Puasa dan ingatan berpuasa

Sehari sebelum puasa saya telah bersembang dengan beberapa kawan. Kami bernostalgia tentang berpuasa. Kami berkisah tentang curi-curi makan ketika berpuasa di zaman kanak-kanak.

Cerita berpuasa zaman kanak-kanak memang menarik. Puasa setengah hari. Tipu puasa. Puasa untuk dapat duit raya. Sekarang sudah besar panjang, nak puasa atau tak puasa terpulang kepada kepercayaan masing-masing. Sesudah dewasa tidak ada sesiapa yang akan merotan jika tidak berpuasa.

Kalau saya kisahkan di sini mungkin tidak ramai yang percaya bahawa cara kita berpuasa juga telah banyak berubah. Apa yang saya maksudkan berubah itu bukan dari segi konsepnya. Puasa masih lagi pada bulan Ramadan. Orang masih lagi berpuasa dari matahari terbit hingga matahari tenggelam. Ini tidak berubah.

azlanTetapi, dalam masa 30 tahun ini telah jelas kelihatan perubahan. Biar saya kisahkan tentang arloji atau jam. Sebenarnya arloji yang menghitung masa ini adalah objek yang baru masuk ke dalam budaya Melayu. Konsep masa dan waktu orang Melayu amat jauh berbeza dari detik tanda arloji. Manusia Melayu menghitung masa melalui perbandingan dengan alam. Masa dan waktu untuk manusia Melayu tidak dikira dengan saat dan minit.

Manusia Melayu mengira waktu dengan senang sekali - pagi, tengah hari, petang, senja dan malam. Misalnya, apabila ditanya bila kenduri akan bermula, maka jawapan akan diberi hanya - tengah hari sebelum matahari naik.

Atau apabila menetapkan tarikh bila perkahwinan akan berlangsung - manusia Melayu akan menjawab, "Selepas musim menuai atau selepas musim buah."

Konsep masa dan waktu untuk manusia Melayu cukup menarik dan tidak menekan.

Untuk ini saya masih teringat lagi ketika berpuasa di zaman kanak-kanak. Keluarga kami duduk di pedalaman. Keluarga kami tidak memiliki arloji untuk menentukan bila waktu yang tepat untuk berbuka. Perkara ini diselesaikan dengan senang oleh arwah nenek. Pada firasat nenek saya, waktu yang tepat untuk berbuka ialah apabila tidak lagi dapat melihat bulu roma di lengan. Ini cukup menyeronokkan untuk kanak-kanak. Sering kami ke bawah pokok kayu yang redup untuk melihat bulu roma agar kami dapat berbuka. Ini di zaman yang begitu lama dahulu.

Pembesaran kelas menengah Melayu

Mungkin ada yang akan bertanya tentang radio dan peranannya. Objek radio ini juga sampai agak lewat. Biasanya ketua kampung akan memiliki radio. Maklumat dari radio ini akan disampaikan dari mulut ke mulut. Pada zaman Jepun, radio ini dianggap sebagai musuh. Sesiapa yang memiliki radio akan memiliki maklumat-maklumat tentang tentera Jepun yang semakin terdesak. Beberapa tahun sesudah British meninggalkan Tanah Melayu, amat jarang rumah yang beradio. Hakikatnya di zaman dahulu radio tidak memiliki apa-apa peranan agama.

Tanpa arloji, tanpa radio menjadikan waktu berbuka dan bila tamatnya waktu sahur agak longgar. Ketika itu Islam tidak dilihat sebagai agama yang menekan. Islam tidak dilihat sebagai agama yang suka menghukum. Tuhan Yang Maha Esa pada ketika saya membesar adalah Tuhan yang penuh dengan al-Rahman dan al-Rahim. Tidak ramai yang bangun mendabik dada untuk mengakui bahawa mereka memiliki wasiat untuk mewakili Tuhan atau bercakap bagi pihak Tuhan. Islam ketika saya membesar adalah sebahagian dari budaya Melayu. Berpuasa dan berhari raya adalah sebahagian dari ciri-ciri budaya Melayu yang indah murni dan bersopan.

azlanSekarang, saya melihat puasa telah banyak berubah. Sebenarnya bukan hanya puasa yang berubah, malah seluruh tamadun Melayu itu sendiri telah dan sedang berubah. Adalah begitu molek sekali jika kita memahami kenapa berlaku perubahan. Untuk saya, dari pemahaman saya, perubahan yang berlaku ini hasil dari pencapaian ekonomi kita. Ekonomilah yang membawa perubahan ini. Apabila ekonomi berubah, maka ciri-ciri budaya kita pun berubah.

Pertumbuhan kelas menengah Melayu semakin membesar. Mereka ini memiliki keupayaan untuk membeli belah. Dari segi bancian, kumpulan ekonomi kelas menengah ini paling besar jumlahnya dalam negara kita. Jika ekonomi terus berkembang kelas ini akan lagi membesar. Dalam sistem ekonomi kapitalis, kekuatan kelas menengah ini amat penting. Keupayaan mereka untuk membeli belah dan berbelanja menjadikan kelas ini tulang belakang dalam sistem ekonomi kapitalis ini.

Kehadiran kelas menengah Melayu ini dibuktikan dengan keupayaan mereka berbelanja di pasar Ramadan. Sebenarnya budaya pasar Ramadan ini adalah manifestasi dari kemunculan kelas menengah Melayu. Pada satu ketika dahulu di musim berpuasa tidak ada orang berjual beli seperti yang dilihat hari ini. Kalau ada pun, yang dijual di kampung-kampung hanyalah air batu. Kuih-muih untuk berbuka akan dibuat di rumah masing-masing.

Pasar Ramadan ini juga memperlihatkan satu ciri peralihan yang amat ketara dalam pembudayaan Melayu. Pasar Ramadan boleh kita tafsirkan sebagai batu tanda di mana manusia Melayu beralih dari komuniti agraria kampungan ke masyarakat industri pembuatan.

Kalau dahulu, manusia Melayu kebanyakannya duduk di kampung dan tidak memiliki pekerjaan yang khusus. Ketika itu masa tidak dinilai dengan dolar dan ringgit. Ketika itu juga tenaga yang dimiliki belum boleh dijual beli. Hari ini semuanya telah berubah. Hari ini masa boleh dikira melalui arloji. Jika masa dikahwinkan dengan tenaga ianya boleh dijual dan dinilai dengan wang ringgit.

'Lucah' berbuka besar bila gelandangan tak makan

Perubahan bentuk ekonomi ini telah membolehkan manusia Melayu menjual tenaga mereka. Memburuh di kota atau menjadi buruh tani di kawasan ladang. Ini bermakna manusia Melayu telah diikat untuk bersama mengambil bahagian dalam sistem ekonomi kapitalis. Masa dan tenaga kini boleh dijual beli. Justeru, sang isteri tidak lagi membuat kuih muih untuk berbuka. Sang suami juga tidak lagi ke hutan mencari buluh untuk membuat lemang. Komuniti agraria telah kehilangan masa dan tenaga, tetapi untuk gantinya mereka kini memiliki duit dan ringgit sebagai daya untuk berbelanja.

Pada awalnya, pembudayaan yang dibawa oleh ekonomi industri pembuatan ini agak lunak. Semakin rancak pertukaran masa dan tenaga untuk dijadikan dolar dan ringgit, maka semakin rancak berlaku perubahan bentuk-bentuk budaya. Ekonomi wang ringgit ini secara perlahan-lahan mula menghakiskan kemahiran manusia Melayu itu sendiri.

azlanDalam budaya baru ini, kreativiti kemahiran individu itu semakin luntur. Contohnya, pada satu ketika dahulu lelaki dan perempuan Melayu tahu memasak untuk menyediakan makanan sendiri. Apabila sang lelaki dan sang isteri mula menjualkan masa dan tenaga di pasaran terbuka, maka tugas memasak telah berubah. Dengan tersendiri, kreativiti memasak hilang. Segala jenis masakan, segala jenis kuih muih untuk merayakan amalan berpuasa kini boleh didapati di Pasar Ramadan.

Kuih untuk pagi Syawal Hari Raya - hari yang dianggap kemuncak amalan berpuasa - kini tidak lagi hasil buah tangan sendiri. Kreativiti individu menyediakan makanan untuk merayakan hari besar ini juga telah diambil alih oleh mesin yang diarahkan oleh ekonomi.

Jelas terbukti, bahawa ekonomilah yang membawa bentuk-bentuk pembudayaan. Ekonomilah yang melahirkan budaya dan kepercayaan. Pasar Ramadan yang kita saksikan saban petang ialah manifestasi komuniti Melayu sedang merayakan budaya agama mereka. Apa yang kita lihat itu ialah intrepretasi Islam dari kaca mata manusia Melayu.

Awas! Harus disedari, intrepretasi Islam ini juga bersangkutan dengan duit dan ringgit. Lihat sahaja bagaimana hotel-hotel yang berbintang sedang menyediakan pesta berbuka puasa. Bufet Ramadan ini jelas muncul dari budaya kelas menengah Melayu. Ia tidak ada sangkut paut dengan tuntutan agama. Membayar puluhan atau ratusan ringgit untuk berbuka puasa seharusnya dianggap 'lucah' apabila tidak jauh dari hotel lima bintang ini ada sekumpulan gelandangan yang berlapar tidak makan.

Lihat juga bagaimana hotel-hotel berbintang-bintang ini memberi intrepretasi mereka tentang Islam. Para pelayan akan dipakaikan baju Melayu dan bersongkok. Para pelayan sentiasa siap siaga untuk memberi khidmat selunak mungkin kepada para Ummah yang sedang berlapar dahaga. Masuknya waktu berbuka akan dimulai dengan pukulan kompang. Ketika menjamu selera para ummah akan dihiburkan dengan lagu-lagu atau dengan gesekan gambus dan biola. Kompang, nasyid dan gambus akan dianggap Islamik.

Pasar Ramadan dan bufet Ramadan ini meminta saya bernostalgia kembali untuk melihat budaya berpuasa ketika saya membesar dahulu. Untuk saya berpuasa di zaman ini, hanyalah budaya yang diselarikan dengan tuntutan agama. Atau saya tersilap. Sebenarnya puasa ini adalah tuntutan agama yang diselarikan dengan intrepretasi budaya Melayu yang suka pesta-pestaan?
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.