Kes tatatertib siswa UUM bantah tambang bas naik

       

Dua lagi pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terlibat dalam protes kenaikan tambang bas di kampus berkenaan dipanggil untuk perbicaraan bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) awal bulan depan.

Bagaimanapun, seorang daripadanya Tengku Mohd Hasrul Tengku Malek akan menghadapi tuduhan berbeza, iaitu mengkritik pegawai tinggi universiti berkenaan melalui satu tulisan di blog peribadinya.

Tengku Mohd Hasrul dan Medecci Lineil Repong menerima surat perbicaraan tatatertib semalam.

Semalam, Choo Kok Wei dipanggil ke jawatankuasa tatatertib bagi memberikan keterangan di Bangunan Canselori berhubung bantahannya terhadap kenaikan tambang melalui petisyen dalam talian dan siaran akhbar.

Bagaimanapun, perbicaraannya ditangguhkan oleh pihak universiti kepada Isnin depan, hari yang sama dengan perbicaraan kes Tengku Mohd Hasrul dan Medecci.

Tengku Mohd Hasrul, pelajar tahun kedua Fakulti Sains dan Sastera itu, pernah terlibat sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa khas menentang kenaikan harga berkenaan.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, beliau berkata, surat yang ditandatangai oleh Pegawai Tatatertib Hal Ehwal Pelajar (HEP) Shahidan Shafie memaklumkan bahawa beliau akan didakwa mengikut peruntukan dalam bahagian kedua, perkara 12(1) kaedah tatatertib universiti itu.

Menurutnya, surat tersebut meminta beliau hadir ke perbicaraan tersebut di Bangunan Canselori. Jika gagal, beliau akan digantung pengajian sehingga beliau hadir ke perbicaraan kes tersebut.

Tengku Mohd Hasrul berkata, walaupun surat tersebut tidak menyatakan artikel tertentu di blognya Nak Cerita Je (nakcerita.blogspot.com), tetapi ia dipercayai merujuk satu tulisan 16 Januari lalu berjudul 'HEP UUM atau Zionis lagi zalim?'

Tulisan tersebut, antaranya, menyatakan kekecewaannya terhadap Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Akademik (HEPA) Datuk Dr Ahmad Faiz Abd Hamid kerana didakwa "menolak mentah-mentah" rancangan pelajar mengadakan "perhimpunan aman" bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang Israel pada 2 Januari lalu.

Selain itu, blog berkenaan juga menamakan dua pegawai universiti di Sintok itu yang didakwa terlibat menghalang bacaan doa qunut nazilah – doa khas bagi meminta pertolongan Allah bagi mengalahkan musuh – berhubung isu Palestin di masjid universiti berkenaan pada 10 Januari lalu.

"Inilah sebuah universiti yang mempunyai HEP yang begitu hebat menyekat semua suara mahasiswa dalam segala hal, termasuk isu Palestin. Dan bolehlah nanti PM Malaysia anugerahkan trofi 'Anugerah Perkhidmatan Cemerlang' bagi kategori menutup suara mahasiswa.

"Lebih malang, mereka semua ini adalah beragama Islam. Bodoh! Zalim! Tak dapat difikir akal yang waras. Dan rasa simpati saya dan semua warga UUM dengan sikap bodoh dan bongkak mereka itu," kandungan tulisannya dipetik.

Tengku Mohd Hasrul berkata, beliau tidak akan sesekali memohon maaf kerana menulis sedemikian dan menegaskan beliau berada di pihak yang benar.

"Tetapi kerana kurang ajar kepada orang yang lebih tua, saya akan minta maaf," katanya.

Beliau juga berkata akan hadir ke perbicaraannya minggu depan dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak universiti.

Malaysiakini
terkini untuk anda