Ada masanya kita tidak boleh percaya pada orang yang banyak membaca, berpengetahuan luas, pernah ke universiti, pandai berkata-kata, sering menulis, dianggap tokoh atau boleh berbahasa Inggeris. Hati-hati.

Hassan Ahmad boleh mengupas dengan panjang lebar sejarah reformasi di Eropah tetapi sempit sekali mengupas "gejala Reformasi" pada 1998. Sekarang tulisan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini tidak dapat lagi diraikan untuk dibaca atau merenung krisis politik-kenegaraan sepanjang lima tahun lepas.

Dia terpaksa merombak banyak penjuru untuk kekal relevan. Memang benar dia mengupas isu ini di saat-saat sangat awal ( Dewan Masyarakat , November 1998) tetapi terasa dia (ramai lagi cerdik pandai sepertinya) mengamati gejala ini dari jauh atau dari awal-awal lagi tidak mempunyai alat-alat analisis yang betul.

Tetapi malang sekali, ramai juga cerdik pandai kita (Hassan termasuk antara segelintir pemikir kritis) yang tidak mudah prokerajaan, tetapi dalam isu-isu tertentu, mudah pula diumpan propaganda parti pemerintah, khususnya melalui media massa arus perdana.

Mereka melihat dari jendela sempit ini, yang sebenarnya mereka juga tidak sepenuhnya selesa atau bersetuju, dan menganggap reformasi itu semata-mata isu Anwar-Mahathir atau isu pembangkang lawan kerajaan.

Kerana itu, ramai sekali cerdik pandai kita gagal merumuskan gerakan reformasi di luar kerangka pandang yang sempit ini. Baha Zain, penulis besar dan orang kuat Persatuan Penulis Nasional (Pena) sekarang, nampaknya tidak lebih baik daripada Hassan dalam hal ini. Lihat puisinya 'Si Mata Hitam' atau 'Dataran Merdeka' dalam himpunan esei dan sajaknya.

Kesedaran batin

Barangkali Johan Jaaffar, kini kolumnis Berita Minggu dan New Straits Times , termasuk dalam kategori yang sama jika ditinjau tulisannya terkini selepas membeku ekoran krisis Anwar. Maksudnya, budaya politik dan sekatan kebebasan bukan agenda renungannya yang nampak menggelisahkan diri tidak seperti kebernasan wacananya ketika memimpin Utusan Malaysia.

Agak teliti, sasterawan negara A Samad Said, khususnya, jika kita menilai tiga sajaknya sekitar tempoh awal reformasi dalam antologi Suara dari Dinding Dewan - sekurang-kurangnya ada nada simpati Pak Samad, nama yang kami panggil, kepada anak muda yang turun ke jalanraya dalam 'Jeritan senja September'. Katanya, sajak ini seharusnya terbit lebih awal dalam antologi Dari Derita Bangsa tetapi timbul kesilapan teknikal di pihak penyusun.

Namun gelisah dan bingung masih lagi dapat dikesan dalam Satu perang yang terdera dan Tinggal carik selendang Pak Samad. Tidak jauh kebingungan Baha dalam Dua September atau Tirani demi tirani sepanjang abad ini (berbeda nada yakinnya dan sedikit romantis dalam Suara Tujuh ).

Tidak kita dengar isu yang menggelegak sepanjang 1998-2003 itu, ditanggap "krisis besar" negara yang perlu ditangani bersama sebagai rakyat yang bertanggungjawab serta patriotik.

Sampai hari ini, Malaysia belum melihat gejala pencabulan hak asasi yang sistematik dalam banyak penjuru kehidupan sebagai "krisis serius" di negara ini.

Entah apa alasannya, ramai suka berdiam diri daripada menolak kesedaran batin masing-masing atau suka berdegil mempertahankan sudut pandangan yang sempit itu. Kadang-kadang terasa bahawa penentang kerajaan itu sentiasa salah atau menyimpan agenda tersembunyi. Oleh itu, sudut-sudut pandangan mereka separuh benar atau tidak wajar dilayan? Seolah-olah pengkritik kerajaan itu semuanya tidak rasional atau hujahnya tidak ilmiah!

Saya syak, selain tidak berani atau "tidak mahu campur", cerdik pandai Melayu yang sedikit-sedikit sedar kenyataan buruk negara ini, tidak mempunyai maklumat cukup tentang gejala krisis itu sendiri atau tidak memiliki alat-alat analisa yang baik. Oleh itu, mereka gagal menghidu keseriusan gejala ini dan tidak berasa ia dekat dengan kesedaran batin mereka.

Perspektif tepat

Ketika menilai kelesuan cerdik pandai di Jerman selepas tiupan semangat pencerahan di Eropah akibat revolusi Perancis 1780-an, seorang sarjana Alan Menhennet pernah bertanya, " is all this the result of special conditions or of excessive spinelessness? " (terjemahan: apakah ia [kelesuan] akibat keadaan-keadaan khas atau rasa bacul yang menjadi-jadi?).

Sementara itu, tidak kurang juga, syak saya lagi, yang gagal melepaskan perspektif mereka daripada batang tubuh Anwar dan hal-hal yang berlingkar di sekeliling bekas pemimpin negara ini. Atau, mereka menganggap politik waktu ini hanya sejenis kegiatan antikerajaan dan kepembangkangan lazim yang boleh terus-terusan diabaikan?

Bagi saya, mereka yang gagal meletakkan perspektif yang tepat, gagal pula merumus renungan dalam bentuk tulisan (atau bersuara), apatah lagi menyusun gerakan sosial setakat ruang lingkup pembabitan, keyakinan batin serta kemampuan masing-masing, adalah golongan yang "cacat" di Malaysia.

Sikap seumpama inilah yang menangguh banyak tindakan reformasi dalam maksudnya yang paling umum dan bersahaja untuk pertumbuhan masa depan negara ini. Mereka ini sama ada cuai atau tidak bertanggungjawab! Dan saya bimbang sejarah bangsa bakal meludah potret-potret mereka suatu hari nanti.

Sebab itu, berapa banyak buku yang telah dibaca, dari universiti mana kelulusannya, boleh atau tidak berbahasa Inggeris, tidak lagi menjadi persoalan. Malah, seharusnya diragui sungguh-sungguh. Buku, kampus dan bahasa Inggeris tidak mencerahkan minda ketika mendepani krisis asas ketatanegaraan tanahair sendiri, rupa-rupanya!

Buku, universiti dan bahasa Inggeris sekadar "topeng hiasan". Topeng selalunya mempunyai lubang untuk mata dan hidung. Tetapi topeng cerdik pandai kita terus membutakan dan melemaskan mereka, lucu

Kongkongan politik

Wajarkah kita menilai semula pembaca buku, lulusan universiti (dan dunia akademia umumnya) atau penutur bahasa Inggeris? Wajarkah kita menyemak "anasir berfikir" atau golongan terpelajar (yang sering dikaitkan dengan buku, universiti dan bahasa Inggeris) di negara ini, termasuk mereka yang menyertai pembangkang atau pengkritik kerajaan?

Pada saat-saat awal dan bergejolak, mungkin alasannya ramai yang kebingungan dan lebih gemar mengambil sikap "bijaksana" (baca: bisu). Tetapi hari ini, sudah hampir lima tahun negara ini terjeruk dalam krisis politik-kenegaraan, apakah mereka belum lagi dapat merumus renungan, menjernih perspektif dan mengatur sikap? Berapa lama masa seharusnya ditatangkan untuk golongan seumpama ini?

Di kalangan politik pembangkang atau gerakan reformasi, keadaan tidak lebih baik. Rungutan tentang kebekuan pemikiran bangsa dan hubungannya dengan kongkongan politik juga menemui jalan buntu, seperti huraian saya minggu lepas dalam 'Di mana-mana, malam tetap kelam' .

Saya tidaklah sepenuhnya fikir artikel ringkas itu sudah memadai (malah, ia masih sangat kasar lagi dangkal perspektifnya) tetapi beginilah yang dirasa setiap kali kami tersandung perbualan seumpama itu. Dan isu-isu sebeginilah yang seharusnya difikirkan bersama oleh setiap kelompok walau bagaimana latar pembabitan seseorang cerdik pandai.

Maka, bagi saya, nama-nama besar seperti Hassan Ahmad, Baha Zain, Johan Jaaffar, Syed Ahmad Jamal atau A Samad Said harus turut mencampuri urusan merumuskan renungan dan meletakkan perspektif sekurang-kurangnya harus ada pertandingan idea dalam hal menafsir "krisis" ini.

Jangan dibiarkan anda dilihat hanya berbisik-bisik atau membisu. Ia mewarnai citra yang sangat buruk kepada anak-anak muda, memanjang pencarian serta kebingungan mereka. Atau, membiarkan generasi sekitar 20-an menelan hujah orang politik semata-mata.

Mungkin sahaja kita orang politik, cerdik pandai serta budayawannya sebahagian anggota "sanatorium terbesar di dunia"? Bak kata Baha Zain dalam puisi sinisnya, "congkang kelalak di mana-mana, jungkir balik rakyat semua, seluruh Malaysia merumahkan orang gila, berwaspadalah saudara-saudara, Malaysia catat rekod sanatorium terbesar di dunia."

Sanggupkah kita bermalam lebih lama di rumah gila ini, Datuk?


Rujukan:

A Samad Said (2003) Suara dari Dinding Dewan , Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors. Hal 44-49

Baha Zain (2002) Esei dan Puisi Baha Zain , Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hal 146-156

Hassan Ahmad (2000) Imbasan , Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Bab 'Reformasi'

Menhennet, Alan (1973) Order and Freedom: German Literature and Society , New York: Basic Books. Bab 'The political scene' hal 19

Usman Awang dll (1973) Suara Tujuh , Batu Pahat: Syarikat Wijaya. Hal 32-39

Usman Awang dan Dino SS, peny. (2001) Dari Derita Bangsa , Batu Pahat: Pustaka RBHI