Ganas dan keganasan

Minggu lalu bas Merdeka Rakyat yang membawa pemimpin PKR telah diserang di Kota Baru. Kemudian pada malamnya satu serangan telah berlaku di Masjid Al-Hussain di Seberang Pumpong, Kedah. Serangan dalam masjid didakawa datang dari gerombolan 50 orang ahli PERKASA. Serangan berlaku ketika Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sedang memberi tazkirah. Seminggu kemudian bas yang sama telah diserang di Melaka.

Apa maknanya semua ini? Apa ertinya serangan ini? Apa yang tersirat dan apa yang tersurat apabila kita membaca berita-berita serangan ini?

Memang betul ini bukan serangan RPG - rocket propel granade. Memang betul ini bukan serangan Kalashnikov atau M16. Ini hanya serangan cat merah yang dilempar ke cermin pemandu bas. Ini hanya balingan batu bata yang memecahkan cermin bas.

Ada yang berpendapat bahwa cat boleh dibasuh dan cermin pecah boleh diganti. Sekali pandangan mungkin ada yang menganggap ini hanyalah kerja anak-anak muda yang diupah oleh United Malays National Organisation. Jika pembaca memiliki jalur pemikiran ini maka ini adalah anggapan ini salah. Pandangan ini silap.

Untuk memahami semua serangan ini biar saya surahkan sejelas mungkin agar kita semua sedar apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Mengetahui apa yang sedang berlaku amat penting. Jika kita faham apa yang berlaku sekarang maka kita juga boleh membayangkan apa yang akan berlaku kemudian.

Pada ketika ini dunia politik Melayu telah pecah dua. Saya menekankan dunia politik Melayu atau Malay politic kerana di Malaysia ini politik Melayu adalah panglima kemudi kepada semua politik negara. Ini hakikat. Ini realpolitik. Politik Melayu menjadi panglima untuk mengemudikan arah negara. Politik Melayu menjadi kemudi politik Malaysia lahir dari hukum dan syarat-syarat sejarah.

Selama lebih dari lima dekad parti United Malaysa National Organisation yang berslogan Hidup Melayu dan Ketuanan Melayu telah menjadi hegemoni - memiliki kuasa mutlak. Parti politik ini bersama kuncu-kuncunya dalam BN telah memonopoli ekonomi, politik dan budaya di Malaysia. Selama lebih dari 50 tahun gerombolan ini telah berkenduri kendara - bercempera dan berpesta - memungut dan memunggah harta kekayaan negara. Tanpa segan silu gerombolan ini dan kroni-kroninya telah menjadi kaya raya.

Saya ingin sekali lagi memberitahu para pembaca bahawa politik ialah kuasa. Politik ialah ekonomi. Perebutan politik ialah perebutan kuasa untuk merebut ekonomi. Punca-punca ekonomilah yang sedang menjadi rebutan Pakatan Rakyat dengan United Malays National Organisation.

Keganasan tersusun

Membaling batu ke ceramah Pakatan adalah manifestasi perebutan politik. Menggangu takzirah di masjid atas alasan tanpa tauliah adalah manifestasi perebutan ekonomi. Mengempur kenduri rumah terbuka ialah adalah kerja politik.

Kerja-kerja politik gerombolan ini dilihat ganas. Membaling batu dan melastik bola besi dilihat bahaya. Tetapi hakikatnya ini adalah kegansaan yang dirancang. Jangan silap faham dan jangan salah hitung semua ini disusun dan diatur. Dib elakang simbah cat, baling batu dan lastik bola besi ini wujud satu perancangan jahat yang lebih besar sedang menunggu.

Betulkah apa yang saya tulis ini? Apakah ini hanya satu tohmahan murah untuk memburukkan United Malays Natioanal Organisation?

Jawabnya semua ini bukan toamahan. Semua ini bukan fitnah. Semua ini memiliki asas dan fakta yang kukuh.

Selama lebih dari lima puluh tahun United Malays National Organisation memiliki kuasa untuk mengagih-agihkan harta kekayaan negara kepada kuncu-kuncu dan para penyokong. Berbilion ringgit harta negara telah dikelepet. Berbilon ringgit telah diagih atas nama projek kepada para kroni. Mereka berjoget dan bertandak sambil merembat harta kekayaan negara tanpa halangan.

Tetapi sesudah 8 Mac 2008 semuanya telah berubah. Perubahan ini dimaterikan oleh BERSIH 2.0. Diperkukuh oleh BERSIH 3.0. Dan di buktikan bahawa hegemoni gerombolan ini telah kempis dengan Janji Demokrasi 2012.

Justeru satu perancangan keganasan telah disiapkan. Keganasan tersusun ini bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai agar kembali tunduk kepada kuasa mutlak - hegemoni United Malays National Organisation. Keganasan ini bertujuan untuk terus menakut-nakutkan orang ramai yang telah mula berani turun ke jalan raya.

Bayangkan jika orang ramai telah berani turun ke jalan raya dalam BERRSIH 2.0, BERSIH 3.0 dan Janji Demokrasi - apakah mereka akan merasa takut untuk mengundi Pakatan? Jawabnya: pastilah orang ramai sepuluh ribu kali lebih berani memberi undi kepada Pakatan. Inilah yang sedang berlalu.

Dari BERSIH 2.0 hingga BERSIH 3.0

Untuk mendalami pemahaman, kita wajib melihat sejarah bagaimana taktik menakut-nakutkan orang ramai telah digunakan pada BERSIH 2.0. Ugutan. Terkanan. Tangkapan. Semua gagal. Orang ramai masih berani turun ke jalan raya. Lihat pula sejarah BERSIH 3.0 di mana secara dirancang mata-mata yang bertugas telah ditanggalkan nama mereka. Ini bertujuan untuk menyorokkan identiti mata-mata yang diarah untuk melakukan keganasan.

Keganasan BERSIH 3.0 dengan episod kereta terbalik, dengan serangan tembakan gas dan dengan pancutan air kimia masih segar dalam ingatan. Maknanya semua keganasan yang dirancang bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai dari turun ke jalan raya.

Projek menakut-nakutkan orang rami ini gagal. Janji Demokrasi pada malam 30 Ogos lalu telah memperlihatkan puluhan ribu warga anak semua bangsa turun ke Dataran Merdeka. Tidak ada sesiapa lagi yang takut. Warga Malaysia terutama anak muda telah jadi berani. Takut telah ditongsampahkan.

Keberanian orang ramai ini diketahui oleh Najib Razak. Mahathir Mohamad telah mengalami ombak berani rakyat sehingga dia terpaksa berundur. Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi. Hishammuddin Husein tahu realpolitik yang sedang berlaku. Kesemua mereka sedar bahawa kuasa hegemoni di tangan mereka akan terlucut.

Justeru, para pemikir, para perancang yang diupah dan dilanggan oleh United Malays National Organisation sedang bekerja keras. Para pemikir dan perancang sedang melakar peta yang lebih besar untuk melawan ombak keberanian anak semua bangsa yang telah mula mengacungkan tangan untuk menghumbankan mereka ke dalam tong sampah sejarah.

Serangan-serangan kecil-kecil ini bertujuan untuk mengolah persetujuan orang ramai bahawa suasana negara mungkin kacau jika Pakatan memerintah. Kekacauan dan keganasan yang kita lihat hari ini adalah satu persediaan. Apa yang mereka harap-harapkan akan ialah balasan dari anak-anak muda penyokong Pakatan. Para pemikir yang diupah ini berharap ‘keganasan' yang mereka rancangan ini akan ‘menaikkan darah' penyokong atau simpatisan Pakatan.

Ertinya - keganasan ini dijalankan bertujuan untuk menyemarakkan lagi bahang politik yang sedang berjalan. Rancangan jahat ini bertujuan untuk ‘menjemput' penyokong Pakatan secara bodoh untuk menyerang balas. Serangan balas inilah yang sedang ditunggu oleh United Malays National Organisation.

Jika berlaku serangan balas dari Pakatan maka media milik United Malay National Organisation akan berlabon dua puluh lima jam sehari. Berita akan diputar untuk memperlihatkan bahawa Pakatan ini satu badan politik yang tidak boleh dipercayai untuk mentadbir negara.

Laluan percuma Pakatan ke Putrajaya?

Keganasan di Sembrong, Merlimau, Kerinchi, Pulau Pinang atau di Kota Baru ini hanyalah persediaan jangka panjang United Malays National Organisation untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Sila perhatikan bagaimana projek-projek sedang diagih kepada para kroni dengan pantas sekali. Projek-projek ini bukan ratus juta tetapi berbilion-bilion. Ini juga adalah persediaan untuk berhadapan dengan hakikat bahawa jika PRU13 dijalankan dengan bersih dan adil - United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya akan kalah besar. Berikan projek pada kroni - ikat kontrak sebanyak mungkin sebelum Pakatan ke Putrajaya.

Dalam masa yang sama untuk memastikan kuasa terus dimiliki maka PRU13 ini nanti akan dijalankan dengan penuh penipuan. Tetapi apa sangkut pautnya penipuan pilihanr aya dengan dengan keganasan simbahan cat merah?

Para pembaca wajib berwaspada keganasan yang berlaku minggu lalu - hingga ke hari ini masih belum ada dakwa dakwi. Jika terus menerus tanpa dakwa dakwi hingga ke hari mengundi maka jelas inilah bukti sahih bahawa keganasan ini memang dirancang dan ditaja. Tujuan utama untuk menakut-nakutkan para pengundi terutama pengundi Cina.

Justeru keganasan yang berlanjutan ini adalah persediaan United Malays National Organisation untuk melakukan keganasan jika keputusan PRU13 tidak memihak kepada mereka.

Para pembaca perlu bertanya kepada diri sendiri. Jika para pembaca yang memiliki projek berbilion-bilion ringgit, memiliki kekayaan berjuta ringgit, memiliki syarikat ini dan itu, tuan empunya kilang itu dan ini - apakah akan memberikan laluan percuma kepada Pakatan mengambil alih pentabiran?

Biar saya senangkan lagi soalan ini. Apakah Mahathir Muhamad, Syed Mokhtar, Vincent Tan, Ananda Krishan, Daim Zainuddin, Teh Hong Piow, Quek Leng Chan, Azman Hashim, Tonay Fernandes, Mokhzani Mahathir dan dan dan... akan memberikan Pakatan memasuki Putrajaya?

Saya senangkan lagi: mana lebih murah membelanjakan beberapa puluh juta ringgit mengupah kumpulan anak muda Melayu untuk membuat ganas dari sekarang dari kehilangan berbilion ringgit dengan kemungkinan dimasukkan ke dalam penjara - kalau tidak membuat ganas sekarang.

Apabila pembaca telah dapat menjawab soalan ini maka para pembaca telah memahami keganasan yang berlaku sekarang adalah sebahagian dari projek mengganas yang akan berlaku kemudian hari.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.