Selalunya jika bosan, aku akan ke Jalan Hang Lekir - terletak di hujung kaki Jalan Petaling. Di sana ada sebuah kedai kopi yang selalu aku layan. Kopinya – secara jujur aku nyatakan - memang tidak menarik.
Apa yang menarik di sini, aku berkemungkinan meneliti orang keluar masuk, mundar-mandir dari Jalan Petaling walaupun ia bukan jalan utama.
Melihat orang berjalan ke hulu ke hilir, pergi mudek, adalah ruang rehat yang paling nikmat. Sambil aku menghirup kopi pahit, sebatang demi sebatang keretek lari dari kotaknya untuk menerobos masuk ke kerongkong.
Ia dipayungi pula cuaca petang yang ranum - mengingatkan aku kembali kepada cuaca petang di tepi pantai Telok Kemang.
Kawasan ini wilayah kota kita yang tidak mengada-ngada. Kawasan yang tidak berangan-angan untuk berlagak meniru dan berperangai dengan memakai bedak gincu seperti kota Paris atau London.
Kawasan ini meriah dan rencam dengan kekitaan yang melambangkan alam dunia ketiga. Ia agak lekeh tetapi daerah hidup indah dengan berjiwa segar-bugar.
Ada sebuah bar menebeng di tepi dinding - di gigi akhir Jalan Petaling. Ia adalah bar untuk mereka yang memang betul-betul tahu apa itu alkohol.
Bar ini bukan untuk dilanggani agar dapat melihat atau dilihat baju yang dipakai atau fesyen terbaru dari Milan. Di bar ini pelanggan datang untuk menikmati alkohol bukan untuk cantik dan bergaya.
Warga yang membeli-belah di wilayah ini pemakai dan pengguna setia segala bentuk barang tiruan. Mereka ini pengguna setia barangan buatan buruh-buruh murah dari Tiongkok. Buruh-buruh yang gajinya tidak melebihi lima ringgit sehari.
Entah bagaimana ia bermula tidak pula aku ketahui. Daerah pusat kota yang ini telah menjadi tempat jantan bertemu betina. Entah bagaimana surah sejarahnya daerah ini sedang menjadi tempat di mana dipertemukan lelaki gersang dengan perempuan bertubuh montok lagi gebu.
Mungkin tarikan ulung – untuk mereka berkumpul dan bertemu - kerana wujudnya hotel-hotel murah yang berselirat di daerah ini.
Jantan-jantan gersang ini kita lihat saban hari membanting tulang membina bangunan-bangunan tinggi dalam kota kita ini. Kita melihat mereka dari jauh tetapi kita tidak pernah mengenali siapa mereka itu sebenarnya.
Mereka ini jantan-jantan tanpa betina yang kita jemput memburuh di negara kita. Badan-badan sasa ini menjadi warga setia daerah ini. Merekalah yang merayakan dan menghidupkan daerah-daerah lekeh dalam kota kita ini.
Pelik tetapi benar, di daerah China Town ini bukan China Doll yang langsing dan ranggi yang berlegar-legar mencari pelanggan tetapi mami-mami India yang montok-montok.
Pernah aku terfikir untuk bertanya berapa harganya jika aku melanggan badan mereka. Hingga ke hari ini, soalan dan harapan ini, masih tinggal harapan.
Suatu masa dahulu – lima tahun dulu – daerah ini menjadi tempat berkumpulnya kaki-kaki busuk dari Iran. Kenapa mereka berkumpul di sini hingga ke hari ini masih menjadi tanda tanya yang tidak mungkin aku jawab.
Kerana mereka, warga Iran ini, telah hilang daripada penglihatan. Tempat mereka ini kini diambil alih oleh mami-mami India.
Punggung aku bersantai di kerusi plastik sambil mata aku meliar melihat orang berjalan. Ada yang berdua, ada yang berkumpulan, ada dengan keluarga, ada awek dengan balak, ada minah dengan minah, ada mamat dengan mamat dan ada yang sendirian seperti aku yang datang untuk membunuh masa dan menunggu malam.
Sedang aku menggelamun sendirian, seorang lelaki datang ke meja aku. Dia ingin menjual kertas-kertas rezeki agar aku menjadi kaya. Aku tersenyum, lalu aku pelawa dia duduk. Dia enggan kerana dia sedang bekerja, beralih dari badan ke badan, menusukkan kertas-kertas rezeki ini.
Aku juga pernah berjudi dan aku tahu nikmat berjudi. Tetapi aku tidak akan mengeluarkan dana untuk menggores dan menang. Aku berjudi apabila aku melihat sang kuda memacu laju. Aku berjudi apabila aku melihat anak muda rancak menendang bola.
Tetapi aku tidak akan terpengaruh untuk menggores nasib aku tanpa asas yang dilanggan oleh fikrah aku.
Manusia dalam dunia ini penuh dengan mimpi-mimpi untuk melakukan sesuatu di luar keupayaan mereka - inilah tabiat manusia.
Demi Zeus – aku teringat kepada Icarus – yang bercita-cita untuk terbang meninggalkan pulau tempat kelahirannya. Icarus mati terdampar apabila lilin di kepaknya cair dipanah matahari.
Kita semua ini adalah Icarus yang bermimpi ingin terbang meninggalkan asal-usul kita. Ramai di antara kita akan terdampar mati sebelum kita sampai mengecapi mimpi yang kita dambakan.
Dia memaparkan kertas-kertas kaya itu ke hadapan meja aku. Aku menolak sambil ketawa. Dia tersenyum sama. Senyuman ini menjadikan kami berkenalan untuk sementara. Inilah kali pertama aku melihat si lelaki ini. Atau mungkin dia telah pernah aku temui di daerah lain.
Anaknya tiga orang. Satu ketika yang tidak lama dahulu dia memiliki sebuah kedai kecil di Kota Raya. Dia menjual surat khabar, majalah, buku dan segala macam rokok. Sewa semakin meningkat dan pelanggan semakin berkurangan.
Dia melambakkan waktu yang lama di kedai. Dia hanya memiliki waktu sebagai modal. Akhirnya dia tewas. Dia diwajibkan mengosongkan kedai. Dia tidak lagi memiliki keupayaan untuk membayar sewa.
Lalu dia melamar kerja untuk berjajan kertas kaya ini. Setiap keping kertas yang berharga tiga ringgit ini, jika terjual, dia akan mendapat 60 sen. Aduh! Berapa helai agaknya kertas ini akan terjual dalam sehari?
Dia wajib mundar-mandir di sekeliling kota – menapak dari meja ke meja – dengan harapan ada kertas akan tergores. Kalau kota kita ini dipenuhi oleh penjudi seperti aku – penjudi rasional – maka mungkin dia akan mati kebuluran.
Demi Zeus – nasib dia agak baik. Dia tinggal bersama isteri dan anak di Jalan Alor. Dua bilik kecil yang disewanya dibayar oleh tuan empunya syarikat kertas kaya ini.
Siapa agaknya tuan empunya syarikat kertas ini? Alangkah nikmatnya kehidupan tuan empunya syarikat ini. Betapa kecil modal perniagaannya. Pasti lebih murah daripada sewa sebulan kedai runcit di Kota Raya.
Apa yang perlu dimodalkan hanya mencetak kertas-kertas kosong dan menjualnya dengan harga tiga ringgit sekeping. Dalam seribu keping mungkin ada sehelai kertas yang digores akan muncul angka untuk memenangi 100 ringgit.
Demi Zues – aku sedar - kertas-kertas kaya ini suatu impian warga kota. Kertas kecil ini suatu harapan untuk warga-warga miskin menjadi kaya-raya.
Aku tahu – bukan satu kesalahan untuk bermimpi dan berangan-angan. Mimpi dan angan-angan hingga ke hari ini – dari apa yang aku tahu - masih lagi percuma dan belum dikotakkan untuk diswastakan.
Bayangkan hidup ini jika kita tidak dibenarkan bermimpi dan berangan-angan – betapa gersangnya hidup ini.
Dia meminta diri untuk meneruskan kerja. Mata aku kembali liar memerhati mami dan aci yang masih belum mendapat pelanggan. Petang telah larut. Jantan tanpa betina semakin ramai meleser.
Lampu-lampu neon mula menyala untuk mengindahkan lopak-lopak jalan yang berlubang-lubang.
Mami dan aci semakin dilihat cantik oleh panahan lampu-lampu neon yang bersinar. Dia telah hilang jauh daripada penglihatan. Setiap orang yang berlegar-legar di daerah ini penuh dengan harapan dan mimpi.
Ada yang menggores rezeki. Ada yang mengangkang mencari rezeki. Ada yang berjaja mencari rezeki. Ada yang menunggu jantan gersang untuk membawa rezeki. Dan aku pun bangun sama beralih untuk mencari rezeki malam.
