Most Read
Most Commented
Read more like this

Lim Fong Seng (1925-2002)  seorang pemimpin gerakan pendidikan bahasa ibunda, tokoh hak sivil dan hak asasi manusia, telah meninggal pada 13 Mac 2002 di Hong Kong akibat serangan sakit jantung. Beliau berumur 77 tahun.

Lim pernah menjadi penasihat Dong Jiao Zong (ringkasan untuk Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia), dan merupakan bekas pengerusi Dong Zong (1973-1990) serta pengerusi Universiti Merdeka Sdn Bhd (1974-1986).

Pemergiannya tentu meninggalkan pengaruh besar terhadap gerakan yang dipimpin dan disertainya. Untuk memperingati jasa dan sumbangannya, Jawatankuasa Urusan Perkabungan/Pengebumian besar-besaran yang disertai 21 badan utama pendidikan dan kebudayaan dan ratusan pemimpin masyarakat telah ditubuhkan.

Mulai 14 Mac hingga hari pengebumian (19 Mac) lalu, akhbar-akhbar tempatan dipenuhi liputan berita, belasungkawa dan rencana mengenai sumbangan bakti dan pengorbanan mendiang Lim. Manakala iklan takziah daripada semua lapisan masyarakat, termasuk pemimpin parti pembangkang dan parti pemerintah turut mencurahi ruangan akhbar-akhbar tempatan.

Pada pagi hari pengkebumian, ribuan manusia membanjiri kediaman Lim di Jalan Sempurna, Gombak untuk menghadiri upacara perkabungan yang bersejarah itu. Dan barisan yang dianggarkan sepanjang 4km mengekori kereta jenazah yang membawa mendiang Lim.

Pada tengah harinya, ketika kereta jenazah mendiang Lim itu singgah di Kolej New Era Kajang, sekali lagi beribu-ribu aktivis gerakan pendidikan bahasa ibunda dan hak asasi manusia, pensyarah, kakitangan dan pejalar Kolej New Era, kakitangan Dong Jiao Zong, pelajar sekolah menengah Cina (swasta) dan penduduk Kajang telah berkumpul di situ untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pemimpan tersayang mereka.

Menyara hidup 11 adik-beradik

Apabila mengimbas kembali riwayat hidup mendiang Lim, memang sewajarnyalah beliau diberi penghormatan itu. Pada zaman pelajar lagi, beliau merupakan seorang penyajak yang progresif dan romantis. Sebelum tamat pelajaran menengah tinggi, beliau terpaksa berhenti sekolah akibat pendudukan Jepun. Setelah Jepun menyerah diri, Lim tidak mampu kembali bersekolah kerana kemiskinan keluarganya.

Untuk menyara hidup 11 adik-beradik, beliau terpaksa berhijrah ke Singapura untuk bekerja sambil belajar bahasa Inggeris. Beliau pernah bekerja dengan akhbar Nan Cao Jit Poh sebagai pengalihbahasa berita. Namun impiannya untuk melanjutkan pelajaran tidak pernah luntur.

Peluang keemasan itu muncul apabila beliau ditawarkan biasiswa oleh pihak pengurusan Nan Cao Jit Poh untuk ke Amerika Syarikat sebagai pemberita khas sambil belajar di sana. Tetapi pada masa yang sama, ayahnya yang mendapat sejumlah wang pampasan peperangan, mahu beliau kembali ke Kuala Lumpur untuk memulihkan lombong bijih timah milik keluarganya.

Dan akhirnya Lim, seorang penyajak yang romantis, memilih menjadi seorang pelombong. Dari tahun 1940-an hingga tahun 1960-an, Lim menjadi seorang pelombong yang berjaya. Pada kemuncak kerjayanya, beliau pernah menjaga 12 lombong pada masa yang sama.

Gerakan pendidikan bahasa ibunda

Sebagai seorang bekas pelajar aliran sains, Lim menitikberatkan kerja kajian dan ujian. Oleh itu, beliau turut memberi sumbangan kepada pembangunan industri bijih timah di negara kita. Beliau juga pernah menyandang jawatan pengerusi Persatuan Pelombong-Pelombong Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Lim tidak berpuas hati sebagai seorang pelombong yang berjaya. Berasaskan kepada falsafah hidup nyawa seseorang itu hanya bermakna setelah ia memberi sumbangan kepada masyarakat, dan memandangkan krisis yang melandai pendidikan Cina pada masa itu, beliau menceburkan dirinya dalam gerakan pendidikan bahasa ibunda mulai tahun 1970-an.

Kerana keunggulan kepemimpinannya, dalam masa yang singkat sahaja, Lim dipilih sebagai pengerusi Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 1973 sehingga 1990. Bersama-sama Sim Mou Yu, pengerusi Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Lim berada di barisan terdepan untuk memperjuang, mempertahan dan mengembangkan pendidikan bahasa ibunda kaum Cina.

Suatu garis panduan bertindak telah dirumuskan untuk mempertahankan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan SRJK(C), mengembangkan sekolah menengah (swasta) Cina, dan menubuhkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) Cina".

Garis panduan ini merupakan strategi berperingkat tetapi saling berkaitan antara satu sama lain. SRJK(C) merupakan akar umbi pendidikan Cina. Jika akar umbi ini tercabut, bermakna tamatlah riwayat pendidikan Cina di Malaysia.

Kewujudan SRJK(C) terancam oleh Fasal 21(B) Akta Pelajaran 1961 yang memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk menukarkan bahasa pengantarnya daripada bahasa Cina kepada bahasa Malaysia pada masa yang dianggapnya sesuai. Fasal 21(B) ini diumpamakan tali gantung yang terletak di leher SRJK(C). Ia akan mencabut nyawa sekolah rendah Cina pada bila-bila masa yang dianggap sesuai oleh Menteri Pelajaran negara kita. Oleh itu, memperjuangkan pemansuhan fasal tersebut merupakan tugas utama dalam proses mempertahankan SRJK(C).

Ditipu MCA

Sebelum negara kita mencapai kemerdekaan pada 1957, pendidikan Cina merupakan suatu aliran sistem pendidikan yang lengkap, terdiri daripada 1,276 sekolah rendah, 71 sekolah menengah dan sebuah universiti  Universiti Nanyang di Singapura (ditubuhkan oleh rakyat Persekutuan dan Singapura sebagai rakyat Malaya pada 1956).

Pada tahun 1962  melalui Akta Pelajaran 1961  54 daripada 71 Sekolah Menengah Cina Swasta (SMCS) telah dipujuk (atau dengan lebih tepat, ditipu) oleh MCA, dan akhirnya bersetuju untuk ditukar menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), dengan jaminan satu pertiga mata pelajaran akan diajar dalam bahasa Cina, selebihnya diajar dalam bahasa Inggeris (kemudiannya dalam Bahasa Malaysia).

Kini, semua SMJK sudah menjadi Sekolah Kebangsaan seperti kehendak "matlamat muktamad" Akta Pelajaran 1961 dan juga Akta Pendidikan 1995 yang ingin menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua aliran pelajaran. Dengan lain perkataan, 54 sekolah menengah Cina telah secara beransur-ansur ditukar menjadi sekolah menengah kebangsaan. Ini adalah hakikat sejarah yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun.

Sebanyak 17 SMCS yang enggan ditukarkan menjadi SMJK, kebanyakannya mengalami krisis kemerosotan bilangan pelajar dan masalah kewangan. Manakala 54 SMJK baru itu juga menghadapi masalah besar  ramai pelajar mereka keciciran kerana gagal menguasai bahasa Inggeris yang bukan merupakan bahasa ibunda mereka. Kebanyakan sekolah tersebut terpaksa mengadakan kelas SMCS di sebelah petang untuk menampung mereka yang keciciran. Lama-kelamaan SMCS pun meningkat sehingga 60 buah.

Semasa mendiang Lim menyandang jawatan pengerusi Dong Zong, SMCS berada dalam keadaan kucar-kacir dan kurang bersemangat kerana kebanyakannya bukan lagi merupakan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda/bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama tetapi menggunakan bahasa Inggeris selepas ditukar menjadi SMJK atau mengikut jejak SMJK.

Gerakan pemulihan SMCS

Pada tahun 1973, suatu gerakan pemulihan semula SMCS telah dimulai di Perak. Ia disusuli dengan penubuhan Jawatankuasa Kerja SMCS oleh Dong Jiao Zong untuk melaksanakan pelan induk, meliputi saranan konkrit yang dirumuskan oleh suatu jawatankuasa khas mengenai matlamat dan dasar, kurikulum, pendidikan/latihan guru, pemeriksaan, pengambilan pelajar dan urusan kewangan SMCS.

Pelan induk ini menitikberatkan ciri SMCS sebagai pendidikan bahasa ibunda yang merupakan pendidikan secara langsung (tanpa gangguan bahasa) dan berkesan sekali berbanding dengan pendidikan yang menggunakan bahasa bukan ibunda (umpamanya bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama. Ia juga berpendapat bahawa SRJK(C) saja tidak mencukupi untuk mewarisi kebudayaan Cina kerana pendidikan bahasa ibunda adalah merupakan hak asasi manusia dan hak setiap kaum yang tidak boleh dirampas dengan apa alasan sekalipun.

Untuk melaksanakan pelan induk pemulihan semula SMCS, satu dana SMCS telah diwujudkan dan beratus-ratus tenaga manusia dalam bidang pendidikan, akademi dan profesional telah dikerah untuk memberi sumbangan dalam kerja-kerja sukarela mengemaskinikan kurikulum, menyusun semula buku teks baru, menyelenggara peperiksaan bersama, melatih semula guru-guru SMCS dan sebagainya.

Semua ini merupakan kerja yang memerlukan jangka masa berpuluh-puluh tahun untuk mencapai hasilnya. Namun, dari permulaan lagi, gerakan pemulihan semula SMCS sudah tidak disenangi Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pelajaran ketika itu.

Bhgn II


LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.

ADS