HAM untuk Suaram

dikemaskini Suara Rakyat Malaysia (Suaram) merupakan NGO yang memperjuangkan Hak Asasi Manusia (HAM). Hari ini Suaram berdepan tindakan undang-undang kerajaan.

Ia bermula dengan desakan kumpulan pro-Umno, iaitu Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan mencapai hasrat hasadnya apabila Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertindak.

Ia merupakan usaha tersusun parti pemerintah untuk bukan sahaja menjatuhkan wibawa Suaram, malah percubaan untuk mengisytiharkan Suaram sebagai pertubuhan haram.

NONESudah terang, tidak perlu bersuluh. Ia datang hasil usaha Suaram membawa kes Scorpene ke mahkamah Perancis di Paris.

Tiba-tiba sekali lagi nama Soros dibualkan dengan jarum jahat tersirat berbaur anti-semitik. Soros mendanai Suaram, menjadi hal yang dipersoalkan.

Tujuannya untuk membuat kesimpulan propaganda mudah, hasutan murahan tahun 50-an: Suaram mendapat dana asing, dari seorang Yahudi dan Suaram menyokong Anwar Ibrahim.

Maka dimomokkan terutamanya di kalangan umat Melayu, bahawa mereka dalam bahaya penjajahan asing Yahudi jika menyokong Pakatan Rakyat dan kepimpinan Anwar Ibrahim.

Hal ini meskipun Dr Mahathir Mohamad telah pun menghulurkan tangan tanda persahabatan bersambut genggaman erat George Soros. Mereka kelihatan tersenyum dan berdamai bersama dalam suatu pertemuan pada tahun 2006 yang lalu.

Sebelum krisis kewangan Asia tahun 1997, Dr Mahathir dan Soros berhubungan baik, khususnya sewaktu krisis kemanusian di Bosnia.

Kita tak banyak berbuat apa-apa

Soros, seorang pengurus dana, meniaga tukaran matawang di pasaran matawang dunia. Dia dipersalahkan Dr Mahathir dan dituduh mengaut keuntungan hasil perjudian Bank Negara, dan leburnya wang rakyat berjumlah berbilion ringgit yang dipertaruhkan di pasaran ‘judi' matawang dunia.

Ibarat pengurus laman web yang menyalahkan penggodam kerana webnya digodam. Tetapi pengurus laman web dengan sengaja tidak memasang sistem perlindungan sewajarnya.

Katakanlah waima sistem antivirus termurah atau yang percuma terhadap laman web tersebut. Pastilah ia seperti mengundang para penggodam menggodam sistem yang dikangkang seluasnya untuk dinoda itu.

Ia seperti, kononnya kita menolak kemasukan dan penguasaan asing, tetapi mengamalkan sistem kapitalisme, penswastaan segala hak-hak awam, pembukaan pasaran tanpa pertanggungjawaban undang-undang, penganugerahan kontrak berasaskan rasuah.

Misalnya, syarikat yang diberi pengecualian cukai selama 12 tahun, hanya untuk kemudiannya meninggalkan Malaysia dengan timbunan sisa racun radioaktif.

NONEBegitu juga contoh saham Felda dijual di pasaran saham terbuka, untuk dimiliki oleh pemilikan asing.

Ataupun penyerahan tanah KTMB sepanjang rel membelah pulau Singapura dari Woodland ke Tanjong Pagar itu.

Kita, umat manusia Malaysia, khususnya umat Melayu perlu bersepi sejenak. Memejamkan mata, bertafakur dan berfikir. Serigala liar dari luar lapar untuk meratah nikmat alam dan kebahagiaan tanah air ini. Tetapi kita juga perlu jujur. Kita tidak banyak berbuat apa-apa.

Malah kepimpinan negara, penjaga pagar parti ‘Melayu' Umno, membenarkan ribuan serigala dari pelosok dunia masuk berburu dan melahap serta menguasai kekayaan negara ini. Dan itulah yang dilakukan oleh parti pemerintah selama 55 tahun sejak merdeka lagi.

Lihatlah di sekeliling pembangunan yang dikhutbahkan pemerintah selama puluhan tahun lamanya itu. Milik siapakah ribuan bangunan-bangunan dan keuntungan pembangunan binaan serta bangunan yang dibangunkan Umno selama 55 tahun ini?

Bibit HAM oleh Tunku

Kita suka menuding punca masalah kepada yang jauh, yang tidak nyata nampak dan dapat dipegang atau dihadang. Kita sukakan teori konspirasi menyalahkan kaum Yahudi di atas segala kemusnahan dunia hari ini. Kita sebenarnya takut untuk berhadapan dengan masalah, iaitu diri kita sendiri.

Kita lupa, selain Muhammad dan Saleh, 23 lagi Rasul yang wajib diketahui umat Islam menggunakan nama Yahudi.

Kitalah sebenarnya yang memusnahkan diri kita sendiri. Kerana segelintir golongan yang menguasai kerajaan, politik dan ekonomi Malaysia bertindak rakus, tamak dan tidak ada bezanya dengan kelakuan para penguasa zalim di mana pun jua.

Masalah Suaram merupakan masalah tiadanya penghormatan terhadap hak untuk berpersatuan di Malaysia. Suatu hak yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.

azlanBekas ketua polis negara, Rahim Noor, dalam suatu kenyataan pada Oktober 2011, menyebut HAM sebagai komunisme baru atau agama baru.

Sejarah Malaysia mencatatkan benih awal perjuangan hak asasi manusia pada tahun 1987, sebagai tindak balas penangkapan besar-besaran di bawah Operasi Lalang. Maka lahirlah Suaram, sebagai kumpulan penyokong, kebanyakannya ahli keluarga dan rakan-rakan tahanan tanpa bicara ISA.

Pada masa yang sama bibit awal HAM ditanamkan oleh dua orang bekas perdana menteri Malaysi Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn menaungi dan menggerakkan penubuhan Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam).

Setelah lebih dua tahun menunggu dan bergelut dengan muslihat prosedur pihak berkuasa akhirnya Hakam didaftarkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada tahun 1989. Hasrat dua bekas presiden Umno ini untuk melihat HAM tumbuh subur di Malaysia sewaktu hayat mereka tidak kesampaian.

Kekangan demi kekangan, halangan demi halangan, sekatan demi sekatan menyukarkan badan-badan hak asasi manusia untuk bergerak. Namun NGO seperti Suaram tetap bergerak dalam keterbatasan.

Bukan isu teknikal tapi hak berpersatuan

Parti pemerintah tidak mahukan pergerakan HAM diperluas kerana ia menggugat kepentingan parti pemerintah yang suka melakukan pelanggaran HAM.

Dengan menerima dana dari luar, tidak bermakna Suaram atau mana-mana pertubuhan secara automatik menjadi alat pendana tersebut.

Kerajaan Malaysia juga menerima bantuan dan dana asing, juga pinjaman dan modal asing yang mempengaruhi perubahan tata susunan dan aturan sistem ekonomi politik Malaysia sejak merdeka, sehinggalah ke hari ini.

azlanData Bank Dunia menunjukkan semenjak tahun 1958 sehingga ke hari ini, banyak projek di Malaysia telah mendapat bantuan Bank Dunia.

Apakah pula misalnya para hakim dan kakitangan kehakiman negara yang mengikuti program-program latihan tajaan Bank Dunia, dapat kita katakan telah menjadi alat Bank Dunia, yang mewakili kepentingan pemodal antarabangsa untuk menjajah Malaysia?

Atau cukupkah bukti untuk kita menyatakan Dr Mahathir sebagai ejen asing Amerika Syarikat (AS), hanya kerana beliau pernah berkursus secara langsung dengan Henry Kissinger, bekas setiausaha negara dan perancang dasar luar AS yang terkenal itu, pada tahun 1964 dahulu?

Atas logika yang sama, saya kira agak terlalu cetek untuk kita menyatakan Suaram sebagai alat kuasa asing hanya kerana Suaram menerima dana luar.

Akhirnya kita melihat kerja-kerja yang dilakukan Suaram. Kita menilai, kita tidak lupa budi dan janji-janji Suaram dalam perjuangan HAM, khususnya dalam kes-kes perobohan paksa, perampasan tanah rakyat, tahanan tanpa bicara, pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa yang cukup berleluasa.

Dari Perlis hingga ke Sabah, dari Bakun ke Kuala Kubu, dari Kampung Melayu Plentong ke Kg Berembang, Suaram bukan sahaja berjanji tetapi telah membuktikan komitmennya membela pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Malaysia.

Isunya bukan kesalahan teknikal dengan Pendaftar Syarikat. Isunya hak untuk berpersatuan telah dinafikan.

Dan kita juga tahu, tindakan terbaru kerajaan terhadap Suaram ini merupakan salah satu janji parti pemerintah untuk terus menindas, merampas dan melanggar HAM rakyat Malaysia.

Ada banyak lagi janji-janji ngeri yang pastinya akan mencelakai kita, lebih-lebih lagi kalau nanti mereka mendapat mandat dengan undi.


RAHMAT HARON adalah seorang penyair, penulis dan seniman antara disiplin sepenuh masa. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.