Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sungguhpun emosi tidak dapat dipisahkan daripada fitrah kehidupan manusia, tetapi dalam pembentukan masyarakat bertamadun, akal dan fakta harus diletakkan lebih tinggi daripada emosi.

Dalam sesebuah masyarakat yang sedang membentuk serta memperkukuhkan tamadunnya, seperti Malaysia, sesuatu isu turut ditanggapi oleh sesetengah pihak dengan akal dan fakta yang berasas kerangka perlembagaan atau akta berkaitan, kerana inilah kaedah yang lama kelamaan akan memperkasa tamadun.

merdeka 2005 Akan tetapi sesetengah pihak akan menanggapi isu yang sama berasaskan emosi semata-mata, kerana emosi boleh menjadi ‘bahan bakar' bagi sesuatu tujuan tertentu, umpamanya untuk mengampu, untuk mendapat perhatian, atau untuk mendapat publisiti segera, bukan tujuan memperkasa tamadun.

Golongan ini tidak menggunakan perlembagaan atau akta berkaitan sebagai paksi penghujahan mereka. Golongan ini lebih gemar melakukan pendekatan konfrontasional.

Tidak pernah tercatat, emosi memperkasa sesuatu tamadun umat manusia.

Sebab itu dalam sesebuah negara diperlukan jaringan kerjasama sosial, sivik serta organisasi kemasyarakatan yang lebih waras, yang berhujah dan bertindak dengan akal dan fakta, untuk membuat masyarakat berfungi dengan lebih baik.

Barometer tamadun

Individu dan organisasi yang bertanggungjawab mempunyai kebebasan untuk bersuara rasional dan memberi kritikan membina walaupun agak pedas.

Bagaimanapun kaedah yang intelektual dan ‘tenang' ini selalunya kurang disenangi oleh golongan yang suka membakar emosi, bersensasi dan konfrontasional.

Barometer tamadun sesebuah negara dan masyarakat dapat diukur melalui tenang atau tidaknya perjalanan sehari-hari masyarakatnya.

NONE Jika masyarakat sering bergejolak semata-mata akibat pembakaran emosi, maka ia memberi petanda jauhnya dari semangat tamadun yang tinggi.

Akan tetapi individu, organisasi dan masyarakat seluruhnya berkemungkinan akan mencipta suatu gerakan kolektif secara besar-besaran, sekiranya timbul isu yang melibatkan kepentingan, tujuan serta nilai bersama.

Suatu ‘revolusi' terpaksa digerakkan bagi menumbangkan rejim yang menindas kepentingan, tujuan serta nilai murni rakyat yang mengharapkan kehidupan lebih baik sebagai petanda dekatnya dari semangat tamadun yang tinggi.

Negara-negara Arab dan beberapa negara sedang membangun di Asia dan Afrika sedang melalui lebuh raya perubahan ini.

Yang benar akan menang

Pemerintah dengan segala programnya adalah entiti yang berbeza dengan kumpulan yang berusaha membina masyarakat bertamadun - walaupun kadang-kadang terdapat titik pertemuan antara kedua-dua entiti ini.

Pendekatan politik pemerintah acap kali disandarkan pada kepentingan jangka pendek, sehingga boleh menjejaskan perancangan jangka panjang tamadun bangsanya.

Dalam situasi inilah entiti kumpulan yang berusaha membina masyarakat bertamadun melakukan semakan dan pembetulan, agar pelbagai aspek kehidupan masyarakat berfungsi dengan baik, teratur dan berkesan.

Tidak banyak pemerintah yang secara terbuka dan lapang dada menerima kritikan, walaupun kritikan yang membina.

Di negara yang masih jauh dari usaha pemerkasaan tamadun, pengkritik biasanya akan menerima nasib buruk, kerana banyak pihak yang beremosi mahu pengkritik itu menerima nasib buruknya, mengikut skrip mereka.

Pada hal jika menurut skrip proses ketamadunan, yang benar akan menang, dan yang emosional akan menerima nasib buruknya.


NONE Datuk Dr Anwar Ridhwan merupakan sasterawan negara ke-10. Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu terkenal sebagai novelis dan penulis cerpen. Antara karyanya yang terkenal Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto.

Tulisan ini bahagian kelima daripada siri artikel pendek bertemakan "Masyarakat Bertamadun" yang diterbitkan setiap dua minggu.

Ia merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

ADS