Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir berharap tiada salah faham berkaitan hubungannya dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Saya sama sekali tidak mahu sebarang laporan media oleh pihak tertentu mengenai laporan PAC disalah tafsir yang boleh menimbulkan salah faham atau persoalan awam mengenai hubungan saya dengan YB menteri kewangan,” katanya.
Beliau tidak merujuk secara langsung terhadap laporan dimaksudkannya itu.
Bagaimanapun semalam, Ahmad Badri dilaporkan memberitahu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), beliau tidak percaya wang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM19.4 bilion yang lewat dipulang sebenarnya dicuri.
Menurut Ahmad Badri lagi, apa yang berlaku sebelum ini hanya melibatkan isu prosedur dan bagaimana ia sepatutnya diproses.

Sebelum ini, di parlimen, Lim mendakwa sebanyak RM19.47 bilion daripada kutipan GST yang sepatutnya dipulangkan telah "dirompak".
Lim mendakwa wang tersebut diletakkan dalam akaun yang disatukan, diambil sebagai pendapatan dan digunakan oleh kerajaan sebelum ini.
Petronas, Shell dan Tenaga termasuk syarikat berkaitan
Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Badri berkata beliau menghargai keterbukaan Lim mendengar semua idea dan menghormati perbezaan pandangan dalam mencapai keputusan yang terbaik.
“Kewangan juga telah berjaya meyakinkan agensi penarafan kredit untuk mengekalkan taraf kredit antarabangsa Malaysia pada tahap A- atau A3; mengendalikan hutang dan liabiliti negara yang mencecah RM1 trilion dan menjayakan terbitan bon dengan lancar seperti bon samurai sebanyak Yen200 bilion pada awal tahun ini,” katanya.
Berkaitan bayaran balik GST, Ahmad Badri menegaskan sokongan penuh ke atas usaha Lim untuk memastikan bayaran balik GST dikembalikan kepada syarikat berkaitan.
Antara syarikat itu, katanya, termasuklah kumpulan korporat terbesar di Malaysia seperti Petronas, Shell dan Tenaga Nasional Bhd.
Beliau menegaskan bersependapat dengan rumusan laporan PAC bahawa sungguhpun tiada kehilangan wang kutipan hasil GST, ia digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
