Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
England, Czech berpakat halang Kosovo?
Diterbitkan:  Oct 13, 2019 2:23 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Selepas tewasnya skuad England kepada Republik Czech semalam, seorang pemimpin kanan PAS membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan wujud konspirasi bagi menghalang pasukan Kosovo menyertai kejohanan Euro 2020.

Menurut Bendahari PAS, Iskandar A Samad, kekalahan England yang "mengejutkan" itu menjejas peluang skuad kebangsaan Kosovo menyertai pusingan akhir Euro 2020.

"England kalah mengejutkan kpd Republis Czech.

"Adakah mereka berpakat untuk menghalang Kosovo layak ke Euro 2020?" katanya melalui hantaran di media sosial hari ini.

Skuad The Three Lions bimbingan Gareth Southgate itu kalah 1-2 kepada Czech hasil jaringan Jacob Brabec pada minit kesembilan, dan Zdenek Ondrasek di minit ke-85.

Berlangsung di Stadium Sinobo, Prague, gol tunggal England pula disumbangkan melalui tendangan penatik Harry Kane seawal minit kelima.

Mengikut rekod, daripada empat pertemuan di antara kedua-dua negara sejak 1998, England menumpaskan pasukan Czech sebanyak dua kali dan seri sekali.

Pada 22 Mac lalu - di Stadium Wembley - England menundukkan skuad kendalian Jaroslav Silhavy itu dengan jaringan 5-0.

Berdasarkan kedudukan semasa kumpulan A, England berada di kedudukan teratas dengan 12 mata daripada lima perlawanan, diikuti Czech yang turut mengumpul 12 mata namun sudah melengkapkan enam perlawanan.

Kosovo pula hanya mengumpul lapan mata daripada lima pertemuan, diikuti Montenegro dan Bulgaria.

Kosovo yang didiami hampir 2 juta orang itu tidak memiliki agama rasmi dan kebebasan beragama dijamin dalam perlembagaannya.

Bagaimanapun berdasarkan bancian pada 2011, hampir 96 peratus penduduk negara itu beragama Islam, manakala selebihnya Kristian atau ateis.

Kata Iskandar satu lagi negara yang mungkin "menyenangkan" pertubuhan bola sepak Eropah ialah Turki.

"Turki hampir pasti layak. Mungkin satu lagi negara umat Islam di Euro 2020 tidak akan menyenangkan UEFA," katanya.

Turki cemerlang berada di kedudukan teratas kumpulan H dengan 18 mata, diikuti Perancis (18 mata), Iceland (12 mata), Albania (9 mata), Andorra dan Moldova (masing-masing 3 mata).

Pusingan akhir Euro 2020 akan diadakan di 12 bandar raya Eropah, termasuk Munich, London, Copengagen dan Budapest.

Lihat Komen
ADS