpulan atau parti politik tanpa kewajaran yang munasabah.

"Gambar-gambar peribadi seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat telah diedar dan disebarkan kepada orang ramai, khususnya wartawan, sejak semalam.

elizabeth wong press conference on her offer of resignation from selangor exco post 170209 09 "Tindakan jahat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini melangggar hak asasi wanita dan merendahkan hak kemuliaaan insan," kata Ketuanya, Zuraida Kamaruddin.

Kelmarin, Elizabeth membuat aduan polis berhubung penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum itu. Selain foto, difahamkan satu klip video juga turut disebarkan.

Beliau juga merupakan Adun PKR di Bukit Lanjan dan exco pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar sejak 11 bulan lalu.

Difahamkan foto-foto itu dirakam tanpa kebenarannya - kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya - sewaktu beliau sedang tidur.

Menurut Zuraida lagi, tindakan tersebut merupakan satu gangguan seksual yang boleh didakwa di Mahkamah.

"Wujud juga 'precedent' Mahkamah untuk mensabitkan kesalahan merakam tanpa izin dalam kes yang melibatkan seorang artis Malaysia. Pesalah telah dihukum penjara," kata Zuraida dalam satu kenyataan hari ini.

'Permainan kotor'

"Negara kita sedang menghadapi krisis ekonomi, sosial dan politik. Kemelut ekonomi menunjukkan kadar pengangguran yang meningkat, pemberhentian pekerja yang terus bertambah dan permintaan pasaran yang menjunam.

"Gejala-gejala sosial semakin ketara dan membimbangkan. Permainan kotor yang menimpa wakil rakyat wanita Pakatan Rakyat ini berniat jahat, sekaligus menambahkan kekusutan suasana politik negara.

elizabeth wong press conference on her offer of resignation from selangor exco post 170209 "Perbuatan dalang-dalang politik ini sengaja mencipta isu-isu remeh yang bertujuan melencongkan perhatian wakil rakyat dari menjaga kepentingan dan urusan rakyat," kata Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang.

Katanya, wakil-wakil rakyat seharusnya menitikberatkan isu-isu yang mencengkam rakyat seperti pemilikan tanah, perumahan yang mengecewakan, kos kehidupan yang tinggi, masalah kemiskinan rakyat yang telah meningkat dan seribu satu permasalahan rakyat.

"Apakah motif tindakan yang menjatuhkan maruah ini? Adakah ia suatu tindakan bermotif politik? Adakah ini juga salah satu siri dalam gerakan mencemar maruah wakil-wakil rakyat negeri Selangor yang mempunyai tujuan tertentu?

"Pembelaan dan siasatan rapi yang profesional adalah dituntut daripada pihak polis supaya pihak yang tidak bertanggungjawab ini diheret ke muka pengadilan dengan kadar segera," katanya.

"Pencabulan hak asasi dan peribadi ahli politik atau mana-mana rakyat bukanlah adat dan amalan bermasyarakat yang murni dan berakhlak mulia.

"Rakyat Malaysia yang beradab dan sedar perlu bangkit dan bersatu mengecam perbuatan durjana yang memalukan ini," katanya.