Most Read
Most Commented
Read more like this

Tidak guna menubuhkan sebuah lagi suruhanjaya atau majlis jika kewibawaannya diragui oleh masyarakat. Lebih tepat, jika ia gagal membawa rasa keadilan di kalangan semua pihak terbabit.

Sudah banyak badan seumpama ini menerima imej buruk atau dicurigai, khasnya dalam krisis-krisis politik, misalnya badan kehakiman, institusi polis, Badan Pencegah Rasuah atau Suruhanjaya Pilihanraya.

Sejak berkumandang semula beberapa tahun lepas, idea penubuhan sebuah majlis media sering diragui oleh beberapa kumpulan wartawan atau badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami).

Dalam satu memorandum 'tujuh perkara' kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada Oktober 2000, Kami memang menggesa penubuhan sebuah badan bebas untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit, misalnya penarikan permit penerbitan dan laporan media yang tidak adil.

Idea yang sama juga dikemukakan oleh lebih 1,000 wartawan arus perdana dua tahun berturut-turut selepas krisis politik 1998. Akibat desakan sistematik ini, Institut Akhbar Malaysia (MPI) mengkaji kemungkinan pembentukan sebuah majlis media dan mengemukakan pandangannya pada 2001, tetapi mendapat sambutan dingin.

Ada kecurigaan ketara daripada beberapa pihak, termasuk kumpulan wartawan 'independen' atau bukan arus perdana, kerana idea ini asalnya muncul daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), agensi yang menjadi sasaran kritikan utama akibat kawalan mutlaknya terhadap media.

Antaranya, siapa yang bakal menduduki majlis media itu? Landskap media di negara ini dibolot hampir seratus peratus oleh syarikat-syarikat yang rapat dengan, atau dimiliki oleh, parti-parti kerajaan. Parti-parti pembangkang juga mempunyai kekuatan media mereka sendiri, walau relatifnya sangat terbatas.

Unlocking Article
Unlocking Article
ADS