Perjuangan masyarakat melawan golongan penindas berterusan setiap zaman. Selagi bumi ini berputar, selagi itulah perlawanan ini akan terus berlaku.
Setiap zaman juga akan melahirkan wira. Wira berkorban untuk memastikan perjuangan untuk mencapai satu cita-cita murni itu tercapai.
Masyarakat Cuba bergenerasi belum pernah melupakan bagaimana seorang anak muda yang juga seorang doktor kesihatan, Ernesto Che Guevara dari Argentina menyertai perjuangan revolusi Cuba bawah pimpinan Fidel Castro - akhirnya mengalahkan regim Batista.
Che Guevara harum namanya kerana selepas menang revolusi di Cuba. Beliau tidak mahu terus merayakan kemenangan revolusi akan tetapi turun ke Bolivia untuk berjuang bersama-sama rakyat yang akhirnya menyebabkan beliau tertangkap dan dibunuh.
Di Tunisia pada 17 Disember 2010, seorang anak muda - penjual sayur bernama Mohammed Bouazizi - membakar dirinya di hadapan pejabat pemerintah sebagai protes akibat tidak mendapat layanan apabila cuba membuat aduan mengenai polis wanita yang menindasnya.
Bouazizi dibawa ke hospital dan akhirnya meninggal dunia pada 4 Januari 2011. Tindakan Bouazizi membuka mata rakyat Tunisia terhadap kepincangan yang berlaku di negara tersebut.
Sepuluh hari selepas kematian anak muda tersebut, presiden Zine el Abidine Ben Ali yang berkuasa selama 23 tahun digulingkan dari takhta.
Selain membangkitkan semangat rakyat Tunisia menuntut revolusi, Mohammed Bouazizi dianggap sebagai pencetus kepada kebangkitan rakyat Arab yang digelar "Arab Spring".
Siapakah Sondang?
Tatkala artikel ini ditulis, kota Jakarta masih panas dengan isu "Sondang". Demonstrasi dan rapat umum mahasiswa Indonesia masih lagi hangat. Kemarahan masih membara.
Pada 7 Disember lalu, nama Sondang Hutagalung harum ke seluruh Indonesia. Mahasiswa undang-undang dari Universiti Bung Karno (UBK) telah menggemparkan negara terbesar di Asia Tenggara itu.
Sondang membakar dirinya di hadapan Istana Presiden di Jalan Medan Merdeka Utara, Jakarta Pusat sebagai protes kepada pemerintahan Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang dianggap tidak memberi kebaikan kepada rakyat terbanyak.
Selepas dirinya terbakar, Sondang dikejarkan ke Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM), Jakarta Pusat. Sondang akhirnya meninggal dunia pada 10 Disember lalu.
Peristiwa ini merupakan tamparan terhebat yang diterima oleh pemerintahan SBY. Faktor ekonomi yang tidak menguntungkan majoriti rakyat antara punca mengapa anak muda seperti Sondang sanggup mengorbankan dirinya.
Menurut Ketua Parti Hanura, Yuddy Chrisnandi, tindakan membakar diri di hadapan Istana Merdeka yang menjadi simbol kekuasaan tertinggi di Indonesia adalah tindak balas daripada rakyat yang kecewa terhadap kepimpinan SBY yang tidak mementingkan kepentingan rakyat terbanyak.
Yuddy turut memberikan amaran kepada presiden supaya jangan memandang remeh terhadap peristiwa ini.
"Loceng perlawanan rakyat telah berbunyi, berwaspadalah pemerintah SBY", kata Yuddy.
Tindakan membakar diri adalah salah satu cara melakukan protes. Dalam kepercayaan tertentu, ia dianggap sebagai pengorbanan tertinggi dengan menyerahkan nyawa sebagai pengorbanan agar perubahan yang lebih baik berlaku terhadap rakyat terbanyak.
Vitamin untuk kebangkitan mahasiswa
Tindakan Sondang mengorbankan dirinya sebagai satu protes terhadap nasib rakyat terbanyak di Indonesia membuka mata ramai pihak.
Ia seakan-akan memberikan "vitamin" bagi memperhebatkan kembali gerakan mahasiswa di Indonesia yang melemah selepas Soeharto dijatuhkan pada tahun 1998.
Sondang telah mejadi ikon baru kepada kebangkitan mahasiswa di Indonesia. Jika dimanfaatkan dengan betul, tidak mustahil Sondang mampu menjadi penyatu kepada mahasiswa Indonesia bagi memperhebatkan perlawanan terhadap pemerintahan SBY.
Apakah sejarah 1998 dimana mahasiswa Indonesia menjatuhkan presiden akan berulang? Nama Sondang semakin mekar di Jakarta. Lambat laun ia akan merebak ke seluruh Indonesia.
Cabaran kepada gerakan mahasiswa adalah bagaimana untuk memastikan pengorbanan yang dilakukan oleh Sondang tidak sia-sia.
Selain itu bagaimana mereka mahu berhadapan dengan bekas-bekas aktivis mahasiswa 1998 yang telah ramai diambil bagi membantu SBY.
Apakah Sondang mampu mengulangi sejarah yang dilakukan oleh Mohammed Bouazizi di Tunisia?
Dunia telah mengajar kita tentang bagaimana mahalnya harga dibayar untuk sebuah perjuangan. Kadangkala, untuk memberikan keberanian kepada masyarakat yang tertindas, sesuatu kejutan harus dilakukan.
Tidak ada perjuangan yang akan menang tanpa sebarang pengorbanan. Sondang adalah diantara salah satu daripada ramai lagi wira-wira yang telah berkorban untuk perjuangan yang mereka percayai.
Beranikah kita untuk membayar dengan harga mahal untuk perjuangan yang sedang kita tempuhi?
Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Beliau memblog di www.aminiskandar.blogspot.com/
