Syria dan demokrasi

Kuasa imperial Amerika syarikat sedang merancang untuk menyerang Iran atas alasan Iran sedang berusaha untuk membuat senjata bom nuklear. Ini agak senang difahami. Amerika sedang menyerang Pakistan untuk menafikan Pakistan dari terus dimiliki bom nuklear. Ini mungkin agak susah sedikit untuk difahami.

Kuasa imperial Anglo-Amerika ingin menyerang Syria kerana projek New World Order. Ini lagi ramai yang tidak faham. Ini lagi susah untuk difahami. Justeru, apa yang berlaku di Syria pada ketika ini telah melahirkan banyak kejulingan. Kejulingan yang jelas ialah kejulingan intelektual di kalangan masyarakat Melayu.

Kejulingan intelektual ini lahir dari kegagalan memahami asas politik. Kejulingan ini lahir kerana sikap malas membaca. Sikap malas berfikir. Sikap mengambil jalan pintas tanpa membuat penyelidikan sendiri.

Kejulingan ini juga lahir kerana telah ditanamkam sikap "budaya wajib mendengar" dari benggolan-benggolan yang dikatakan memiliki ‘autoriti'. Benggolan-benggolan yang tahu bahasa sekian sekian sahaja yang memiliki tauliah untuk bercakap. Benggolan-benggolan yang berat serbannya sekian sekian sahaja yang pandangan boleh didengar. Akhirnya tertanam sikap suka mendengar. Sikap suka mendengar ini telah membunuh sikap suka membaca dan suka mengkaji serta menyelidik.

Hasilnya, sikap malas membaca ini melahirkan ramai tukang ikut dan ramai tukang sorak. Tukang sorak dan tukang ikut ini sebenarnya telah lama pencen dari menggunakan akliah dan fikrah mereka. Apabila telah pencen maka apa yang tersimpan di belakang dua telinga itu tidak lagi memiliki kudrat untuk menjadi gersang dan kritikal. Kegersangan untuk berfikir ini telah dilepaskan kepada benggolan-benggolan yang dikatakan bertauliah.

Biar saya jelaskan di sini bahawa apa yang berlaku di Syria bukan tentang konflik agama. Bukan konflik mahzab Sunni dengan Syiah. Bukan konflik mahzab Alawite dengan Sunah wal Jamaah. Atau konflik Islam dengan Kristian.

Memang sahih, wujudnya konflik antara Syiah dan Sunni. Memang betul kerajaan yang dipimpin oleh Bashar ini tidak demokratik. Memang betul ada gerakan rakyat yang menuntut agar ruang demokrasi dibesarkan lagi. Elit politik di Syria sama seperti elit politik di Malaysia atau elit politik dalam negara dunia. Mereka zalim, ganas, rasuah dan rakus merembat harta kekayaan negara. Kezaliman dan penyempitan hak kebebasan warga ini adalah watak elit politik dunia ketiga.

Memang betul pada awalnya ada kumpulan yang menuntut agar kebebasan dan ruang demokrasi di Syria diperluaskan. Ini sama seperti tuntutan warga Malaysia yang mahu negara ini lebih bebas dan lebih demokratik. Tidak mahu penipuan dalam pilihan raya. Semua ini adalah asas perjuangan warga dari negara dunia ketiga.

Untuk memahami lebih mendalam maka saya terpaksa membuka minda pembaca untuk memahami teori kontradiksi. Kontradiksi adalah hukum alam semula jadi. Ia sama seperti oksigen, ertinya kontradiksi wujud bersama kita. Tanpa kontradiksi alam ini tidak mungkin wujud. Sama ada negara itu penuh dengan kafir atau penuh dengan penganut Islam atau penuh dengan warga yang tidak percaya kepada Tuhan - kontradiksi terus wujud.

Kontradiksi tidak beragama. Tidak berbahasa. Dalam sistem ekonomi kapitalis atau ekonomi sosialis kontradiksi wujud. Alam bergerak kerana kontradiksi. Dalam kontradiksi ada pergeseran. Pergeseran dan percanggahan inilah yang mengerakkan alam kita ini.

Kontradiksi ini juga bertahap-tahap. Ada yang fundamental, ada yang tahap kedua dan ada yang kurang penting. Kontradiksi ini berubah-ubah. Contoh terbaik, dalam sejarah perjuangan orang yang terdahulu dari kita ketika perang dunia ke dua. Ketika itu Tanah Melayu sedang dijajah oleh British. Inilah kontradiksi utama. Kontradiksi - pertentangan antara warga Tanah Melayu dengan penjajah.

Tetiba Jepun datang menyerang. British yang menjadi musuh utama telah menjadi musuh ke dua. Yang wajib dilawan ialah tentera Jepun. Malah kontradsiksi dengan British menjadi luntur sehinggakan ada kerjasama antara warga Tanah Melayu dengan British untuk melawan kontradiksi yang fundamental: penjajah Jepun.

Begitu juga di Syria sekarang. Pada awalnya kaum demokrat Syria telah bangun menuntut demokrasi. Tetapi agenda suci rakyat Syria ini telah diambil alih oleh kuasa imperial Anglo-Amerika. Justeru kontradiksi yang wujud di Syria hari ini bukan antara Sunni dengan Syiaa. Bukan antara Islam dengan Kristian. Bukan antara presiden Bashar yang bermazhab Alawite dengan majoriti warga yang bermazhab Sunni.

Kontradiksi utama atau pergeseran utama pada ketika ini antara rakyat Syria dari semua mahzab agama dengan kuasa imperialis Anglo-Amerika. Silap memahami kontradiksi fundamental ini maka akan silaplah semua analisa politik. Akan bertaburan segala hujah. Tidak akan dilihat satu kesatuan fikrah yang tersusun dalam menganalisa situasi di Syria. Inilah yang melahirkan kejulingan pandangan terhadap apa yang sedang berlaku di Syria.

Pasti para pembaca akan bertanya kenapa kuasa imperial Anglo-Amerika melakukan semua ini? Apa sebenarnya yang diperlukan oleh kuasa imperial Anglo-Amerika ini? Jawapannya ialah kuasa imperial Anglo-Amerika ialah kuasa imperialis. Imperialisme ini ialah tahap yang paling tinggi yang boleh dicapai oleh sistem kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis yang bertuhankan keuntungan maksima memerlukan bahan mentah, buruh dan pasaran. Sistem ekonomi kapitalis selama 150 tahun ini telah bergerak dengan jayanya dengan bantuan bahan bakar petrol. Tanpa bahan bakar ini sistem ekonomi kapitalis akan runtuh berderai.

Justeru wajib disedari jika Iraq hanya mengeksport petai, jering dan cencaluk pasti Iraq tidak akan diserang. Jika Iran hanya memiliki budu dan tidak memiliki bahan bakar petroleum dan gas maka Iran tidak akan diserang.

Pasti akan ada pembaca yang bertanya, Arab Saudi juga ada minyak kenapa tidak diserang. Qatar juga ada minyak kenapa Qatar tidak diserang? Malaysia dan Brunei juga ada minyak kenapa tidak diserang? Jawabnya cukup senang. Rejim Arab Saudi dan Qatar ini adalah barua kepada Amerika. Malah tidak perlu diserang kerana telaga minyak di Saudi dan Qatar adalah milik Amerika.

Bagitu juga Malaysia dan Brunei. Dua negara Melayu ini adalah ‘budak setia' kepada Amerika. Malah Malaysia telah menghantar tentera ke Afghansitan. Malaysia juga sedang membantu Raja Saudi yang sedang cuba memadamkan apa kebangkitan warga Bahrain yang sedang berjuang untuk mendirikan Bahrain yang lebih demokratik.

Tetapi Syria tidak memiliki bahan bakar petroleum? Ini betul. Tetapi dalam strategi kuasa imperial Anglo-Amerika untuk mendirikan New World Order Syria ini dilihat sebagai musuh. Syria menjadi musuh bukan kerana Syria ini Syiah tetapi kerana Syria menyokong perjuangan Hezbollah dan Hamas yang sedang mengangkat senjata menentang kuasa zionis Israel.

Syria juga dijadikan musuh kerana Syria dari zaman presiden Hafeez al-Assad telah bekerjasama dengan Iran dalam banyak bidang. Malah dasar luar Iran/Syria telah membantu memperkuatkan gerakan Hezbollah dan Hamas.

Dari era Perang Dingin lagi Syria telah dilihat amat sedia untuk bekerjasama dengan USSR, kemudian dengan Rusia. Banyak kelengkapan persenjataan Syria yang digunakan untuk melawan Zionis-Isreal telah dibekalkan oleh Rusia. Rusia adalah sahabat Syria yang telah diduga. Hubungan intim dengan Rusia terjalin lama dan dibuktikan dengan wujudnya pangkalan tentera laut Rusia di Tartus semenjak tahun 1971. Tartus ialah pelabuhan yang kedua terbesar di Syria.

Mungkin ramai yang terlupa Isreal telah juga menawan dan sedang menjajah wilayah Bukit Tinggi Golan semenjak 1967 dahulu. Wilayah ini adalah milik Syria dan diakui oleh Bangsa Bangsa Bersatu.

Kerjasama antara Syria dengan Iran dan Rusia ini adalah satu perkara yang tidak dapat diterima oleh kuasa imperial Anglo-Amerika. Obama dan Clinton melihat bahawa kerajaan Bashar ini berkemungkinan akan menggagalkan strategi Amerika untuk menawan Iran. Syria perlu dipatahkan dahulu sebelum serangan dapat dilakukan ke atas Iran. Justeru kerajaan Bashar wajib dijatuhkan.

Di sini ada tiga buah negara yang sedang menjadi barua Amerika. Saudi, Qatar dan Turki. Saudi dan Qatar menjadi taiko mengeluarkan dana. Manakala Turki menyediakan tempat di sempadan Turki/Syria untuk melatih kumpulan-kumpulan pengganas anti-Syria yang kini memanggil nama mereka Free Syrian Army. Nama kumpulan ini amat menarik tetapi mereka ini dilatih oleh CIA.

Diberitakan sebuah jet pejuang Turki telah jatuh ditembak oleh peluru berpandu Syria. Ini mungkin sandiwara untuk mengolah persetujuan rakyat Turki dan rakyat dunia. Turkey kini memiliki cita-cita untuk sekali lagi - seperti zaman Uthmaniah dahulu - untuk dapat mempengaruhi dunia Arab. Turki memiliki nafsu besar, untuk menjadi kuasa besar. Nafsu besar ini muncul kerana Turki memiliki 'viagra' yang bernama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Para pembaca wajib sedar bahawa di belakang semua ini ialah kuasa zionis Isreal. Dengan licik Israel telah berjaya menjadikan Saudi, Qatar dan Turki sebagai budak suruhan gerakan Zionis Antarabangsa.

Pada ketika ini kuasa dan pengaruh Zionis Israel cukup kuat sehinggakan Obama terpaksa mengikut telunjuk Benjamin Netanyahu. Kaum zionis Isreal telah memilih waktu yang tepat - tahun pilihan raya - di mana tidak ada bakal presiden Amerika yang berani bercanggah dengan Isreal.

Amerika, Saudi, Qatar dan Turki semunya sedang menjadi budak suruhan zionis Isreal. Kita wajib sedar dan berwaspada kerana di belakang zionis Isreal ini ialah tuan empunya bank dan gedung-gedung perniagaan antarabangsa. Mereka inilah yang sedang merancang untuk mendirikan New World Order - Satu Dunia Baru - di mana semua harta kekayaan dunia ini akan mereka miliki. Kuasa dan kekayaan ini akan dipertahan oleh senjata-senjata buatan Amerika dan Nato.

Mungkin ada yang tidak percaya apa yang saya tulis ini. Mungkin ada yang melihat ini ialah perjuangan Sunni terhadap ajaran sesat Syiah. Mungkin ada yang akan mengatakan ini perjuangan adil rakyat Syria menuntut kebebasan dan demokrasi. Mungkin ada yang percaya bahawa kuasa imperial Amerika bersama Nato sedang berusaha menaburkan demokrasi seperti yang sedang mereka lakukan di Afghanistan, di Iraq atau di Libya.

Kepada yang tidak yakin dengan tulisan saya, saya cadangkan agar mereka pergi ke Kedutaan Saudi dan Qatar untuk bertanya bila piliha raya akan diadakan di Saudi Arabia dan Qatar? Khalas. END
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.