Debat budaya demokrasi

Antara masalah utama Malaysia adalah, semua perkara suka diambilsecara “setengah masak”.

Lihatlah demokrasi di Malaysia.

NONEMengaku demokrasi, tetapi banyak betul halangannya -  kebebasan bersuara, kebebasan menerbitkan akhbar dan kebebasan berhimpun secara aman.

Semalam, Mahkamah Sesyen baru saja menjatuhkan hukuman bersalah ke atas 14 orang aktivis anti ISA kerana berhimpun secara aman  pada 1 Ogos 2009, bagi membantah akta “draconian” tersebut.

Nordin Mohamad, Hayati Abdul Samad, Salmah Ismail, Norlaila Othman, Nashita Mohd Noor, Rashini, Hasbullah Pit, Wan Muhamad Jazlan Razali, Mohd Petri Mohd Yassin, Syaza Muaz Shaharudin, Mohd Sukri Mohd Sirat, Mohamd Sukeri Muhammad, Mohd Sallehuddin Yusop, Zulsifli Kama Kutty, Mohd Fazlzy Mohd Ismail, dan Norazam Sakib dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 2000 dan penjara sehari.

malaysia indepence merdeka tunku abdul rahman declare 290806Inilah demokrasi ala Malaysia. Demokrasi yang hanya ada pada nama.
Pengkhianatan secara terbuka dilakukan oleh pemerintah hari ini terhadap janji perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj -  untuk menjadikan Malaysia (Malaya ketika itu) sebagai sebuah negara demokrasi.

Debat BN-Pakatan

Sehingga hari ini, perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum menunjukkan keberanian apabila dicabar oleh ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat.

Entah apa yang ditakutkan, tiada siapa yang tahu. Sebagai seorang pemimpin negara, seluruh jentera kerajaan berada di belakang Najib.

NONEDengan mudah arahan boleh diberi kepada badanpemikir atau  “think-thank” dan institusi akademik untuk menyediakan fakta-fakta bagi Najib berhadapan dengan Anwar.

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak awal lagi menolak idea debat antara Najib-Anwar ini. Beliau konsisten menyatakan debat antara Najib dan Anwar adalah embuang masa.

Mengenali Dr Mahathir, bukanlah satu “nilai berita” jika beliau menolak idea debat secara terbuka ini.

Pada zaman pemerintahan Dr Mahathir, kerajaan tidak mesra dengan program-program seperti ini. Malahan zaman pemerintahan beliau adalah zaman gelap untuk demokrasi di Malaysia.

Cina lebih berani?

Minggu lalu berlaku perdebatan di antara presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng.

NONEDebat dijalankan dalam bahasa Mandarin dengan bantuan jurubahasa - disiarkan secara langsung.

Yang mengecewakan adalah debat ini tidak dijalankan dalam bahasa kebangsaan yang boleh difahami oleh masyarakat Malaysia yang bukan Cina.

Pujian harus diberikan kepada Chua dan Lim kerana berani untuk berdebat secara terbuka.

Umno penakut?

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan berdolak dalik. Pada mulanya beliau mengatakan bahawa Umno dan BN bersedia untuk  berdebat  dengan sesiapa sahaja.

NONEApabila kenyataan beliau dianggap sebagai Najib menyahut cabaran Anwar, beliau mengubah pula kenyataannya dan berkata Najib tidak perlu berdebat dengan Anwar.

Persepsi umum pada hari ini adalah presiden Umno kecut untuk berdebat dengan ketua pembangkang.

Tidak benar jika berhujah secara dangkal dengan mengatakan rakyat Malaysia belum bersedia menerima debat terbuka.

Perdebatan antara Anwar dan Datuk Seri Shabery Cheek membuktikan tidak berlaku rusuhan selepas debat itu selesai. Begitu juga dengan debat antara Chua dan Lim.

Budaya debat bukan sahaja milik Barat. Di Filipina, perdebatan adalah sesuatu yang lumrah.

Ketika musim pilihanraya di negara Jose Rizal itu, perdebatan di antara calon bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi seperti calon presiden malahan ia turut berlaku sehingga peringkat bawahan.
Commission on Election (Comelec) menyediakan platform untuk calon-calon pilihanraya berdebat.

NONEIni diamalkan sehinggalah ke peringkat yang paling bawah iaitu ketua kampung (Barangay Captain).

Malaysia tidak akan kemana-mana jika terus melakukan sesuatu perkara secara “setengah masak”. Malaysia telahpun ketinggalan berbanding Filipina, Indonesia dan Thailand.

Jangan sampai nanti, Myanmar lebih demokrasi daripada kita.


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia.Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di http://www.twitter.com/aminiskandar.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.