TMJ sengaja berhujan demi hormati penyokong

   

Dalam meraikan kembalinya Piala Sumbangsih ke negeri Johor, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi mencuri tumpuan rakyat negeri itu terutama penyokong JDT.

Kali ini dengan tindakannya berdiri dalam hujan di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin pada malam perlawanan Piala Sumbangsih 2018 Sabtu lalu.

Beliau yang sedang duduk di bangku simpanan dikatakan secara spontan berdiri di pinggir padang meski hujan terus turun.

Tindakan tersebut dianggap simbolik menghormati penyokong yang sanggup berhujan menyaksikan perlawanan tersebut, seperti dimaklumkan melalui Facebook Johor Southern Tigers.

Dalam perlawanan itu, pasukan Kedah terpaksa akur kepada JDT selepas tewas 1-2 kepada skuad bimbingan Ulisses Morais.

Untuk rekod, JDT berjaya membawa balik trofi itu selepas meraihnya untuk dua tahun berturut-turut sebelum ini iaitu pada 2015 dan 2016.

Sementara itu, sempena meraikan kemenangan itu pemain dan barisan kejurulatihan JDT telah menghadiahkan kereta buatan Britain kepada Tunku Ismail.

Perkara ini dimaklumkan dari laman Facebook sama yang memuat naik gambar sebuah kereta Aston Martin dengan tema warna biru merah yang sinonim dengan warna bendera Johor.

"Sempena meraikan kemenangan menjuarai piala yang kesepuluh, pemain-pemain dan barisan kejurulatihan pasukan Johor Darul Ta’zim telah menghadiahkan DYAM Tunku Mahkota Johor sebuah kereta Aston Martin yang berkonsep JOHOR (merah biru).

"Allah peliharakan Sultan," kata kenyataan itu.

Menurut laman sesawang automotif paultan.org, sebuah Aston Martin model DB9 dijual pada harga permulaan RM1.7 juta.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.