Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM belum lagi berhasrat tahan Dr Mahathir, kata Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihaknya tidak lagi berhasrat untuk menahan Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pengisytiharan harta.

Katanya, ini kerana siasatan terhadap bekas perdana menteri itu masih berjalan.

“Itu tak ada lagi. Kita tak ada hasrat untuk menahan beliau. Siasatan masih terus dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Putrajaya hari ini.

Azam Baki

Pada 25 April lalu, Azam berkata bekas ahli parlimen Langkawi itu adalah antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.

Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anaknya, Mirzan dan Mohkzani juga diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Pada 18 Januari lalu, SPRM meminta kedua-dua mereka, mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Nga Kor Ming

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, SPRM sedang meneliti pengumuman peruntukan dana infrastruktur buat Kuala Kubu Bharu (KKB) oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang berkemungkinan mempunyai unsur rasuah.

Walaupun tiada laporan rasmi difailkan, Azam berkata liputan media mengenai perkara itu akan dipertimbangkan.

“Setakat ini belum ada laporan dibuat.

“Perkara (kejadian) itu diambil kira oleh pusat aduan (SPRM) dan setakat ini tiada kertas siasatan yang dibuka,” katanya.

Pada 18 April, Nga mengumumkan peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), bagi menambah baik infrastruktur awam di daerah itu. Namun tindakan itu dikritik beberapa pihak yang mendakwa dana berkenaan diluluskan demi kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS