Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kini bekerja keras untuk membawa rakyat ke jalan raya sebelum pilihan raya umum ke-3.

Angka 500,000 menjadi sasaran untuk memenuhkan Dataran Merdeka. Jika angka tercapai, Dataran Merdeka akan bertukar menjadi Dataran Tahrir seperti di Mesir ketika kebangkitan rakyat melawan Hosni Mubarak.

Sebelum pilihan raya umum ke 12, buat pertama kalinya Kuala Lumpur dikuningkan.

Walaupun ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan pada ketika itu berhempas pulas untuk menutup segala pintu masuk ke Kuala Lumpur, ia tidak mampu untuk menghalang gelombang kebangkitan rakyat.

Istana Negara dibanjiri dengan lebih kurang 100 000 rakyat yang memakai warna kuning.

Kejayaan demonstrasi tersebut memberi tamparan hebat kepada perdana menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Badawi dan menantunya, Khairy Jamaluddin.

Kedua Abdullah dan Khairy sebelum itu dalam perhimpunan agung Umno dengan angkuhnya menemplak penganjur perhimpunan raksasa tersebut.

Khairy akan terus dikenang dengan kenyataan angkuhnya yang menyamakan peserta perhimpunan aman dengan "beruk".

Barisan pemimpin

Bersih fasa pertama yang dipimpin oleh mantan presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud berjaya membangkitkan kesedaran rakyat sehingga berlakunya Tsunami politik dalam pilihan raya ke-12.

Fasa kedua yang dikepalai oleh Datuk Ambiga, seorang peguam ternama menyebabkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa pilihan khas (JKP) untuk pilihan raya bebas dan adil.

JKP yang dikepalai oleh Datuk Seri Maximus Ongkili memberikan beberapa cadangan agar kerajaan melakukan perubahan dalam rangka mengangkat martabat pilihan raya di Malaysia.

Kini BERSIH sudah masuk fasa ketiga. Kali ini Datuk A Samad Said, sasterawan negara dibawa masuk sebagai pengerusi bersama BERSIH.

Walaupun Pak Samad dijadikan pengerusi bersama- sama dengan Datuk Ambiga, beliau dianggap sebagai ikon bagi BERSIH 3.0.

Para budayawan akan melihat ini sebagai isyarat untuk mereka bersama.

Dalam beberapa sidang akhbar menjelang perhimpunan pada 28 April ini, Pak Samad tegas mengatakan BERSIH akan mencapai angka 500,000.

Melayu terbuka hati

A Samad Said antara sasterawan negara yang dekat di hati rakyat jelata. Rambut, misai dan janggutnya yang putih mudah diingati oleh rakyat.

Dua tiga tahun sebelum Pak Samad terlibat aktif dengan gerakan rakyat, beliau sering diundang oleh pihak televisyen.

Krisis bahasa akhirnya membawa Pak Samad kepada gerakan rakyat. Beliau disambut oleh rakyat dengan penuh kasih sayang. Begitu juga dengan ahli politik Pakatan.

Penentangan terhadap PPSMI mengangkat Pak Samad sebagai ikon gerakan rakyat. Demonstrasi anti PPSMI menyaksikan sasterawan negara tersebut turut menjadi mangsa keganasan polis.

Potret Pak Samad terkena gas pemedih mata menyebabkan ada yang menangis. Jikalau seorang sasterawan negara yang hidup di zaman penjajahan Jepun diperlakukan sebegini rupa, apa lagi rakyat jelata?

Kemasukan Pak Samad sebagai pengerusi bersama BERSIH memberikan suntikan baru kepada gerakan tersebut.

Orang-orang Melayu yang terpengaruh dengan propaganda Utusan Malaysia kini terbuka hati apabila melihat sasterawan mereka menyertai gerakan rakyat.

Hari-hari tua

Orang-orang Melayu di pedalaman menjadi mangsa propaganda Utusan Malaysia dan TV3. Ini adalah tunjang kekuatan kepada Umno. Namun, sampai bila ia mampu bertahan?

Pilihan raya wibawa adalah hak kepada semua warga Malaysia. Sebuah kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya - dipercayai oleh semua pihak akan memberikan legitimasi kuat.

Apabila ini berlaku, rakyat akan yakin dengan sesuatu kerajaan tersebut.

Selain itu, pelabur-pelabur asing akan mempunyai keyakinan untuk melabur oleh kerana kerajaan yang diangkat melalui pilihan raya wibawa akan menjamin kestabilan politik.

Katakanlah Malaysia tetap berdegil untuk meneruskan pilihan raya sebelum semua pihak berpuas hati dengan reformasi pilihan raya yang dilakukan, kerajaanyang diangkat tidak mempunyai kredibiliti dan akan dituduh menang dengan penipuan.

Ia akan mengundang kemarahan rakyat jelata. Jalan raya akan dipilih oleh kerana pilihan raya sudah tidak lagi diyakini. Paling lama kerajaan baru selepas pilihan raya 13 bertahan adalah satu tahun.

Apatah lagi sekarang ini, operasi jahat untuk menawan Selangor sudah bermula.

Apabila undi rakyat Malaysia dicuri oleh warga Bangladesh, Myanmar, Filipina dan Indonesia, kemarahan rakyat jelata pasti membuak-buak.

Pada ketika itu, pemimpin-pemimpin tertinggi negara terpaksa lari keluar negara untuk menghabiskan hari-hari tua mereka.


Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS