Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum

Selepas 20 tahun menuntut tanpa henti-henti, fajar harapan Chin Peng untuk kembali ke tanah tumpah darahnya mulai menyingsing apabila bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor secara terbuka mengakui beliau berhak pulang seperti Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara PKM dengan kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989.

Sebagai perunding utama yang mewakili kerajaan Malaysia dalam rundingan tersebut, Abdul Rahim dalam wawancara eksklusif Malaysiakini tampil mempertahankan legitimasi setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) untuk kembali, sekurang-kurang menggunakan pas lawatan sosial.

Beliau menegaskan bahawa perjanjian terbabit meliputi seluruh ahli PKM dari lapisan terbawah sehingga lapisan tertinggi. Chin Peng yang dianggap sebagai pemimpin dalam hierarki tertinggi parti itu pastilah tidak boleh diketepikan.

Dijelaskan, ahli PKM yang lahir di Malaya dibenarkan kembali ke Malaysia jika mereka ingin berbuat demikian, dengan syarat pilihan mereka itu perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa terbabit dalam tempoh masa 12 bulan selepas tarikh perjanjian dimeterai.

Kebanyakan bekas ahli PKM (lebih 300 orang) telah dibenarkan kembali ke tanahair dan menetap di negara ini. Mereka diterima sebagai warganegara bertanggungjawab oleh masyarakat tempatan, bertungkus-lumus mencari nafkah dan berkhidmat kepada komuniti dengan cara masing-masing.

Mereka yang mengambil keputusan untuk menetap di Thailand, pangkalan asal perjuangan mereka, juga dibenarkan kembali melalui pas lawatan sosial meski tidak diizinkan tinggal buat selama-lamanya.

Abdul Rahim memberi contoh Abdullah CD, bekas pengerusi PKM dan isterinya Suriani Abdullah yang dibenarkan kembali ke tanahair melalui pas lawatan sosial, mereka malah berpeluang menghadap Sultan Perak.

Pada hakikatnya, ramai lagi pemimpin Melayu PKM, termasuk Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh dan Rashid Maidin telah kembali dan menetap di negara ini atau berkunjung sebagai pelancong.

Sudah barang tentu mereka kembali tanpa dikenakan syarat mengemukakan dokumen peranakan seperti yang dikenakan terhadap Chin Peng, dan mereka juga tidak didesak oleh mana-mana pihak untuk meminta maaf dalam apa-apa bentuk sekalipun.

Sukar dipercayai kesudian Chin Peng untuk meminta maaf secara terbuka – jika terbukti ada rakyat tidak berdosa telah dibunuh oleh PKM dalam perbalahan bersenjata tersebut – telah ditolak secara kasar dan angkuh oleh pemimpin Umno.

Jika Chin Peng tidak boleh dimaafkan, kenapa kerajaan merasa sesuai untuk mengikat perjanjian damai dengan pihak beliau untuk menamatkan permusuhan dan perbalahan bersenjata 20 tahun dahulu?

Kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil iktibar daripada Chin Peng, bersedia untuk meminta maaf kepada saudara mara ribuan rakyat tidak berdosa negara ini yang telah dibuang negeri, dipenjarakan, malah dibunuh oleh pihak kerajaan yang bersubahat dengan penjajah British.

Sekiranya kerajaan Malaysia telah menjalankan tanggungjawab perjanjiannya – seperti pihak PKM dan kerajaan Thailand, dan Chin Peng tidak dijadikan sasaran sentimen perkauman dan anti-komunis yang diapi-apikan oleh media arus perdana – maka impian nya untuk kembali ke kampung halaman, terutamanya untuk menziarahi kuburan ibu bapa dan ahli-ahli keluarganya, pasti sudah terkabul lama dahulu seperti ratusan rakan-rakan seperjuangannya yang lain.

Memang benar hujah Abdul Rahim bahawa dalam apa-apa perang atau sengketa bersenjata sekalipun, pasti ada kematian dan kecederaan. Jika pihak kerajaan mendakwa angkatan bersenjatanyalah yang mengalami kerugian paling besar, maka pihak PKM juga akan membuat dakwaan yang sama.

Dalam ucapan Chin Peng pada perayaan ulang tahun ke-20 perjanjian damai di Hatyai, mungkin juga ucapan umum terakhirnya, Chin Peng secara ikhlas merayu kepada semua pihak terbabit agar melenyapkan segala permusuhan dengan semangat persefahaman dan pengampunan.

Beliau malah berkabung selama satu minit bagi mereka yang terkorban dalam perang tersebut daripada ketiga-tiga pihak, iaitu angkatan bersenjata PKM, Malaysia dan Thailand.

Beliau memberi nasihat kepada kerajaan agar tidak mencemarkan perjanjian damai Hatyai yang telah diakui dan disokong secara luasnya di dalam dan luar negeri, kerana menolak permintaannya untuk kembali ke pangkuan ibu pertiwi.

Kepada pemimpin kerajaan dan bekas anggota angkatan bersenjata yang menentang hasrat Chin Peng untuk kembali ke Malaysia, Abdul Rahim menasihati mereka agar jangan terlalu emosi, dan perlu memahami tanggungjawab mereka terhadap perjanjian damai yang bertujuan untuk menamatkan segala permusuhan.

Namun amat dikesali, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tokoh di belakang perjanjian damai Hatyai, mengambil sikap lepas tangan dalam isu tuntutan Chin Peng tersebut yang munasabah di sisi perjanjian.

Katanya, beliau akan bersetuju Chin Peng pulang jika keputusan itulah yang dibuat oleh rakyat. Tidak dapat dinafikan bahawa 20 tahun dahulu, kerajaan membuat keputusan bagi pihak rakyat untuk mengikat perjanjian damai dengan PKM untuk menamatkan permusuhan dan menjalin persahabatan baru.

Setelah 20 tahun selepas termeterainya perjanjian itu, Dr Mahathir masih bercakap tentang keperluan menjelaskan kepada rakyat tentang wujudnya perjanjian terbabit, seolah-olah rakyat masih tidak mengetahui kewujudannya.

Siapakah yang patut dipersalahkan atas perkembangan yang begitu mengecewakan ini?

Yang jadi masalah sekarang, bukan saja menunaikan impian atau hak seorang tua, tetapi berkaitan isi kandungan dan semangat perjanjian damai Hatyai, dan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) negara kita.

Apakah maknanya sebuah janji yang tidak dikotakan?

ADS