Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa hari yang lalu, saya membaca novel The Chamber karya John Grisham. Novel ini novel lama, yang diterbitkan pertama kali kira-kira 15 tahun lepas. Watak utama novel ini ialah Adam Hall, seorang peguam muda yang baru setahun menjadi peguam.

 

Kisah hidup Adam dalam novel ini mengambil masa sebulan. Dalam masa sebulan, Adam terpaksa mempersiapkan dirinya untuk perbicaraan penuhnya yang pertama, iaitu pendengaran rayuan untuk anak guamnya yang dijatuhkan hukuman mati kerana terlibat dalam serangan bom terhadap kaum Yahudi di Amerika Syarikat.

 

Anak guamnya, Sam Cayhall ialah seorang bekas anggota Klu Klux Klan. Beliau juga ialah datuk kandung kepada Adam Hall.

 

Penulis novel ini, John Grisham ialah seorang bekas peguam litigasi sivil dan jenayah. Kebanyakan novel-novelnya berkisar tentang kehidupan seorang peguam ketika mengendalikan sesuatu kes.

 

Saya hampir percaya dengan setiap cerita Grisham kerana latar belakang pengalaman guamannya. Saya syak Grisham melalui sendiri beberapa perkara yang dialami oleh watak-watak peguam rekaannya.

Kadang-kadang, apabila Grisham menggambarkan sesuatu yang buruk tentang profesyen guaman, sama ada secara terang atau sinikal, saya akan terasa.

 

Begitu juga apabila saya membaca The Chamber . Oleh kerana terlalu bengang dengan bekas peguamnya, Sam memaksa Adam menandatangani perjanjian untuk tidak bercakap dengan mana-mana media tentang kesnya sepanjang bertindak bagi pihak Sam.

Peguam hanya mahu terkenal

 

Menurut Sam, semakin hampir tarikh hukuman matinya, semakin ramai peguam yang menawarkan khidmat guaman kepada beliau. Sam percaya bahawa peguam-peguam tersebut hanya mahu menjadi terkenal dan beraksi di hadapan kamera.

 

Sam percaya bahawa peguam-peguam tersebut kemudiannya berdoa dalam hati supaya Sam mati dan kemudian meneruskan kehidupan mereka seperti biasa.

 

Akan tetapi, pandangan Sam mula berubah apabila beliau bertemu dengan Adam. Cucunya itu benar-benar mahukan Sam hidup.

 

Walaupun Adam marah dengan Sam, tetapi Adam tahu bahawa Sam kini hidup dalam penyesalan. Adam juga dibantu oleh beberapa orang peguam lain.

 

Ironisnya, peguam-peguam yang membantu Adam semuanya berketurunan Yahudi dan berkulit hitam - dua bangsa yang sangat dibenci oleh Sam ketika beliau menganggotai Klu Klux Klan.

 

Novel ini juga menerangkan tentang jenis-jenis hukuman mati yang terdapat di Amerika Syarikat. Sam dijatuhkan hukuman mati secara gas beracun.

 

Adam cuba membuat rayuan di Mahkamah, bahawa hukuman mati secara gas beracun tidak berperi kemanusian kerana pesalah akan terseksa selama beberapa minit sebelum mati.

Tiada undang-undang spesifik

 

Selain daripada gas beracun, terdapat juga hukuman secara suntikan dan kerusi eletrik. Membaca bab-bab terakhir novel ini sangat meresahkan saya, terutama apabila sampai ke babak pegawai penjara membuat persiapan untuk menjalan hukuman terhadap Sam.

 

Saya berasa sangat lega apabil Sam meminta Adam keluar dari bilik hukuman. Ini bermakna bahawa babak hukuman tidak akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam novel ini. Saya tidak mahu tahu bagaimana keadaan Sam ketika menghidu gas tersebut.

 

Akan tetapi, pada masa yang sama, ia buat saya tertanya-tanya bagaimanakah hukuman mati di negara kita dijalankan?

 

Di negara kita, hukuman mati hanya dijalankan secara gantung. Tidak ada undang-undang spesifik yang memberi penerangan bagaimanakah hukuman gantung dijalankan.

 

Barangkali ia hanya terdapat dalam buku panduan atau peraturan penjara. Yang ada hanyalah seksyen 277 Kanun Prosedur Jenayah yang memperuntukkan bahawa bagi penghakiman mati, seseorang itu hendaklah digantung lehernya sehingga mati.

Seksyen 281 pula hanya memperuntukkan prosedur-prosedur sebelum dan selepas hukuman dijalankan.

 

Ada seorang rakan pernah membuat lawak kepada saya, katanya sekiranya tali yang digunakan untuk menggantung leher seseorang itu putus dan orang itu tidak mati, maka orang itu akan dibebaskan kerana beliau dianggap telah menjalani hukuman.

Saya rasa itu tidak kelakar.

 

Hidup, mati urusan tuhan

 

Ramai orang di luar sana yang mengambil mudah dan bercakap sewenang-wenangnya tentang hukuman mati. Mudah sahaja mereka bersetuju dengan hukuman mati yang dijatuhkan, terutama apabila marah.

"Padan muka", "kurang sedikit bilangan orang jahat di dunia ini" dan macam-macam lagi diucapkan mereka.

 

Saya tertanya-tanya adakah mereka akan masih mengeluarkan kenyataan yang serupa apabila mereka tahu bagaimana hukuman mati dijalankan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara lain.

 

Sekiranya ada di antara kita yang tidak sanggup membaca, mendengar dan melihat, apatah lagi orang-orang yang terpaksa menghadapinya?

 

Saya tidak mahu bercakap dengan lebih panjang tentang perkara ini. Saya pasti pembaca sudah maklum dengan isu semasa berkenaan dengan hukuman mati.

 

Segala pendapat yang menyokong dan membangkang, telah pun dibentang dan dihujahkan oleh banyak pihak.

 

Cuma, adakalanya, saya berharap supaya masyarakat kita menjadi masyarakat pemaaf dan percaya kepada peluang kedua, terutama kepada pesalah pertama kali dan pesalah muda.

 

Biarlah urusan hidup dan mati mereka itu ditentukan oleh Tuhan sahaja. Selamat Hari Raya semua, maaf zahir dan batin.

ADS