Dua jalur fikrah

Bulan Ogos tahun lalu, wacana Mat Indera telah dibuka luas. Tohmah dan fitnah bertaburan. Kutukan demi kutukan. Tuduhan demi tuduhan. Polis dan undang-undang dicari dan diupah. Akhirnya Mat Indera menjadi ikon anak-anak muda. Imej Mat Indera kini setaraf dengan imej Che Geuvera dan John Lennon. Akhirnya anak semua bangsa mula mengenali siapa dia Mat Indera.

Sebenarnya apa makna semua ini? Apa makna babak-babak bulan Ogos ini? Apa yang hingar dan apa pula yang bingar ini? Pasti ada di kalangan pembaca menjadi kalut apabila berhadapan dengan wacana ini. Pasti ada juga yang kurang arif untuk memahami tanda dan makna wacana ini.

Saya tidak akan menyalahkan pembaca jika tidak memahami sepenuhnya makna dan tanda dan heboh heboh tentang Mat Indra. Heboh tentang Sang Saka. Heboh tentang Memula Moon. Saya akan cuba menyusun kembali fakta dan salasilah sejarah agar kita sesama memahami apa yang sedang berlaku. Saya akan cuba leraikan rambut yang kusut dengan minyak sejarah.

Semua yang berlaku sekarang ini adalah perjalanan sejarah. Di hadapan mata kita ialah manifestasi perjalanan sejarah yang belum selesai. Perjalanan sejarah yang terbantut. Perjalanan sejarah yang belum selesai ini ialah perjalanan ‘nasionalisma Tanah Melayu' yang terbantut. Ertinya perjuangan nasionalisme Melayu tidak sampai ke matlamat yang dicita-citakan

Biar saya terangkan apa makna - semangat nasionalisme yang belum selesai - yang tidak sampai ke matlamat. Nasionalisme Melayu tidak kesampaian - tidak sampai ke puncak yang dicita-citakan. Terbantutnya cita-cita untuk mendirikan negara bangsa yang bebas Merdeka.

Nasionalisme ialah semangat, perasaan dan laungan warga Asia, Afrika dan Latin Amerika menentang penjajah. Semangat dan kesedaran nasionalisme muncul di era pertembungan anak tanah jajahan dengan kuasa kolonial. Penjajah dilihat sebagai ‘Yang Asing' atau "Orang Lain'.

Kalau di Tanah Melayu pertembungan ini pada awalnya ialah antara manusia Melayu dengan kuasa kolonial - Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun. Justeru nama-nama seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Raja Haji, Dol Said dan Maharaja Lela muncul di tinta sejarah. Mereka dinobat sebagai pemula gerakan kesedaran untuk melahirkan ‘ingatan bersama bahawa kita sesama kita adalah Melayu. Mereka yang ‘diluar sana' ialah Orang Putih.

Kuasa kolonial datang untuk mencari harta kekayaan. Portugis yang dipanggil Bengali Putih datang sebagai penjajah untuk mencari rempah rampai. Belanda juga datang untuk tujuan sama. Inggeris datang untuk bijih timah dan emas. Jepun datang untuk memunggah apa saja yang boleh dipunggah.

Nasionalisme Melayu ini adalah asas nasionalisme untuk Tanah Melayu/ Malaya - ini termasuk Singapura. Tidak menerima hakikat ini bermakna tidak menerima hakikat realpolitik di hadapan mata. Nasionalisme Melayu yang luas ini telah dimanifestasikan dalam Perlembagaan Rakyat 1947. Dokumen bersejarah ini telah bersedia menerima sesiapa sahaja yang bercita menjadikan Tanah Melayu sebagai negara mereka. Negara baru ini akan menobatkan mereka sebagai Melayu. Ini satu dokumen yang amat radikal.

Orang India dan orang Cina yang dibawa oleh penjajah Inggeris pada awalnya tidak melihat bumi Melayu ini sebagai wilayah mereka. Mereka datang kerana dibawa oleh British atau kerana mahu mencari makan. Ini sikap budaya generasi imigran pertama. Masa dan luang telah mengubah semua ini. Akhinya para pendatang ini telah sebaris bangun menentang kuasa kolonial. Perlembagaan Rakyat memanifestasikan permulaan kelahiran setiakawan bangsa-bangsa untuk sebuah negara bangsa yang berdaulat.

Tetapi projek Perlembagaabn Rakyat 1947 ini telah disabotaj oleh kuasa kolonial British. Dengan licik British telah memayungi satu gerombolan kaum feudal Melayu bersama anak didik kolonial untuk mengagalkan terdirinya Tanah Melayu yang merdeka.

Usaha mensabotaj Malaya Merdeka dilakukan dengan membangunkan parti-parti politik yang berasaskan kaum. Setiakawan bangsa-bangsa yang terjalin dalam Perlembagaan Rakyat untuk melahirkan sebuah Malaya Merdeka telah dialih untuk menjadi ‘perjuangan antara kaum'. Politik perkauman menjadi satu strategi yang amat ampuh untuk memisah-misah rakyat yang sedang bangun bersatu melawan kuasa kolonial.

United Malays National Organistion hanya dimunculkan pada tahun 1946. Kesatuan Melayu Muda (1938) Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945), Angkatan Pemuda Insaf (1946), Parti Komunis Malaya (1930) telah berjuang berdekad-dekad lebih awal. United Malays National Organisation hanya berslogankan - Hidup Melayu. Manakala parti nasionalis yang lain melaungkan Merdeka!

Memunculkan parti-parti perkauman ini adalah taktik penjajah. Hasilnya British telah berjaya menangguhkan ombak merdeka selama 10 tahun. Melambatkan merdeka ini telah membolehkan British menyusun para budak-budak suruhan yang setia untuk memastikan kepentingan ekonomi British selamat. Jelas di sini United Malays National Organisation telah dipilih untuk menggantikan pentabiran British.

Parti politik dan kumpulan nasionalis yang enggan bekerja sama dengan British telah ditangkap, dibuang negara atau di bunuh. Parti-parti politik dan organisasi massa yang menentang British telah diharamkan. Yang boleh beroperasi, berkempen mencari pengaruh hanyalah United Malays National Organisatiojn, Malayan Chinese Associatioan dan Malayan Indian Congress. Perhatikan dengan teliti - hingga ke hari ini setelah 55 tahun merdeka parti politik ini masih lagi menggunakan nama Inggeris untuk gerombolan mereka.

Selama 55 tahun United Malays National Organsiation telah cuba menutup hakikat bahawa mereka mula berjuang hanya pada tahun 1946. Ini pun bukan berjuang menuntut kemerdekaan. United Malays National Organisation berjuang mencari tambahan oksigen kerana slogan mereka hanyalah Hidup Melayu dan bukan menentang British.

Apa maknanya apa yang saya tulis diatas? Maknanya ialah nasionalisme Melayu untuk mencapai kemerdekaan telah disabotaj oleh British dengan kerjasama United Malays National Organisation. Nasionalisme Melayu dibantutkan. Semangat nasionalis Melayu diganti dengan semangat perkauman. Akhirnya slogan Hidup Melayu beralih menjadi Ketuanan Melayu.

Apabila British mengundur pada tahun 1957 - kuasa kolonial British masih meneraju Tanah Melayu. Ketua Hakim Negara - James Beveridge Thomson 1963-1966 seorang Mat Saleh. Gobenor Bank Negara W H Wilcock 1959- 1962. Ketua Polis Negara - Claude Fenner 1958 - 1966 masih lagi seorang Mat Saleh.

Ramai yang tak sedar tentang pekara ini. United Malays National Organistaion cuba menyorokan fakta sejarah ini. Jika umum tahu maka orang ramai akan sedar bahawa United Malays National Organisation hanyalah budak suruhan British untuk menjadi benteng British yang sedang diasak oleh perjuangan bersenjata nasionalis Malaya yang bermula pada 20 Jun 1948.

Juasteru sebagai budak suruhan - tidak ada seorang pun antara pemimpin atau ahli United Malays Natiopnal Organsiation yang ditangkap, dibuang negara atau di bunuh oleh Briritsh. Malah selama 55 tahun ini naratif perjuangan mereka ialah melawan komunis. Walhal Parti Komunis Malaya adalah parti yang nengangkat senjata melawan British.

Pembohongan sejarah ini akhirnya terlungkup. Contohnya, dengan maklumat yang sedia ada umum kini sedar bahawa lagu Negaraku didakwa ciplakan. Tidak dapat disorokkan lagi bahawa terdapat dakwaan Memula Moon ialah lagu Terang Bulan yang dijadikan lagu kebangsaan Malaysia. Ini fakta sejarah.

Tiba-tiba akhir bulan Ogos ini timbul pula wacana Sang Saka. Ramai yang kurang sedar bahawa bendera gerombolan United Malays National Organistion juga berasal usul dari Sang Saka. Adalah fakta sejarah bahawa pada Perhimpunan Agung United Malays National Organisation tahun 2006 dahulu bendera ini telah dinobatkan sebagai Sang Saka Bangsa.

Apa sebenarnya sejarah Sang Saka ini? Bendera ini dikatakan muncul seawal zaman Langkasuka. Seawal zaman Srivijaya. Seawal zaman Majapahit dan Mataram. Warna merah puteh ini adalah motif Nusantara. Motif alam Melayu. Merah adalah darah rakyat. Putih ialah kesucian hati rakyat.

Sayugia diingatkan di sini - bendera Sang Saka Tanah Melayu ini memiliki sejarah yang gilang gemilang. Sang Saka ini bukan diciplak dari bendera Amerika. Sang Saka lahir dari bumi Melayu - lahir dari bumi Nusantara.

Bendera ini telah dibawa ke persidangan Afro-Asia di New Delhli pada tahun 1947. Bendera ini adala payung untuk para nasionalis Melayu sama ada dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda, API atau AWAS.

Pada perjumpaan semua pertubuhan Melayu pada tahun 1946 di Ipoh - Sang Saka telah dicadangan untuk menjadi bendera rasmi United Malays National Organisation. Ia diterima tetapi keris dan warna kuning telah dimasukan ke dalam motif Sang Saka. Ini telah dibantah oleh PKMM - yang dipimpin oleh Pak Sako dan Ahmad Boestamam. Mereka yang anti-Britsih dan anti feudal telah meninggalkan dewan. Kuning/keris secara semiotik dibaca sebagai nahu feudal dalam gerakan nasionalisme Melayu.

Mereka yang membantah simbol ini telah meneruskan perjuangan dan tidak bersama United Malays National Organisation. Akhirnya mereka menjadi mangsa British - ditangkap dan dibunuh - apabila British mengistiharkan darurat pada 20 Jun 1948.

Justeru adalah satu kebebalan jika menuduh Sang Saka berasal dari China, dari Singapura, atau meniru bendera Indonesia. Sang Saka ini telah wujud dalam kesedaran nasional berpuluh tahun dahulu. Ia telah cuba dilupuskan dari ingatan bersama.

Menggunakan ancaman. Menakut-nakutkan orang ramai. Menggunakan mahkamah. Menggunakan penjara dan hukuman tidak akan memadamkan api kebenaran. Penghormatan bukan diwujudkan melalui hukum hakam. Penghormatan lahir dari hati suci dan jiwa merdeka.

Justeru, Janji Demokrasi pada 30 Ogos 2012 mengembalikan Sang Saka ke persada sejarah. Ini adalah manifestasi kesinambungan sejarah nasionalisme yang telah dibantutkan. Anak-anak muda yang mengibarkan Sang Saka pada malam itu sedang menyambung kembali ingatan sejarah tentang perjuangan para nasionalis melawan British. Sang Saka yang berkibar hari ini sedang membawa semangat pembebasan. Bangsa yang tidak tahu dari mana asal usul mereka pasti tidak akan tahu ke mana arah tujuan mereka .
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.