Most Read
Most Commented
Read more like this

Terengganu diibaratkan "seorang janda" apabila memilih kerajaan baru PAS dan wang royalti minyak perlu disalurkan melalui Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) kepada rakyat negeri itu.

"Terengganu telah bercerai dengan kita (BN). Dia (negeri itu) pergi berkahwin dengan seorang yang banyak cakap tetapi tidak tahu membuat kerja (PAS)," kata Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar di Dewan Rakyat pagi ini.

"Jika kita beri kepada janda, kita takut duit ini (royalti) tidak sampai, anak-anak (rakyat Terengganu) akan terabai."

Beliau mengulas soalan tambahan Saupi Daud (Keadilan-Tanah Merah) yang mempertikaikan penubuhan JPP bagi menyalurkan wang ehsan sebagai ganti bayaran tunai Petronas kepada negeri itu seperti dimeterai dalam perjanjian sebelumnya.

Saupi berkata penubuhan JPP di negeri kedua selepas Kelantan itu sebagai "pembentukan kerajaan dalam kerajaan" dan menafikan kerajaan negeri yang dipilih rakyat.

"Mengapa kerajaan Barisan Nasional tidak mengambil langkah supaya soal pertindihan kerajaan tidak wujud," soal Saupi lagi.

Noh bagaimanapun berkata isu itu tidak timbul kerana rakyat Terengganu akan tetap menerima wang tersebut melalui JPP dan mendakwa hanya pihak pembangkang yang sengaja tidak memahami.

"Rakyat Terengganu seharusnya bersyukur kerana mendapat peruntukan yang lebih daripada negeri-negeri lain," ujar Noh kepada sidang dewan.

Noh menjelaskan JPP bertujuan menyalurkan wang ehsan terus kepada rakyat dan ia tidak sewajarnya dijadikan isu politik parti pembangkang.

Beliau menambah, kerajaan negeri itu memperolehi "dua pendapatan" iaitu wang ehsan dan peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia ke-8 yang disalurkan melalui agensi-agensi serta kementerian-kementerian berkaitan.

Sebelum itu Saupi dalam soalan lisannya meminta Perdana Menteri menyatakan perbezaan fungsi dan tugas penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan dengan JPP di Terengganu.

Noh berkata JPP Kelantan adalah sebuah jabatan persekutuan, cawangan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, dan manakala JPP Terengganu diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

'PAS tidak cukup masjid'

Sementara itu dalam soalan berlainan, Raja Datuk Ahmad Zainuddin Omar (BN-Larut) pagi tadi meminta penjelasan berhubung sekumpulan umat Islam negara ini yang didakwa membawa bendera PAS ke Tanah Suci dan sama ada kumpulan itu ke sana dengan syarikat swasta yang berdaftar di bawah Lembaga Urusan Tabung Haji.

"PAS tidak cukup masjid, ke Tanah Suci pun nak berpolitik. Sepatutnya bawa bendera negara untuk menunjukkan kecintaan kepada negara," ulas Noh lagi, sambil menambah kumpulan itu tidak mendapat kebenaran Tabung Haji.

Ahmad Zainuddin dalam soalan lisannya sebelum itu turut meminta Noh menyatakan jumlah syarikat swasta yang dilantik mengurus jemaah haji setakat ini.

Setakat ini hanya 26 syarikat telah diluluskan pada tahun ini (1421 Hijrah), jelasnya.

ADS